Rabu, 2 Disember 2020

PENAMPAR - DUKUN DAN PAWANG



 PENAMPAR

DUKUN DAN PAWANG


Aku dilahirkan di Kampong Tengah  Tengkek Ulu  Jempol Kuala Pilah Negeri Sembilan. Tarikh lahir aku pun aku tidak tahu. Apa yang ditulis di surat beranak hanya hari bulan untuk memastikan emak dan abah aku tidak ditangkap oleh  Orang Putih kerana tidak mendaftar anak yang baru lahir. Ketika aku lahirkan Parti Komunis Malaya sedang melancarkan perang gerila menentang kuasa kolonial Inggeris. Abah aku tidak ada di kampung. 

Dari surah yang aku dengar Kampong Tengah ini dibuka oleh arwah datuk aku yang bernama  Sidek. Bila aku lahir Tok Sidek sudah  meninggal. Sok seh sok seh yang aku dengar Tok Sidek aku ini telah dihalau keluar dari daerah Sungai Ujung  Seremban kerana perselisehan hal adat. 

Wan aku namanya Rahmah. Dia isteri kedua Tok Sidek.  Mereka berkahwin satelah isteri pertama  Tok Sidek  meninggal dunia. Di Negeri Sembilan kami tak guna pakai Tok Wan atau Nenek  - kami pakai Wan untuk perempuan dan Tok untuk lelaki. 

Wan Rahmah  aku inilah bertanggung jawab  memberi aku kesedaran. Wan aku memberi pencerahan  bahawa  tujuh keturunan dulu kami adalah  Bani Sakai. Justeru kami dari suku Biduanda.  Di Negeri Sembilan ada 12 suku. Biduanda ialah suku Orang Asal dari Negeri Sembilan manakala 11 yang lain suku pendatang dari Sumatera.   Perut aku perut Sungai Ujung.  Perut dan suku adalah tunjak Adat Perpatih yang kami amalkan di Negeri Sembilan.

Dalam pencerahan yang aku terima dari Wan Rahmah -   Muhamad  bin Abdullah itu ialah Tok Penghulu kami.  Wan aku memahami  konsep Tok Penghulu  yang selari dengan budaya Melayu kami. Kami bukan Arab. Kami Melayu  asli.  Pada hemat aku Tok Penghulu lebih tinggi taraf dari Tok Batin.

Wan aku ini juga saorang bidan kampong.  Dia menjadi  bidan melalui pengalaman.  Semua adik beradik kami kecuali yang akhir lahir dibidani oleh wan aku sendiri. 

Arwah Tok  Sidek dan keluarga sebelah emak aku orang kuat agama.  Dalam kawasan  tanah kampong kami ada  surau dimana Tok Sidek mengajar agama.  Bila aku lahir surau ini sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanya tapak surau ditumbuhi oleh sebatang pokok mata kucing, sebuah kepok padi  dan lesong kaki.

Bila Tok Sidek meninggal dunia mayatnya dimakamkan di kawasan belakang rumah. Dalam belukar  antara pokok getah, pokok limau, pokok durian, pokok langsat – disitulah dikebumikan Tok Sidek. Arwah emak aku ada menunjukan makam datuk aku.  Hanya satu kubur.

‘ Di situ tok kau di makam kan...’  Emak aku menunjukkan   dengan jari sebuah busut tanpa batu nisan. Amin. 

Isteri pertama arwah datuk aku  juga dikebumikan dalam kawasan  kampong yang tidak jauh dari kampong kami.  Aku selalu melintas  dihadapan kawasan  kubur ini. Mengikut surah  Kak Cik Ainon sepupu aku  - isteri pertama datuk aku ini mati  bersalin. Mengikut kepercayaan kami mayat perempuan mati bersalin ketika di kebumikan wajib diletakkan telor ayam di celah dua ketiak mayat. Ini untuk memastikan  mayat tidak bangun  mengepak terbang  keluar.  Manakala anak yang mati dalam perut ketika bersalin menjadi hantu Bajang

Mengikut sepupu aku  isteri pertama datuk aku ketika dikebumikan  tidak dibubuh telor dicelah ketiak.  Ini kerana Tok Sidek aku mahu isterinya dikebumikan mengikut ajaran Islam. 

Kesah dari Kak Cik  aku ini amat-amat menakutkan aku. Bila melintas kawasan kubur ini aku paling takut. Aku takut kalau kalau mayat yang tak bertelor akan terbang keluar dengan Bajang membalas dendam pada aku anak cucu Rahmah yang telah mengambil suaminya.

Demikianah aku membesar penuh dengan majik dan misteri. Penuh dengan kesah makhluk halus. Hantu polong, pelesit jembalang,   penunggu, puaka dan busung. Pokok besar ada penunggu, batu besar ada penunggu ,  rumah tinggal ada hantu, dapur tinggal ada  penunggu, hutan , sungai pokok,  malah burung yang terbang itu pun ada yang membawa hantu. 

Inilah dunia Melayu  aku. Indah sekali. Inlah pembudayaan aku anak lelaki keempat dari suku Biduanda.  Inilah  pembudayaan  Melayu asli yang  membesarkan aku.

Ingatan aku kembali dengan  Sekolah Melayu Tapak dimana arwah emak aku – Zaleha Sidek menjadi guru.  Bangunan induk  sekolah ini bertiang batu beratap zinc. Bangunan tambahan  berlantai tanah beratap rumbia. Di bangunan tambahan Murid duduk bersila.  Sekolah ini ada perigi batu. Ada juga dapur. Di waktu rehat murid sekolah diberi minuman air susu tepong dari ‘gamin’. Semua dikendalikan oleh guru. 

Ketika ini  ayah aku Rais Manaf bekerja sebagai Special Constable (SC) soldadu Inggeris.  Ayah aku dari Jelebu.  Orang Jelebu kahwin dengan orang Tengkek satu yang ‘rare’ pada  masa itu.  Tengkek -Jelebu - dua wilayah ini  amat jauh sekali. Biasanya bujang dan dara berkahwin dengan orang sekampong atau semukim. Bagaimana  emak aku berjumpa ayah aku ada kesah cinta yang lain.

Ketika ini aku belum sekolah. Aku hanya mendengar, melihat, merakam  dan mengumpul  apa yang berlaku dihadapan mata.    Pada tahun 2020 ini aku bernasib baik  ‘ motherboard’ aku belum berkarat. Ingatan  aku masih cerah. Detik detik itu datang kembali. Setiap babak yang aku tulis ini  dibantu oleh ingatan imej dan gambarannya datang kembali.

Di Sekolah Tapak keluarga kami duduk di rumah guru. Dihadapan rumah kami aku sebatang pokok kuinin yang tak pernah berbuah.  Sekolah Tapak ada  padang bola dan kolam ikan.

Di hadapan sekolah ialah rumah Mat Teleng. Lehernya teleng sadikit justeru orang kampong memanggil di Mat Teleng. Si Mat ini ada kelebihan.   Dia boleh mengunci sakit.  Dari mana dia mendapat ilmu kepandaian dan kelebihan ini aku tidak tahu. 

Bayangkan klinik paling dekat ialah di Padang Lebar.    Dari kampung aku ke Padang Lebar  lebih kurang 12 batu.   Ketika ini tak ada kereta yang masuk ke  daerah kami. Kampong kami dihubungi  dunia luar dengan jalan tiga kaki. Basikal ialah sistem pengangkutan kami yang terpantas selain dari menapak.

Jika ada sakit pening maka  Tok Bomoh dan Mak Bidan  akan memainkan  peranan penting.

Pernah satu malam  abang aku sakit gigi. Maka Wan aku membawa abang aku ke rumah Mat Teleng. Entah apa jampi serapah yang dipakai aku tidak tahu. Kemudian Mat Teleng  mengambil tukul besi dan memaku sebatang paku pada dinding tiang seri  rumahnya.  Sakit gigi abang aku hilang.

Di belakang  kawasan sekolah berhampiran  rumah kami ialah hutan dara yag dilalui oleh   anak  sungai. Jauh ke dalam sadikit ada air terjun tapi tidak bagitu besar. Aku jarang mendekati kawasan air terjun kerana dari surah yang  aku dengar kadang kala ada orang bunyian datang mandi disana.  Terutama ketika matahari panas ditengah hari.

Kesah orang bunyian mandi ini menjadi  amat   menyakinkan aku.  Pada satu petang ketika  di tepi sungai aku  terserempak dengan Dukun Mail.  Ini Tok Bomoh Kampong Tapak. Semua orang Tapak tahu siapa Dukun Mail.  Dia dikatakan boleh  berhubung  dengan makhluk halus.

Petang itu nasib aku amat baik. Dari jauh aku mencuri lihat  apa yang sedang dilakukan oleh  Dukun Mail. Dia  membawa para yang dianyam dari buluh.  Para ini digantungkan di tepi sebatang pokok besar tak jauh dari  sungai. Di atas  para ini ada  beberapa ketul daging. Dukun Mail  membakar kemenyan sebelum  beredar . 

Mata aku terbeliak menyaksikan Dukun Mail sedang bersemah memuja penunggu pokok besar. Dia sedang memberi  hantu makan daging. 

Kesah Dukun Mail memberi hantu makan ini tersebar sekampong.   Cerita  Dukun Mail ini sampai juga ke rumah kami.  Tak ada siapa berani mempersoalkan kehebatan Dukun Mail. Semua takut dengan ilmu yang dimiliki Dukun Mail.

Dua hari kemudian aku hendak mandi ke sungai. Dari jauh aku  ternampak beberapa ekor lembu sedang berkeliaran  menghampiri pokok besar. Aku hairan kenapa lembu ini tidak takut pada pokok  besar yang ada penunggu. Aku ternampak  lembu lembu ini  berani sekali  melanggar para  yang digantung oleh Dukun Mail. Para itu  jatuh. Lembu mendengus  mengundur dan terpijak para itu.

Aku berlari pulang ke rumah.  ‘ Woit bukan hantu yang makan daging tapi lembu...’  Aku melaungkan kebenaran yang baru aku saksikan. Aku merasa berani kerana maklumat ini benar. 

‘ Diam.. jangan bising...’ Emak aku memberi arahan. 

‘ Bukan hantu tapi lembu...’ Aku cuba memberi penjelasan.

‘ Degil budak ni.... nak kena penampar ke...’  Emak aku marah.

Aku senyap. Bukan aku takut  hantu atau takut Dukun Mail  tapi aku takut kena marah dan dapat penampar.

Wan aku nampak yang berlaku.  Dia menunjukkan simpati pada aku.  Aku menjadi selesa kerana ada penyokong.

Aku mengadu minta simpati. ‘ Wan bukan hantu yang makan... tapi lembu yang langgar... nampak tadi...’

‘ Bila kau besar nanti... kau akan faham...sekarang jangan bising....’  Itu sahaja kata-kata sokongan yang aku terima.

Aku pun besar. Emak aku ditukarkan untuk menjadi guru di Sekolah Umum B Kuala Klawang Jelebu.   Kini kami duduk di pinggir  pekan Kuala Klawang – di kuaters  guru.  Sebuah banglo kayu yang besar – khusus untuk Guru Besar dan dua rumah batu teres.  Aku senang sekali kerana kali ini rumah kami ada api letrik dan air paip. Selama  4 tahun  aku membesar aku  selalu   mendengar  ayat : api dalam kaco dan ayer dalam bosi.

Satu  petang kakak aku terjumpa batu karang dalam belukar tak jauh dari rumah kami. Mungkin guru yang terdahulu dari kami telah membuangkan batu karang ini   kerana batu karang ini telah pecah.  Aku paling gumbira kerana  pertama kali  aku dapat melihat  dan memegang batu karang – rupa macam ranting kayu  - rupa macam tanduk rusa.

Pada sebelah malamnya tetiba  kedengaran bunyi  - seeet seet ssseeeet.... Wan aku bangun dan membaca sesuatu. Mulutnya  kumat kamit. Apa yang dibaca  aku  tak tahu. Kami adik beradik menjadi takut.

‘Seet.. seet.. seeet...’ Bunyi semakin nyaring. Kemudian Wan aku mengambil penyapu memukul ke dinding. Saekor belakang hijau jatuh. Wan aku menangkap belakang ini. Dia mengambil kain sarung. Dia memaksa belalang  menggigit tepi kepala kain. Kemudian badan belakang ini tarik. Kepala belalang ini tercabut dari badannya.

‘ Ini pelesit... ada yang dia ikut datang ke sini....’ Wan aku memberi penerangan. 

Kami menjadi takut.  Belalang hijau yang kurus  ramping sepanjang dua inci ini rupa-rupanya hantu  Pelesit. Menurut Wan aku bukti ianya pelesit cukup jelas. Kepala belalang ini  tertinggal  di kepala kain.  Perutnya terbarai. Ini tanda pelesit. Hujah pembuktian  Wan aku seperti hujah peguam  menjadikan aku lebih takut. 

Wan aku berhujah lagi. ‘ Pelesit ini  masuk  ke rumah kita  kerana dia mengikut....’ Mengikut apa? Mengikut siapa? 

Mustahil belalang ini mengikut aku. Kami  belum pernah berjumpa. Tetiba aku teringat  kubur isteri pertama  Tok Sidek.  Apakah hantu perempuan  mati  bersalin itu  datang mengikut Wan aku dan keluarga kami dari Kampong Tengah  Kuala Pilah hingga ke  Kuala Klawang Jelebu. Jauh juga hantu ini boleh terbang.  Seram. 

Tetiba kakak  aku menarik nafas panjang dan berkata  ‘.. batu karang tadi....’

‘ Hantarkan ke tempat asalnya...’ Wan aku pula memberi arahan.   Rupanya batu karang ini menjadi ikutan Pelesit. Apa hubungan batu karang ini dengan Pelesit aku tidak tahu.

Dalam pekan kecil Kuala Klawang ada klinik gigi. Dua batu dari pekan ada hospital Petaling terletak indah di atas bukit.  Matron hospital ini Orang Puteh.  Maknanya  orang kampung hendak mendapat ubat dan rawatan tidak banyak masalah. Tapi di Jelebu ini  tidak  bermakna  bomoh dan dukun hilang pengaruh.

Pengaruh dukun , bomoh dan pawang tidak hilang-hilang.  Orang kampung yang sakit masih lagi  menggunakan khidmat dukun dan bomoh.

Aku ingat lagi Dukun   Aman. Dia ini amat-amat terkenal. Aku ada ternampak  beberapa kali Tok Bomoh ini ketika makan kenduri di Kampong Chenor tiga batu dari pekan Kuala Klawang. Ini kampung tempat ayah aku dilahirkan.  Masyarakat kampung memberi penghormatan pada Dukun   Aman. Dia  duduk di anjung rumah sama setaraf dengan Tok Imam Masjid. 

Dari desas desus cerita bawah tanah yang aku dengar   Tok Dukun Aman ini ada  memiliki harimau.  Awas!  Ini bukan   binatang piliharaan seperti kucing atau anjing.  Harimau  ini datang membantu Dukun  Aman ketika memberi rawatan.

Selesai makan kenduri mata aku mengikuti  Dukun  Aman. Aku perhatikan apakah dia akan ke dapur untuk meminta gulai daging atau tulang-tulang lembu  sebagai bekalan kepada harimaunya. Tidak. Sesudah  makan Dukun  Aman terus mengambil basikal dan bergerak pulang.

Kehebatan Dukun  Aman ini memang diketahui ramai. Dia boleh mengubat orang kena rasuk hantu. Mengubat orang  kena buatan orang.  Memberi ubat pendinding.   Penyakit yang pelik-pelik semuanya datang berjumpa Dukun Aman.   Kehebatan Tok Dukun ini bukan kerana dia ada sijil MBBS dari John Hopkins Medical School tapi kerana dia ada harimau. 

Aku selalu bertanya pada diri aku sendiri di mana agaknya harimau ini tidur.  Dalam sangkar,  dalam kandang atau atas para. Berapa banyak daging yang diperlukan   untuk memberi makan  Sang Harimau . Harimau  ini jantan atau betina.  Soalan  dan pertanyaan ini muncul ketika aku masih belum masuk sekolah. Aku bertanya dan bertanya  tanpa mendapat jawapan.

Kemudian aku masuk sekolah darjah satu.  Ketika cuti aku selalu bertandang ke Kampong Chenor. Duduk di rumah Mak Long – kakak kepada ayah aku. Aku suka ke sana kerana rumahnya tidak jauh dari sungai. Anak lelaki Mak Long aku yang sebaya umur menjadi kawan untuk mandi sungai dan memancing ikan.   Zaman kanak-kanak aku memang indah.

Rumah Mak Long aku ini selalu ramai orang datang.   Saudara mara datang melawat atau bermalam. Mak Long aku anak sulung – maka  dia menjadi tumpuan keluarga.   Musim cuti sekolah ramai sepupu sepapat aku datang bertandang. 

Di satu  cuti sekolah  Pak Teh , Mak Teh , Kak Long  dan Mak Ngah dan anak mereka bertandang di rumah Mak Long.  Makan malam kami macam kenduri.  Sesudah makan kami semua duduk berehat bersandar didinding. Di tengah rumah terpasang dua pelita minyak tanah.     Mak Long aku  menjadi tumpuan. Dia duduk belunjur  rehat. 

‘ Icham picit kaki Mak Long...’Ini permintaan yang selalu aku terima. Aku lakukan dengan senang hati.

Kemudian Mak Long aku berkesah. Kami budak budak membuka telinga mendengar. Dua malam dulu Mak Long aku telah melihat  Dukun Aman mengubat orang sakit.  Mengikut cerita  Mak Long ada  perempuan ini kena rasuk hantu.  

Bila terdengar perkataan hantu aku   memberhentikan memicit kaki Mak Long. Aku mahu memasang telinga.

‘ Dia mencarut..maracau...dua orang memegang  baru dapat dipasong ... bukan main kuat lagi... entah dari mana datang tenaga... Mak Long yang  minta panggil Dukun Aman datang .. Mak Long bagi tau Dukun ni bukan datang seorang.’

Aku faham makna – bukan datang seorang. Dukun Aman akan datang dengan harimaunya.

Mak Long  aku bersurah tentang persediaan berubat.   Perlu ada sirih ,  pinang, kemenyan, ibu garam dan ibu kunyit.  Orang sakit wajib tidur dalam kelambu.  Kalau berubat ditengah rumah tak boleh ramai ada orang.  Bila terdengar bunyi pelik pelik jangan sapa.  

‘ Bila Dukun Aman datang dia akan masuk  mengubat dalam kelambu. Bila dia  dah masuk ke dalam kelambu semua pelita mesti dipadamkan. Kalau tidak rimau tak  datang... rimau tak masuk kelambu kalau pelita terpasang...’  Mak Long aku  menerangkan dengan panjang lebar cara Dukun Aman mengubat.

‘ Mak Long... kalau dalam kelambu dan  pelita  padam... mana kita nak tahu rimau tu  dah masuk  ke tidak ... dalam gelap semua tak nampak ....’  Aku mencelah , bertanya dan menyoal.

Paaang. Kepala aku kena penampar.  Semua senyap.   Api dari sumbu pelita meliok liok ditiup angin.

EPILOK

Arwah Mak aku minta aku diam jangan banyak bercakap.

Arwah Wan aku berkata bila aku besar baru aku faham.  

Mak Long aku memberi aku penampar. 

Pada hari raya tahun 2018 aku pulang ke Kampong Tengkek.  Aku pergi mandi ke  Jeram Guntur terletak  di perkampungan  orang asli tempat usul asal aku.  

Abang peniaga warung di situ memberi aku tahu bahawa Jeram Guntur ini keras berhantu. 

‘ Bang inilah tempat yang  telah lama  saya cari. Umur saya dah satengah abad. Saya masih mencari hantu. Sampai hari ini belum berjumpa..  Kalau abang ada nampak hantu itu ini  numbor talipon saya. Sila talipon saya dengan serta merta. Saya akan datang kerana saya nak berjumpa dengan hantu  itu. Dah lama saya mencari.  Saya akan belanja abang naik kapal terbang  bercuti ke London. ‘

Abang di Jeram Guntur ini   sosok ke dua belas yang  telah  mendapat numbor talipon aku. Sampai hari  ini aku masih menunggu panggilan itu. (TT)



TULISAN INI JUGA
TELAH MUNCUL DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2020/12/02/penampar-dukun-dan-pawang
/


3 ulasan:

capt salai berkata...

Tt mesti kau cakap dukun aman tu yg jadi harimaukan..kongkek dlm kelambu pelito lak padam..sepo tau..kecuali jam rolex dukun tu tertinggal kahkahkah

Tanpa Nama berkata...

Dukun tu la rimau tu tt oii. Masa masuk kelambu tu rimau tu akan meraung raung mencakar cakar dinding dan menghentakkan lantai. Oh yeah..I'm cumming! Cam tu la raung rimau tu. Sangat indah erotis melayu. Tak caya tanya tamar jalis. Pandai ya dukun. Mau entot bayar la.

Tanpa Nama berkata...

Syoknya jd bomoh atau hantu.ramai org takut dn pcya.kesian melayu asik kena tipu huhuhu