KUMPUL BANTU
LAWAN
AMIN
Aktivis kumpul dana bantu Orang Asli perangi projek lombong
SEBUAH kumpulan aktivis dan parti politik memulakan pengumpulan dana bagi mendapatkan RM30,000 untuk Orang Asli Pos Lanai di Sungai Lipis, Pahang agar dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap projek perlombongan yang mereka dakwa akan menyebabkan kerosakan besar kepada alam sekitar.
Misi Solidariti dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa projek itu juga akan mempengaruhi kehidupan hampir 10,000 Orang Asli dari suku Semai di situ.
Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam memberitahu The Malaysian Insight, masyarakat Orang Asli merancang mengemukakan afidavit menghentikan pencerobohan tanah itu.
Beliau berkata pelannya adalah untuk mengajukan surat afidavit sebaik sahaja mencapai sasaran diperlukan untuk kempen mereka.
Kegiatan perlombongan baharu yang diluluskan kerajaan Pahang dikatakan merupakan projek terburuk dan paling merosakkan setakat ini, melibatkan 660 hektar dan memberi kesan alam sekitar besar buat keluarga di enam kampung di situ.
Sivarajan berkata, PSM dan Misi Solidariti kini sedang mengumpul dana sebanyak RM30,000 untuk Orang Asli bagi membiayai kos perundangan, pengumpulan data, pemetaan tanah adat, percetakan dan perkhidmatan pos serta kos perjalanan.
Katanya, komuniti Orang Asli Pos Lanai memperjuangkan deklarasi yang akan memaksa kerajaan negeri mewartakan kediaman dan hutan mereka sebagai tanah adat asli yang sah supaya ia dilindungi daripada pencerobohan secara kekal.
Setelah berjaya menamatkan projek Empangan Telom pada 2018, yang memakan masa lima tahun dan tunjuk perasaan tidak berkesudahan, masyarakat di situ terkejut dengan rancangan kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) untuk melombong lantanida logam nadir bumi di kawasan itu.
Sivarajan memberi amaran yang pencerobohan lanjut di tanah ini dapat mengakibatkan bencana yang serupa dengan krisis Kuala Koh pada 2019 yang menyebabkan 15 Orang Asli maut.
Beliau juga berkata projek ini akan mempengaruhi mereka yang bertani di darat, sambil menambah stok ikan mereka juga telah berkurangan disebabkan pencerobohan tanah.
Menurut Misi Solidariti, projek ini akan merugikan hutan kerana perlombongan lantanida menarik kotoran tanah ke permukaan, yang menyebabkan pencemaran tanah dan air sungai, sementara proses pemisahan lantanida dari tanah yang akan meninggalkan kesan asid dan radioaktif.
“Projek ini bukan setakat memusnahkan tanah nenek moyang mereka, tetapi turut membahayakan kehidupan ratusan keluarga,” kata mereka.
“Orang Asli Pos Lanai juga menghadapi ancaman pengusiran, dipaksa meninggalkan rumah mereka atas nama keuntungan korporat.”
“Dalam kes serupa di masa lalu, ini menyebabkan masyarakat berpecah kerana Orang Asli terpaksa berpindah ke tempat-tempat di mana mereka terputus dari sumber semula jadi untuk hidup.”
Misi Solidariti berkata, selain projek perlombongan, kampung Orang Asli sentiasa mendapat kunjungan syarikat pembalakan dengan lesen daripada kerajaan negeri Pahang, yang menekan Orang Asli untuk “membenarkan” pencerobohan mereka.
Tanah nenek moyang ini sangat kaya dengan sejarah, dengan Orang Asli mengekalkan cara hidup tradisional mereka selama lebih 100 tahun, dengan budaya pelbagai ritual dan kepercayaan mereka sendiri.
Mereka sangat menghormati hutan. Apabila masuk, dilarang bergelak ketawa atau mengejek binatang, orang, atau kehidupan lain di dalamnya.
Tanah dan sungai sangat berharga bagi mereka dan Orang Asli bergantung kepadanya untuk meneruskan kehidupan. – 24 Februari, 2021.
1 ulasan:
Kes Alam Sekitaran Pahang ..Al-Agong tak dok nak royak apo ko ..
Catat Ulasan