AL- KESAH
SEBIJI KELAPA
Berita Operasi Lalang mula menyerap dikalangan aktivis dan kumpulan NGO kota London yang mengambil tahu hal Malaysia dan Asia Tenggara. Beberapa minggu sesudah tangkapan aku lihat peranan Amnesty Internasional menyebarkan berita dan berkempen cukup unggul.
Udo lelaki German yang bertugas di Amnesty terus menyampaikan maklumat terkini. Dari mana punca maklumat ini aku tidak tahu. Aku anggap Udo dan Jomo sebagai perawi saheh – Bukahari dan Muslim. Hadis-hadis mereka sampai kepada aku dalam masa seminggu atau dua minggu bukan 200 tahun kemudian. Justeru amat meyakinkan untuk dipercayai.
Perjumpaan di 44 Newmill House telah bersetuju untuk mengumpulkan pelajar kota London. Tugas ini senang dan susah. Senang kerana aku tak perlu minta kebenaran dari sesiapa. Bilik dan dewan boleh digunakan. Dewan milik universiti atau dewan milik Majlis Tempatan boleh di guna pakai jika ada kosong. Tidak perlu mengisi borang berjela-jela , tak perlu letak gambar kad pengenalan, permit polis atau surat kebenaran dari Naib Cancelor.
Susah kerana aku hanya seorang cuba membuat dan menyusun kembali gerakan anti ISA. Aktivis lama dari FEUMSSO hampir ke semua sudah balik kampung.
Senang kerana dewan kuliah untuk membuat perjumpaan di universiti atau di luar universiti boleh senang diminta. Ini mengingatkan aku kembali ke zaman pelajar aku di Universiti Malaya (UM ). Kumpulan pelajar, kelab siswa atau persatuan pelajar di UM boleh bebas bergerak , menyusun dan mengatur aktiviti tanpa halangan.
Aku dari Kelab Sosialis selalu mengadakan forum dan perbincangan. Forum biasanya di adakan di dewan kuliah Fakulti Sastera. Jika dijangka ramai yang akan datang maka kami mengadakan di Dewan Kuliah F. Dewan Kuliah F adalah yang terbesar di fakulti. Untuk perbincangan yang lebih intim dan serius kami dari Kelab Sosialis akan berkumpul di bilik kelas di Fakulti Sains.
Di zaman aku menjadi mahasiswa semua aktiviti pelajar berjalan lancar sama seperti yang aku rasakan ketika aku sedang kembali menjadi siswa di Polytechnic of Central London tahun 1987. Aktiviti pelajar lancar tanpa gangguan.
Di London kalau menggunakan Dewan milik Majlis Tempatan – wajib membayar sewa yang paling minimum. Paling afdal warga yang tinggal di Majlis Tempatan itu sendiri yang melamar. Semua beres. Semua tuntas.
Inilah kota London bukan Kuala Lumpur yang telah aku tinggalkan. Aku memberi pencerahan pada diri aku bahawa tahun 1987 Kuala Lumpur dan Malaysia kini di bawah kawalan Mahathir Muhamad. Ketua Polis Negara ialah Haniff Omar – seorang ‘old boy’.
Pada tahun 1974 - ketika Polis dan soldadu masuk merempuh ke Universiti Malaya untuk mencari aku – Mahathir Muhamad ketika itu baru sahaja menjadi Menteri Pelajaran. Untuk rakaman sejarah Mahathir bertanggung jawab meminda Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) pada tahun 1975.
Ketua Polis Negara ialah Haniff Omar – ‘old boy’ . Ketua polis ini yang diangkat oleh Razak Husin yang juga ‘old boy’. Ketika aku berdemo di awal tahun 70’an hingga tahun 1974 – aku sering ternampak sosok ini menjadi ‘ ketua – gedebe ’ di Bulatan Jalan Pantai.
Polis dan soldadu masuk merempuh masuk ke Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan pada pagi 8 Disember 1974 kerana kami kaum pelajar telah turun berdemo. Dari pagi Selasa 3 Disember 1974 demo pelajar bermula di Dataran Merdeka. Demo berlanjutan setiap hari hingga ke subuh Ahad 8 Disember 1974.
Selam lima hari kami berdemo - pagi petang siang malam. Jam 10 pagi kami mula berhimpun di Sudut Pidato depan Perpustakaan kemudian kami berarak dari Sudut Pidato menghala keluar kampus ke Bulatan Jalan Pantai sebelah Masjid Universiti. Tujuan untuk mara ke kota Kuala Lumpur.
Dari Bukit Pantai – pelajar Universiti Kebangsaan akan turun berdemo sama. Kami berhimpun di sekitar bulatan Jalan Pantai.
Pertempuran antara pelajar dan FRU - Polis Simpanan Khas - akan berlaku di sekitar Masjid dan Bulatan Jalan Pantai. FRU akan menembak gas pemedih mata untuk memaksa kami masuk kembali ke dalam kampus. Restoran Amjal ketika itu hanyalah sebuah restoran setinggan. Amjal telah menjadi saksi paling setia dan melihat apa yang berlaku.
Pelajar dan mahasiswa berdemo untuk membuktikan setia kawan kaum pelajar dengan kuam tani miskin di Baling Kedah. Dua minggu sebelum 3 Disember kaum tani dan warga Baling yang juga disertai oleh warga kampung dan pekan yang berdekatan telah turun ke jalan raya berdemo mengepong banguanan kerajaan dalam pekan Baling.
Musim hujan bulan Disember 1974 membawa malapetaka. Getah tidak dapat dituris. Makanan habis. Kemiskinan merebak. Kebuluran sampai. Ada warga yang papa kedana terpaksa makan ubi gadung.
Kaum tani Baling Kedah yang kaya dengan kemiskinan telah bangun menunjukan perasaan marah dan melawan kemiskinan. Mereka membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional di bawah Tun Razak dan United Malays National Organisation telah gagal.
‘ Cakap bedekah-dekah hal Melayu – yang lapar tak makan pun Melayu’ . Inilah cerita yang kami di Kual Lumpur dengar datang dari mulut kaum tani Kedah.
Satelah aku meninggalkan Universiti Malaya (UM) pada petang Ahad 8 Disember 1974 aku selalu mendengar kesah-kesah tentang UM. Tempat terberak lagi dikenang ini kan pula tempat menyorok.
Surah ini berkesah bagaimana sesudah Mahathir meluluskan pindaan AUKU1974 jika ada pelajar nak terkentut mereka wajib mendapat surat kebenaran dari HEP – Canselor Hal Ehwal Pelajar. Mengikut surah ini semua aktiviti pelajar wajib mendapat kelulusan dari HEP – termasuk terkentut. Semua ini – aku difahamkan adalah mengikut fasal dan peraturan dalam pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974
Wow! Bagaimana agaknya Jantan Muda dan Minah Bergetah hendak memadu kasih ... opps.. silap ...perkatan yang tepat di zaman itu di UM ialah bagaimana nak ‘smelling’ di bawah pokok buluh di tepi Tasek Universiti Malaya. Apakah nak berendut perlu mendapat watikah dari Ungku Aziz Naib Canselor UM ketika itu atau dari yang Amat Mulia Pemaisuri Agung yang menjadi Canselor UM tahun 1974. Kah kah kah.
Kini aku berhadapan dengan keindahan dan istimewanya kota London. London kota kapir di mana warganya memulakan pagi dengan ‘full English, melayan keberahian seksual yang bebas lagi lumayan dan duduk di pub menegok beer sebelum pulang ke rumah dari pejabat. Bancian suara pada Disember 2018 oleh Eurostat dan Eurobarometer menunjukkan 40.2% warga Britain tidak beragama - agnostik dan ateis.
Ini berbeza dari negara Malaysia yang mendabik dada mengakui sebagai negara Islam. Menjadi anggota Organisasi Negara Islam (OIC) Islam tetapi langsung tidak menghormati hak asasi manusia yang paling asas.
Hakikatnya di Malaysia pada tahun 1987 sesiapa yang bersuara dan mengkritik kerajaan Mahathir Muhamad dari parti United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya akan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akan masuk penjara tanpa bicara.
Operasi Lalang adalah buktinya. Tangkapan bermula pada 27 Oktober 1978. Akhirnya pada 20 November 1978 Operasi Lalang telah menangkap 119 warga Malaysia untuk ditahan di bawah ISA.
Kawan aku Yunus Ali ditangkap sama. Aku wajib melakukan sesuatu di London. Amin.
London - kota ini mengalu-alukan percambahan fikrah. Kota yang merayakan segala bentuk pandangan. Kota yang menyediakan prasarana untuk sesiapa sahaja membuat kajian ilmiah dan non ilmiah.
Kota di mana wujudnya pelbagai bentuk gerakan politik – dari kiri ke kanan. Dari ekstrem kanan ke ekstrem kiri. Dari yang terbuka hingga yang gelap di bawah tanah.
London berbangga kerana Karl Marx yang lari dari tangkapan polis German pada tahun 1849 tinggal di London hingga meninggal dunia pad tahun 1883. Di London Karl Marx tinggal di 28 Dean Street Soho. Marx membaca dan membuat kajian di British Muzium. Dari perpustakaan ini lahirnya Al- Kitab Das Kapital.
Aku juga berbangga kerana aku berjaya lari dari polis Malaysia 1974 dan sampai ke London. Aku juga akhirnya bekerja sebagai pelayan di restoran Desaru juga di Soho. Restoran Desaru ini tidak jauh dari bekas rumah sewa Karl Marx.
Vincent van Gogh warga Belanda juga datang ke London. Dia bekerja di galeri lukisan di Convent Garden. Van Gogh tinggal di Brixton. Dia jatuh cinta dengan seorang Minah di Brixton. Cinta van Gogh ditolak. Dia merana patah hati lalu kembali pulang ke Amsterdam. Kemudian Van Gogh ngelencong ke Borinage Belgium untuk merancang menjadi padri.
Aku dari Jelebu sampai ke Wavre Belgium. Ngelencong ke London. Tinggal di 44 Newmill House Bromley by Bow kemudian pindah ke Brixton. Aku terlupa ... apakah aku ada jatuh cinta di Brixton.
Opss.. jawabnya ada. Cinta aku juga ditolak. Aku sedih – tapi apa yang boleh aku lakukan. Aku tak mungkin dapat pulang ke kampung. Tidak saperti Van Gogh yang pulang dari Brixton ke Amsterdam untuk berjumpa adiknya Theo van Gogh yang bersedia memberi sokongan emosi dan fulus.
‘ Isham... hit the iron when it’s hot... tak buat apa apa ke?’ Ini suara Minah yang aku tak pernah kenal . Suara yang tak pernah aku dengar.
‘ My brother pun kena tangkap... you know my brother K.K Tan... ‘ Suara itu mengeras memberi penerangan.
‘ I don’t think so...’ Aku menggeleng kepala. Mustahil Minah ini nampak gelengan kepala aku.
‘ My brother ... lecturer at UPM... what you want to do... Isham....you must do something...’ Suara ini melembut dan merayu.
Aduh. Aku terperanjat. Ada lagi suku sakat ISA di London. Aku wajib memukul talipon untuk bertanya siapa K.K. Tan ini. Aku semakin disedarkan bahawa jala ISA semakin meluas menangkap. Jelas terbukti semakin ramai suku sakat yang terkena hingga menular sampai ke London.
Geng aktivis lama aku di 34 Birnam Road semua sudah balik kampung . Sosok yang terus tinggal di London tak pulang-pulang hanyalah Mister Tan Wah Piow.
Wah Piow ini kenalan lama aku dari zaman Tasik Utara. Johor Bahru. Ketika aku Setiausaha Agung di PMUM 1974 , Wah Piow menjawat Presiden USSU – University Singapore Student Union. Dua persatuan pelajar – PMUM-USSU – sering mengadakan program bersama. Aku pernah di jemput ke Singapura sebagai ahli panel forum USSU. Pertama kali aku duduk sebangku berkenalan dan bercanggah pandangan dengan Syed Husin Al-Attas.
Wah Piow terlibat dalam kes mogok kilang buruh leteronik di Jurung. Dia ditangkap kerana dituduh merusuh. Wah Piow dibicarakan dan di penjara dua tahun oleh Lee Kuan Yew. Keluar dari penjara Wah Piow diwajibkan menjadi soldadu – pasukan meriam. Tan Wah Piow lesap melarikan diri dan muncul di London untuk mendapat suaka politik.
Melalui Wah Piow aku diberitahu Minah yang menalipon aku namanya Karen Tan. Kakak kepada K.K. Tan. Suami Karen bernama Jeffrey dari Sabah. Mereka tinggal di Shepherd’s Bush West London dan telah menjadi penduduk tetap United Kingdom. Karen bekerja sebagai misi. Jeffrey menjalankan peniagaan menjual tiket kapal terbang untuk pelajar Malaysia.
Dari Jomo aku diberitahu bahawa K.K. Tan ialah aktivis alam sekitar. K.K Tan lulusan bidang jurutera dari Manchester University. Kemudian menyambung ilmu alam sekitar di University of Carlifornia Bekerley . Pulang dari Bekerley dia menjadi pensyarah alam sekitar di Universiti Pertanian (UPM).
K.K Tan menyusun dan memimpin gerakan alam sekitar. Pensyarah ini memberi pencerahan tentang pencemaran akibat dari radioaktif perlombongan nadir bumi di Papan dan Bukit Merah Perak.
Pusing punya pusing – kempen punya kempen – kami semakin ramai di London.
Satu petang Rohana memperkenalkan aku dengan seorang Minah Melayu. Kami berjumpa di kedai kopi China Town. Sembang punya sembang Minah Melayu yang bernama Farida ini berasal dari Bukit Chandan. Dia anak kepada Megat Khas. Megat Khas ini aku tahu dan kenal. Megat Khas ialah Pengerusi MCKK ketika aku belajar di sana. Abang kepada Farida ialah Megat Najmuddin – old boy - senior kepada aku.
Sokongan bertambah lagi. Dari dunia akedemianya Rohana memperkenlkan aku dengan John dan Prema. John pensyarah dari London School of Economic. Manakala Prema Devaraj Minah cun dari Pulau Pinang ini sedang menyambung belajar di London. Prema dan Rohana telah berkawan lama. Rohana mengajar di Universiti Pulau Pinang dan Prema warga Pulau Pinang.
Semua yang berlaku kepada diri aku di London sesudah Operasi Lalang mengingatkan aku kembali kepada cerita pendek Aku Di Sebuah Pulau. Buku kumpulan cerpen dengan nama yang sama ini milik arwah emak aku. Aku membaca kumpulan cerita pendek ini dalam tahun 1958 ketika aku dalam darjah dua.
Aku tidak akan melupakan kesah ini. Kesah sebiji kelapa yang jatuh dipukul angin dibawa air sungai ke laut. Dipukul ombak dan badai – melintasi pelbagai halangan. Akhirnya kelapa nan sebiji ini terdampar di pasir. Kelapa ini tumbuh bercambah dan akhirnya menjadi sebuah pulau.
Cerita pendek Aku Di Sebuah Pulau yang aku baca ketika aku kanak-kanak ini telah menjadi pemandu dan falsafah hidup aku. Cerita ini menjadi pedoman dan jurumudi dalam perjalanan hidup aku ketika aku berkelana.
Cerita ini tidak pernah meninggalkan aku. Ketika aku pindah dari kota ke kota. Ketika aku pindah dari negara ke negara. Ketika aku pindah dari penjara ke penjara. Cerita sebiji kelapa ini tetap setia bersama aku.
Pernah aku membuka kesah kelapa ini di Melbourne Australia pada tahun 1977. Ketika itu aku dihalau keluar dari Australia oleh kerajaan Malcolm Frazer.
Kawan aku aktivis pelajar - anak kelahiran Malaysia – T.M.B Krishnan – merasa risau dan gusar kerana kerajaan Australia telah menolak permintaan suaka politik aku. Aku wajib meninggalkan Australia. Khalas.
‘ Krish .. not too worry mate... a good coconut... blown into the sea... will ends up as an island.... fair dinkum...dinkie die...’ Aku tersenyum memberi semangat harapan kepada kawan aku sebelum aku meninggalkan Melbourne.
Penerangan aku kepada T.M.B Krishan bertujuan untuk meredakan kegusaran keselamatn aku yang dipaksa meninggalkan Melbourne. Falsafah sebiji kelapa ini betul-betul aku curi dari cerita pendek Aku Di Sebuah Pulau..
Benih yang baik dipukul ombak akhirnya akan menjadi pulau. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/02/10/falsafah-sebiji-kelapa/
2 ulasan:
Just scroll down, quality yelek.,, pahem ada?
Bro kalau Syed Hussein Al-Attas tu ialah pak habib iaitu penulis buku politik. Kalau yang profesor tu ialah Syed Hussein Alatas. Bukan apa takut orang konfius ingat lu sepentas dengan pak habib kah kah kah
Catat Ulasan