KAHWIN
NAHU TANDA
DAN MAKNA
Ingatan aku masih segar tentang kenduri kahwin di kampung. Kenapa tidak – ketika aku membesar kenduri kahwin adalah hari dan tarikh yang menjadi tumpuan.
Aku telah menulis tentang makna sawah dan kahwin. Tentang adat kahwin di kampung aku. Tentang bagaimana Uda bertemu Dara.
Adat sepanjang jalan
Cupak sepanjang betung
Adat periuk berkerak
Adat lesung berdekak
Adat di isi
Lembaga di tuang
Hidup di kandung adat
Mati di kandung tanah
Indah kata-kata tentang adat yang ditinggalkan oleh datuk nenek moyang kita. Pemerhatian dan pengumpulan pengalaman mereka kini jadi rujukan kita. Tapi jangan lupa:
Adat pasang berturun naik.
Lain padang lain belalang
Sekali air bah
Sekali pasir berubah
Semuanya berubah. Semuanya beralih. Yang tetap hanya perubahan. Dulu, kelmarin dan semalam tidak sama dengan hari ini. Hari ini yang akan menjadi esok juga tak akan serupa dengan minggu depan. Minggu depan tak serupa dengan bulan depan. Tahun ini mustahil akan sama dengan tahun depan. Inilah hakikat perjalanan hidup.
Awas – bila aku menulis ini bukan aku terperangkap dengan semalam. Jangan silap faham. Semalam yang telah berlepas adalah semalam yang telah berlalu. Apa yang aku tulis ini ialah semalam yang membawa aku ke hari ini. Tanpa semalam tanpa kelmarin tanpa tahun lalu aku tidak akan sampai ke sini untuk menjadi aku yang menggarap tulisan ini.
Lalu ingatan aku kembali ke majlis perkahwinan sepupu aku : Zainon Binti Hitam dengan Khalid bin Oteng. Ini berlaku ketika aku di sekolah rendah.
Kak Cik Ainon satu satunya anak perempuan kepada Mak Mok aku. Mak Mok aku ialah kakak kepada emak aku. Suami Mak Mok panggil Hitam aku panggil Pak Rek. Orang kampung mengangkat dia menjadi Tok Ompek - kepala kampung di Kampung Tengah.
Bila Kak Cik aku nak kahwin – Mk Mok nak berolek – kerana anak perempuan hanya seorang maka kenduri diatur seperti Mak Mok dan Pak Rek Itam aku hanya ada anak seorang walhal mereka ada dua lagi anak lelaki – Kassim dan Zakaria.
Bakal suaminya Khalid – orang kampung panggil Udo Roled. Kami sekampung. Melintasi dua rumah dari pagar rumah aku ialah rumah Udo Roled. Dekat sekali rumah kami. Malah sesekali aku akan datang ‘mencuri’ mandi di pergi Tok Oteng. Mencuri mandi ini adalah perbuatan yang amat radikal ketika aku berumur empat tahun. Hebat aku ketika itu kerana berani masuk mencuri mandi di perigi orang.
Perigi Tok Oteng ini menarik kerana agak luas – macam kolam kecil. Airnya jernih dan mata airnya besar. Airnya perigi ini sentiasa melimpah keluar menjadi anak air menuju ke jinjang sawah. Maka amat senang aku mencebok mandi dengan tempurung kelapa. Perigi rumah aku agak dalam. Perlu ada timba yang bertali.
Aku pernah ternampak dua biji telor berok ini terjuntai besar. Buntutnya merah. Berok ini dilihat gagah sado terikat dengan rantai besi di batang buluh yang disandarkan ke pokok manggis. Kalau mengikut budaya berok maka Berok Tok Oteng telah menjadi Berok Tunggal. Kalau dia hidup meliar berok Tok Oteng ini pasti menjadi pemimpin.
Untuk budak-budak Kampung Tengah Berok Tok Oteng memang satu tarikan. Setiap kali aku melintasi depan rumah Tok Oteng aku akan menjengok di bawah pokok manggis. Aku melihat berok ini dengan perasaan berani dan perasaan takut.
Ada satu petang berita tersebar tentang Berok Tok Oteng terlepas bebas. Berok Tok Oteng putus rantai dan merayau dalam kampung.
Malah ibu ayah dalam Kampung Tengah kalau nak menakutkan anak anak agar jangan bermain jauh-jauh akan menggunakan Berok Tok Oteng sebagai sebab.
‘ Jago jago....borok Tok Oteng.. putus rantai terlopeh lari .... naik ke rumah..’
Aduh! Takut kepada berok putus tali adalah takut yang paling menakutkan ketika aku membesar sebelum masuk ke sekolah. Takut jenis ini ada pada aku sebelum aku pindah ke Jelebu. Sebelum aku dapat melihat pekan, lampu leterik dan kereta. Ini sebelum aku ternampak Bengali yang berserban dan berjanggut. Sebelum aku tahu apa itu Rumah Pasung. Sebelum aku tahu apa itu Mata-mata.
Ketika membesar dunia aku hanya ada satu bahaya besar yang boleh mengancam aku di kampung : Berok Tok Oteng yang putus rantai.
Bila Kak Cik Ainon aku hendak berkahwin dengan Uda Roled aku jadi gembira. Aku gembira kerana Berok Tok Oteng ini akan menjadi suku sakat kaum kerabat keluarga aku. Ini lojik aku ketika itu. Amin.
Dua minggu sebelum hari perkahwinan di rumah Mak Mok ada pesta kacau mengacau. Ini hari membuat dodol dan kuih wajid. Kuih wajid yang telah dimasak akan dibungkus dalam upeh pinang. Penganan dodol pula akan dimasukkan ke dalam tempurung kelapa yang dicantumkan kembali untuk menjadi sebiji kelapa. Dua kuih Melayu ini amat penting dalam upacara selepas kahwin.
Tiga hari sebelum kenduri kahwin ramai ahli keluarga telah datang berkumpul di rumah Mak Mok. Keluarga terapat sepupu sepapat semua datang. Ada yang telah datang lebih awal. Membantu apa yang boleh dibantu. Membuat apa yang boleh dibuat.
Dua hari sebelum kenduri berita buruk sampai. Lembu yang nak disembelih masih belum dapat ditangkap. Orang kampung telah gagal menjerat lembu ini. Pak Rek aku memilihara banyak lembu. Lembu-lembu ini dilepaskan hidup liar dalam Hutan Kering. Ini wilayah tanah kebun getah yang dimiliki oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
‘ Lombu duduk dalam tanah gotah kobon rajo..’
Tanah raja ini agak jauh dari kawasan sawah. Lembu dalam hutan ini bukan hanya ada satu dua pemilik. Banyak orang kampung melepaskan lembu di sini. Lembu-lembu ini hidup liar tidak berkandang.
‘ Ini tanah rajo kito...’
Bila lembu jantan itu gagal ditangkap maka keputusan dibuat. Lembu ini akan ditembak untuk disembelih. Pak Rek aku sebagai Tok Ompek ada memiliki senapang. Maka sehari sebelum kenduri lembu ini ditembak. Aku tidak melihat apa yang berlaku di Hutan Kering. Hanya peha dan daging yang telah dikuliti dibawa pulang untuk dimasak.
Malam sebelum kahwin ialah malam berinai. Kak Cik Ainon diinaikan jari tangan dan jari kaki. Malah ketika malam berinai ini akan ramai anak anak dara jiran tetangga yang lain akan berinai sama. Ada juga Mak Cik dan Kakak berinai sama untuk merayakan bakal pengantin. Untuk anak dara mereka berinai sambil menyimpan harapan moga-moga tahun depan mereka pula akan di inaikan.
Di pagi hari kahwin Mak Andam telah datang awal. Dari surah yang aku dengar Mak Adam ini memiliki ‘ ilmu dalam’ yang akan memaniskan muka Kak Cik aku. Dia memberi Kak Cik aku makan sirih pemanis yang telah ‘di ayat’ untuk menambahkan seri muka.
Rumah Mak Mok aku tidak besar. Rumah tradisional Negeri Sembilan. Di anjung dipasang pelamin. Pengantin tidak duduk atas kerusi tapi atas tilam pandak. Disini juga akad nikah akan dijalankan.
Di tepi halaman rumah ada satu lagi pelamin. Buluh, daun kelapa dan bunga kertas yang telah dianyam mengindahkan pelamin agar dilihat cantik. Dua kerusi rotan tersedia untuk pengantin.
Di anjung ini juga tempat tamu lelaki, di tengah rumah dan di dapur tempat tamu perempuan. Orang lelaki yang lain duduk di bawah rumah di balai atau di penanggah.
Ingatan aku masih cerah. Aku ternampak hadiah yang dibawa oleh jiran tetangga untuk Kak Cik Ainon aku. Beberapa gemal padi. Dua pasang ayam jantan dan betina yang ekornya telah dipotong. Beberapa biji kelapa. Ada dua butir kelapa yang telah bercambah. Semuanya diletakan di tepi tangga.
Ketika itu aku tidak faham akan tanda dan makna hadiah -hadiah ini. Sekarang aku sedar bahawa inilah nahu dan bahasa pengucapan harapan dan doa orang kampung kepada pengantin yang akan memulakan penghidupan baru. Kelapa untuk ditanam. Padi untuk disemai. Dan ayam untuk diternak. Aduh! Indahnya budi bahasa ketika itu.
Kemudian aku terdengar bunyi tetawak, kompang dan rebana di pukul. Rombongan Pak Uda Roled datang dari kampung ilir. Ramai tamu yang datang aku kenal. Semua jiran tetangga. Aku juga tamu yang aku tak pernah lihat mungkin jiran dari kampung lain.
Uda Roled naik ke rumah. Aku ingat lagi Uda Roled memakai Baju Melayu biru muda, berkain samping songket hitam , siap dengan tanjak dan keris. Kak Cik Ainon aku pun dengan kebaya labuh biru. Rambut telah didandan cantik. Muka berbedak bergincu. Kain selendang berlingkar di bahu.
Kak Cik aku duduk berselimpoh di rumah tengah di sebelah katil pengantin. Dia dikipas oleh Mak Andam. Kemudian Kak Cik aku ditanya setuju menerima Uda Roled atau tidak sebagai suami. Pastilah bersetuju kerana sesudah mendengar jawapan dari pengantin perempuan barulah upacara ijab kabul di jalankan. Pak Rek aku menjadi wali. Aku tak dengar dan tak melihat semua upacara ini kerana aku di bawah rumah. Amin
Kemudian jamuan makan bermula. Kami budak dan kanak-kanak duduk bersila di atas tikar mengkuang. Kami diberi makan lebih awal sedikit dari orang dewasa.
Kenduri kahwin memang hari istimewa. Ada gulai ayam. Ada gulai itik. Ada gulai lembu. Untuk sayur ada gulai labu. Untuk aku selain dari gulai daging - yang paling menarik ialah gulai lemak umbut kelapa muda. Inilah menu jamuan makan yang aku ingati bila ada kenduri kahwin di kampung. Masak lemak gulai umbut memang tidak pernah aku lupakan. Bon appetit – selamat makan.
Selesai jamuan makan kedua pengantin akan dibawa turun ke bawah untuk bersanding. Ketika bersanding upacara menepong tawar dijalankan.
Renjis renjis dipilis
Ditepungi di tawar
Beras kunyit ditabur
Disiram air mawar
Uda Roled dan Kak Cik Ainon duduk diatas kerusi rotan. Kaum keluarga dan para tamu berdiri mengelilingi hadapan pelamin. Saudara yang rapat – Mak saudara dan Bapak saudara akan merenjis bunga air mawar dan tepong tawar.
Duduk muda sejoli
Atas pelamin berseri
Dihias intan baiduri
Sebagai raja sehari
Lepas duduk bersanding
Duduk rapat berganding
Salam salam keliling
Sambil mata menjeling
Sebelum bersalaman ada satu lagi upacara dijalankan. Ini upacara bersilat. Dalam setiap kampung pasti ada tukang silat yang hebat dan diminati ramai. Ketika ini juga anak anak muda kampung akan diminta masuk ke dalam gelanggang untuk bersilat sambil menunjukkan bakat. Ini bersilat bersendirian. Kadang kala ada yang berpasangan.
Untuk aku pencak silat adalah budaya asli Melayu. Bukan bersilat untuk bergaduh tapi membuat persembahan dalam kenduri kahwin. Untuk kami budak budak kampung selain dari makanan enak bersilat juga menjadi tarikan dalam kenduri kahwin.
Pada tahun 1968 aku pernah belajar bersilat dari Tok Guru Basir dari Kampung Gagu. Sekolah aku telah diminta oleh Tok Penghulu menghantar satu pasukan silat untuk mengambil bahagian dalam upacara Pertabalan Datuk Undang Jelebu yang baru dilantik.
Aku masih ingat pada malam pertama sebelum kami diajar membuka langkah Tok Guru Basir telah membakar kemenyan. Ini upacara membuka gelanggang di tepi tanah lapang di sebelah bagunan sekolah kami.
Aku juga masih ingat lagi satu malam upacara bersemah dijalankan.
Beberapa hari sesudah mula belajar secara tidak di sengaja kaki aku telah berdarah tertikam pisau yang kami gunakan untuk berlatih. Maka Tok Guru memberhentikan kelas. Esoknya dia membawa seekor ayam jantan. Kami - lapan anak murid yang belajar bersilat diminta berdiri rapat membuat bulatan. Tok Guru Basir menyembelih ayam jantan ini kemudian menitiskan darah ke atas kaki kami.
‘ Ado pulak orang mintak darah.. kito kono bagi dio darah...’ Tok Guru Basir memberi penerangan apa maknanya upacara bersemah yang telah kami jalankan.
Ketika Kak Cik Ainon aku kahwin aku belum belajar bersilat lagi. Jadi aku hanya menjadi penonton. Aku ingat lagi petang itu tukang silat yang paling diminati oleh orang kampung ialah Pak Cik Amoi. Rumah dia di sebelah rumah aku. Pak Cik Amoi ini bersilat dengan bunga-bunga dan pecahan silat yang amat menarik.
Lepas upacara bersilat pengantin dibawa naik ke rumah. Majlis nikah kahwin telah langsung. Jemputan beransur pulang. Sanak saudara bersalaman. Semua tamu yang datang mendapat bunga telor untuk dibawa pulang. Bunga telor adalah tanda resmi kenduri kahwin.
Tapi Mak Mok aku masih ada kerja lagi. Hakikatnya adat menerima menantu ini bukan enteng.
Seminggu kemudian akan ada kenduri kecil. Ayam akan disembelih lagi. Doa akan dibaca. Ini upacara berbesan. Kenduri berbesan dijalankan di rumah pengantin perempuan.
Dalam Adat Perpatih Pengantin Lelaki menjadi ‘orang semenda’ – pendatang masuk ke dalam keluarga perempuan. Maka berbesan ini ialah ‘ucapan selamat Tok Oteng dan Mak Oteng kepada anak lelakinya Uda Roled yang akan menyemenda dan terus menetap di rumah Mak Mok aku. Kenduri berbesan ini amat itim. Ini pengikatan keluarga melalui perkahwinan.
Untuk aku keluarga baru ini termasuklah Berok Tok Oteng yang terikat sama.
Beberapa hari kemudian ada lagi satu upacara. Upacara akhir ini dipanggil ‘menyembah’ . Dalam adat Negeri Sembilan si lelaki yang menjadi orang semenda dalam Adat Perpatih akan dipekenalkan kepada sanak saudara sebelah perempuan. Memperkenalkan orang semenda ini dipanggil istiadat menyembah.
Pengantin baru akan bertandang dari rumah ke rumah kaum kerabat – Mak Saudara dan Pak Saudara sebelah pihak pengantin perempuan.
Inilah ketikanya kuih wajid dan dodol akan memainkan peranan. Kak Cik Ainon dan Uda Roled akan membawa kuih ini sebagai buah tangan. Buah tangan ini akan mendapat balasan dalam bentuk duit atau hadiah. Amin
EPILOK
Aku pulang ke Tanah Melayu satelah dua puluh tahun berkelana. Kawan aku Mizuan - dari zaman Universiti Malaya - datang dengan kereta mengambil aku dari lapangan terbang Subang untuk membawa aku pulang ke Kampung Chenor Jelebu.
Aku kembali melintasi Bukit Tangga. Aku kembali melihat Jeram Toi. Di kaki Bukit Tangga aku terperanjat kerana lembah sawah Jelebu telah kering. Sawah padi di setiap kampung yang aku lalui telah lesap.
Tanah sawah telah membelukar. Jelebu yang dulunya dihijaukan dan dikuningkan oleh padi kini tidak wujud lagi. Sungai yang penuh dengan air dahulu telah cetek berpasir. Jauh di bukit aku ternampak hutan dara Jelebu telah ditarah.
Beberapa bulan satelah aku mengenap di Kuala Lumpur aku mendapat jemputan kenduri kahwin. Kenduri kahwin pertama yang aku hadiri memeranjat aku. Jamuan makan menggunakan katering. Budaya gotong royong telah lenyap.
Semua menjadi pelik lagi memelikkan kerana aku tidak kenal siapakah gerangan orang yang duduk berhadapan di meja aku.
Aku hanya datang untuk makan. Tidak lebih dari itu. Bertepung tawar dan bersilat tidak aku temui lagi. Bunga telor telah berganti dengan macam macam.
Suasana bertambah pelik bila aku ternampak di YouTube ada Cik Gu Moral yang cuba melarang adat bersanding. Cik Gu Moral ini tidak faham tanda, nahu, bahasa dan makna ritual persandingan. Cik Gu moral mahu Melayu jadi Arab. Mahu mempadang pasirkan bumi tropikal. Kami Melayu bukan Arab.
Bila sawah diganti dengan sawit dan sawit dikerjakan oleh Mat Indon atau Mat Bangla maka gotong royong digantikan dengan katering. Untuk aku bila Melayu hilang sawah hilang gotong royong maka hilanglah Melayunya. (TT)
MUNCUL DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
2 ulasan:
Hati² berbasikal dilorong² dijalanraya, kelak terperosok dalam lobang tiada siapa peduli, lainlah kalau tahap menteri siap ada puak minta maaf lagi.kahkahlahkah, yang mati dan cedera gara² jalanraya rosak selama ini nak buat apa.lawaklah
Dah semua orang nak jadi minah karan kerja kilang
TT pon dan lari ke ingeris
Budak budak pon dah ta nak main selut
Sapa yg nak diharapkan kerjakan sawah
Impot bangla la buat kebun sawit
Catat Ulasan