Selasa, 1 Disember 2020

PKATAN HARAPAN WAJIB BERUBAH

 

PAKATAN HARAPAN

WAJIB BERUBAH

ATAU 

RAKYAT AKAN UBAH

AMIN



Warisan tidak hadir Dewan Rakyat, persoal kepimpinan Anwar

AHLI Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi isyarat mempersoalkan kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang apabila mereka sepakat tidak menghadiri perbahasan dan pengundian Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa hari ini, lapor Malaysiakini.

Ketua Whip Warisan di Dewan Rakyat Rozman Isli dipetik berkata mereka sengaja tidak hadir kerana kecewa dengan kepimpinan Anwar, selepas pihak pembangkang tidak sepakat ketika menentukan Belanjawan 2021 di peringkat dasar minggu lalu.

“Kami dah penat dengan apa yang berlaku dalam blok pembangkang.

“Buat masa ini keputusan kami ialah, kami tidak akan menyertai sesi undi belah bahagi,” katanya, seperti dipetik portal berita itu.

Rozman juga dipetik berkata semua ahli Parlimen Warisan berada di Kuala Lumpur dan bukannya pulang ke Sabah.

Beliau juga berkata ahli Parlimen Warisan tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan dan pengundian Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa sehingga partinya membuat ketetapan lain.

Perbahasan peringkat jawatankuasa yang bermula hari ini akan diadakan untuk 27 kementerian sehingga 15 Disember sebelum Dewan Rakyat memutuskan untuk meluluskan atau menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga.

Rozman berkata Warisan mengambil sikap begini untuk menyedarkan blok pembangkang yang tidak dapat menyusun strategi yang betul.

“Tanpa membuat sikap begini, pembangkang seperti tidak sedar perlunya keputusan tegas dibuat.

“Seperti apa yang berlaku pada Khamis yang lalu, kami diberi pemberitahuan pada saat-saat terakhir. Ia mengecewakan.

“Kami masih dalam blok pembangkang tapi kami mahu menghantar isyarat kepada kepimpinan pembangkang bahawa kami tidak kami ditolak ke sana ke sini, dan saya tidak fikir mereka buat strategi (atau) langkah yang betul,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan secara undian belah bahagi; yang pertama lulus dengan 105 menyokong dan 95 membantah, sementara yang kedua, 107 menyokong dan 95 membantah.

Seramai 20 ahli parlimen tidak hadir mengundi untuk peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, manakala 18 tidak hadir semasa undian untuk peruntukan Kementerian Kewangan.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 anggota selepas dua wakil rakyat, masing-masing dari pembangkang dan kerajaan, meninggal dunia. Di atas kertas Perikatan Nasional mempunyai 112 ahli Parlimen berbanding 108 di kem pembangkang.

Selain Rosman, tujuh ahli parlimen Warisan yang lain ialah Mohd Shafie Apdal (Semporna), Darell Leiking (Penampang), Isnaraissah Munirah Fakharudy (Kota Belud), Azis Jamman (Sepanggar), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Chow Kon Yeow (Tanjong-DAP) juga tidak hadir semasa undian bagi Kementerian Kewangan, selain Masir Kujat (Sri Aman-PSB), serta tiga ahli parlimen PKR iaitu Awang Husaini Sahari (Putatan), Michael Teo (Miri), dan Christina Liew (Tawau).

Mereka yang tidak hadir di pihak kerajaan termasuk Najib Razak (BN-Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Pada Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dengan undian suara selepas pembangkang gagal mendapat sokongan 15 ahli Parlimen untuk undian belah bahagian.

Blok pembangkang Pakatan Harapan ketika itu mengejutkan penyokong mereka apabila tidak sepakat untuk mendesak undian belah bahagi, sebaliknya membiarkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 lulus.

Pendirian blok Pakatan Harapan itu mengejutkan kerana mereka sebelum itu konsisten menggambarkan undian Belanjawan 2021 adalah ibarat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – 30 November, 2020.


NOBATKAN

PEMIMPIN BARU

ATAU

WUJUDKAN

PAKATAN BARU

AMIN



Tiada ulasan: