Rabu, 12 Mei 2021

KESAH SALIM DAN BOO



 

SALIM DAN BOO 

Ketika aku bekerja di Desaru dan di Garuda Restoran  aku tidak pernah merasa  takut dengan Jabatan Imigresen  atau Polis Sempadan United Kingdom.  Aku ada visa pelajar dan kad penduduk Belgium.  Semua pemilikan rasmi.  Semenjak sampai ke Eropah  dan  kerajaan Belgium telah menerima aku sebagai pesuaka politik  maka aku telah ‘pencen’  dari membuat kerja  bawah tanah. 

Dulu aku amat arif dalam hal tipu visa, buat cap ini dan cap  itu dan kerja-kerja sulit. Aku menjadi cekap dalam projek menyeludup barang. Aku juga arif menyeludup melintas sempadan  dengan memakai  pasport  palsu. Pasport palsu aku  kantoi di lapangan terbang Moscow. Ini  mengubah perjalanan hidup aku. 

Di London aku pernah dengar bagaimana sesekali ada ‘rush’  oleh Jabatan Imigresen  di McDonald Piccadilly - ramai ‘ anak muda buruh haram’ lari lintang pukang.  Aku hanya mendengar surah  ini tapi  tidak melihat. 

Tapi aku pernah melihat   kawan aku  Ho anak muda dari  Ipoh yang bekerja sebagai pelayan  sama dengan  aku di Desaru ditangkap oleh Bobby.

Nasib  Ho ini kurang baik. Pada malam itu  Mister Gan tuan punya Desaru telah meminta Ho mengalihkan kereta  dari depan restoran bawa ke belakang restoran. Ho bergegas pergi. Entah macam mana dia  telah salah jalan – langgar  trafik   dan terus ditahan Bobby. Ho tidak ada  lesen memandu.   Kemudian bila diperiksa -  visa lawatan pun sudah mati. Lalu Ho dihantar oleh Jabatan Imigresen ke lapangan terbang  Heathrow untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Kawan  aku  Anthony Babington a.k.a  Tony – anak muda  berkulit hitam - sering menggunakan Jabatan Imigresen untuk menakut-menakutkan  kawan-kawannya dari Jamaica yang  baru  ‘ lulus’ masuk ke London atau kawan-kawan yang bekerja di McDonald.  Tony akan menelefon mereka dan berlagak sebagai pegawai Imigresen.  Apabila kawannya gelabah maka dia akan terbarai ketawa. 

Si Tony ini pernah ‘ mengenakan’ aku.  Dengan lorat Queen English dia telah menelefon aku.   Aku termakan perangkap Tony sehingga aku merasakan betul-betul  sedang disoal jawab oleh pegawai imigresen. Kemudian Tony ketawa. Cilaka.

Pada  satu pagi Sabtu telefon aku berdering. Ketika itu aku tinggal di 427 Southwyck House Coldhabour Lane Brixton . Bangunan ini  lebih popular dengan nama Barrier Block. Jalan Coldhabour Lane  ini telah dinobatkan sebagai jalan paling bahaya di London kerana ini  jalan ini kawasan jual beli ganja dan hashih dan pelbagai bentuk dadah. 

Deringan telefon ini mengejutkan aku. Dengan pisat-pisat mata aku mengambil gagang telefon.

‘ Good morning Mister Rais...  Im  from the custom department of Heathrow Airport....’ Suara dari sebelah sana.

‘ Fuck you Tony...you woke me up... what the fuck do you want...’ Aku  yakin budak itam Si Tony  hendak melawak lagi. 

‘ Excuse me Mister Rais... I got your number from the BBC Malay section...’ Suara di sebelah sana  berbunyi tegas. Aku tergamam.

‘ Oh.. sorry... yes... how can  I help you...’ Suara aku  menjadi melunak.

‘ We need a Malay traslator ... we have a case – a Malaysian guy.. police and immigration case... will you be able to help us...’

Celaka. Aku silap. Bukan Tony membuat lawak  tapi pegawai Kastam dari lapangan  terbang Heathrow yang memerlukan penterjemah.  Pegawai kastam ini  telah mendapat nombor telefon aku dari BBC. Ini kerana aku pernah bekerja sebagai penterjemah dan pembaca berita di BBC London bahagian Melayu pada tahun 1989.

‘ Mister Rais .. please ask Information Counter  when you arrived at Hearthrow.. we will be waiting for you.. thank you..’ Perbualan tamat.

Aku membuat kopi untuk sarapan pagi. Selesai sarapan aku menapak ke stesen kereta api bawah tanah dari Brixton menuju Heathrow.  Dalam kereta api aku membaca The Guardian yang telah aku beli tepi stesen. Perjalanan mengambil masa lebih dari 1 jam. Sambil membaca aku terfikir apa sebenarnya sedang berlaku.

Di Information Counter aku dibantu. Seorang Mat Saleh datang dan membawa aku masuk menuju ke Pejabat Kastam Heathrow Airport.

‘ Mister Rais.. I am  Chadwick and  ‘tis my colleaque Robert... ‘  Mister Chadwick menghulur tangan dan memperkenalkan aku dengan rakan sejawat  Robert. 

‘ Rais is my father.. call me Isham..’   Aku ketawa sambil menerangkan  bahawa di Malaysia nama pertama itu nama untuk panggilan. Nama  kedua  nama keluarga . Ini agak berbeza dengan cara panggilan nama di Eropah.

‘ Well Isham.. here we have a case.. we cought  two Malaysian   arrived  from Kuala Lumpur this morning ... one of them with a luggage... we suspected heroine ...brown sugar in his shoes... we confiscated it... now in the lab... we need you to translate  for him ... you worked at the BBC did you?...’

‘ Yes... few years  back...’

Dari pejabat kastam aku dibawa oleh Chadwick  ke bilik siasatan.  Satu meja tiga kerusi. Satu lembaga besar berbungkus dengan plastik putih. Sama seperti pakaian orang naik ke bulan.   Kepalanya  lembaga tertangkup  di atas meja dan tangannya menjadi bantal.  

‘ This is  Mister Salim..... his partner Mister Boo Ah Ha   is in another room...’ Lembaga  bernama Salim ini mendongak dan memandang muka aku tanpa suara.

‘ Salim.. aku Isham....aku dipanggil jadi penterjemah untuk kamu.. aku bukan lawyer...penterjemah.. bukan peguam...’ Aku cuba menghulur tangan tapi tangan Salim terbungkus. Aku menjelaskan kepada Salim siapa aku. Aku takut dia anggap aku peguam. Tapi mata  Salim  kuyu  dan macam dengar tak dengar. 

‘ He is still groggy... smell of alcohol... and we found in his  pocket  some hashih... marijuana...’  Chadwick memberi penerangan. 

Aku  yakin Salim dalam keadaan mabuk.

‘ Please tell him.. he is under arrest...all conversation here  in this room is taped and recorded...’ 

‘Salim... kamu kena tangkap... polis kastam nak soal siasat kau...semua cakap kita ni  dirakam...ada tape rekoder dalam bilik ini..  faham tak..’ Aku mula  menjadi penterjemah. Salim tak ambil pot.

Robert sampai dan berdiri di tepi pintu memandang keadaan kami bertiga. 

‘ Let’s do it tomorrow...’ Robert memberi pandangan.

Chadwick dan aku bangun keluar meninggalkan Salim  yang masih mabuk dalam bilik siasatan. Kamu kembali ke Ibu Pejabat.

‘ This morning we let him check out at the immigration counter ... we observed him from a distance... waiting for his contact to appear...’

Chadwick menerangkan Salim dibenarkan keluar dengan Bo  hingga ke tempat teksi.   Pihak kastam mengintip dari jauh.  Pihak kastam mahu melihat  siapa yang akan datang mengambil Salim dan Bo.

‘ Isham... it was too easy to  spot  him.. he was walking like a duck out of the plane...’  Robert memberi penjelasan bagaimana pihak kastam menahan Salim yang sedang  mabuk berjalan macam itik bila sampai di Heathrow.

‘ We suspected  his contact in London is a Singh... but no one waited for him at the taxi stand.... we let him stay for  almost 20 minutes before  we picked him..’ Chadwick memberi penjelasan bagaimana Salim dan Bo ditahan pagi ini dari penerbangan pesawat Mas yang datang dari Kuala Lumpur.

‘ We will continue tomorrow... ‘

‘ I am sure.. I hope  he will be sober...’ Aku berharap  Salim akan sihat pagi esok.

Dalam perjalanan pulang aku terfikir tentang Salim dan dadah heroin.  Aku rasa semuanya tak masuk akal.  Si Salim ini ada dadah dalam kasutnya. Dari apa yang aku baca di Malaysia yang telah lebih 10 tahun aku tinggalkan ada hukuman gantung untuk pembawa dadah. Bagaimana Si Salim ini boleh terlepas di Lapangan Terbang Subang. Aku rasa waswas dengan tangkapan ini.

Esoknya jam 10 pagi aku telah sampai ke Heathrow. Seorang Mat Saleh telah membawa aku masuk menuju ke Ibu Pejabat Kastam. Kali ini aku dibawa  ke lorong yang berbeza.  Kami masuk ke dalam perut bangunan Heathrow. Dari tingkap kaca  aku nampak  penumpang  keluar dan masuk.  Di tepi bucu satu  bangunan aku ternampak seorang  Hippie Mat Saleh duduk dengan Backpack  merah. 

Kemudian kami melintas ke wilayah barang dan bagasi yang  diturunkan dari pesawat dan  diletak ke atas eskalator yang sedang berjalan. Aku terperanjat kerana di setiap eskalator yang bergerak  ada seekor anjing  jenis kecil sedang meloncat-loncat mencium setiap bagasi yang ada di atas eskalator.

Wow. Aku merasa bertuah kerana dapat masuk ke dalam perut bangunan Heathrow dan melihat kerja polis dan kastam. Ini maklumat penting jika aku  mahu menjadi penyeludup sekali lagi.  Para penumpang pesawat tidak melihat semua ini. Mereka  hanya menunggu di ruang  bagasi. Mereka tidak tahu bahawa ada Sang Anjing telah menghidu semua bagasi mereka.

‘ Good morning Isham... we need you to fill in  your name .. address and phone number... you are a translator  .. you will also be our witness too... you wil be call to court...’

Aku bersetuju untuk  menjadi penterjemah dan juga saksi. Aku terus menuliskan nama dan alamat aku. Bila beres kami keluar dari  Ibu Pejabat  Polis dan Kastam ini.

Ah ! Aku terperanjat besar. Bila aku memandang  ke luar tingkap pejabat  aku ternampak  Mamat Hippie yang tadi   duduk menebeng  di bucu bangunan itu kini   berdiri  menunggu di luar untuk masuk. Rupa-rupanya Si Hippie ini mata-mata.  Dia menyamar  menjadi  hippie.  Bila aku  di luar dan menoleh ke pintu dan tingkap  aku lihat semuanya gelap. Tadi dari dalam aku dapat melihat ke  luar.

Ha! Baru aku sedar bahawa ada tingkap cermin kaca dan cermin muka dalam  bangunan Heathrow ini  hanya untuk dilihat satu hala -  hanya boleh dilihat dari dalam. Di belakang  cermin kaca atau dinding gelas  ini  ada  mata-mata sedang  memerhati kesampaian penumpang.

Baru aku sedar kenapa Mister Chadwick berkata Si Salim ini berjalan macam  seekor itik. Rupa-rupanya dari awal lagi mata-mata telah memberi perhatian dari belakang  cermin gelas.

Kami sampai ke bilik siasatan.  Aku duduk ditengah-tengah antara Salim dan Chadwick. Salim kelihatan segar.  Dia tidak lagi memakai ‘ baju naik ke bulan’. Tujuan pakaian ini  jika Salim terberak dan ada dadah maka semuanya akan terkumpul dalam seluar yang khusus dibuat untuk kes tahanan dadah.

“ Salim... apa khabar... dak okay ... aku Isham... tolong terjemah... aku bukan lawyer...  Mat Salleh ni cakap Orang Putih  aku  alih  cakap Melayu untuk kau... faham..’

‘ Abang orang sini ke ..’ Salim memanggil aku Abang.  Lama aku tak  dipanggil  Abang. Ini panggilan budi bahasa Orang Melayu. Salim   kelihatan muda  belum sampai 30 tahun.   Salim agak gemuk. Kulitnya agak gelap. Mungkin Mamak. Aku tidak bertanya.

‘ Aku student di sini... belajar di London...kau dari mana..’

‘  Saya dari  Gombak Bang...’

‘ Semalam kau mabuk ke? ‘ Aku bertanya. Soalan  ini   bukan soalan Chadwick.

‘ Saya minum sikit wiski dalam kapal...  sebelum tu isap sikit... nak bagi semangat...’

‘ Ganja ada dalam poket seluar...’ Aku ingin tahu.

‘ Sikit je Bang...’ Salim tersenyum. Aku tidak menterjemahkan perbualan ini pada Chadwick.

‘ He said he is ok now ... fresh after breakfast..’ Aku membuat ayat sendiri.

Maka bermulakan kerja aku sebagai penterjemah.  Mister Chadwick akan bertanya  aku mendengar dan kemudian aku ajukan soalan Mister Chadwick  kepada Salim. Salim akan menjawab dan aku terjemahkan sebaik  yang mungkin ke dalam Bahasa Inggeris  untuk Mister  Chadwick. 

Meja ini  memang dibuat  khas untuk kerja soal siasat .Alat rakaman tertanam dalam meja ini. Ertinya tidak mengganggu kerja kami.

Salim menerangkan bahawa dia  bekerja sebagai pengawal peribadi untuk seorang Towkay China yang selalu turun naik ke Genting.  Salim telah terlibat dalam satu kemalangan.  Kakinya patah hampir dua bulan dia dihospital. Kini ada besi  dipasak dalam badangnya untuk membolehkan dia berjalan.  Salim berjalan tempang.

Mengikut Salim tujuan dia  datang ke London satelah dapat  duit dia akan mencari doktor untuk membetulkan kakinya.

 ‘ Where did he get  the brown sugar...’ Chadwick menyoal.

‘Mana kau dapat heroin itu..’

‘ Alaa  Bang senang je... beli  dekat Bukit Kayu Itam..

“ Bukit Kayu Itam ni apa? ‘ Ini nama yang pertama kali aku dengar.

‘ Abang tak tahu... ini sempadan dengan Siam... Plus  Plus  ... Highway Abang tak tahu ke? ‘  Salim bertanya  kerana dia  hairan kenapa aku tak tahu Bukit Kayu Itam dan Plus HIghway.  

Sebenarnya aku memang tidak tahu  nama Bukit Kayu Hitam mahu pun Plus  Highway. Ketika aku meninggalkan Malaysia pekan sempadan yang aku ketahui hanya Padang Besar dan Changlun. Salim pun tidak aku beritahu bahawa aku telah lama meninggalkan Malaysia.

‘ He bought it at the Thai  Border...’  Aku memberi jawpan kepada Chadwick.

‘ Did he knows the selller...’

‘ Sapa jual pada kamu ?

‘ Mana saya tahu  nama Orang Siam Bang...’ Jawapan Salim.

‘ A Thai bloke... he can’t remember...’

‘ What about the Singh...did he met the Singh... Chadwick mahu mengenal siapa  Singh ini.

‘ Bengali ni sapa Salim? “

‘ Bang dia orang sini.. dia bagi duit ... saya jumpa dia di Genting...dia janji tunggu di luar..  saya tunggu  tapi tak sampai..... itu pasal kena tangkap....kalau dia datang kita selamat’. Salim memberi penjelasan tanpa dia sedar bahawa dari awal lagi dia telah di mata-matai oleh pegawai Kastam.

‘ He met the Singh at Genting... a Londoner... at a casino joint  near Kuala Lumpur... the Singh gave him money  to buy the heroin ... he promised to meet  Salim outside the airport... but he failed to turn up...’ Aku menterjemah.

‘ I think Salim is just a mule...’ Chadwick memberi pandangan.

‘ Salim... Mat Saleh kastam ni cakap kau hanya kaldai tukang bawak..’

‘ Alaaaa Bang...dapat duit boleh berubat..’ Salim merayu.

‘  With the money he wants to repair his broken  leg..’ Aku memberi tahu Chadwick tujuan Salim datang ke London.

‘ Did he  knew any doctor? Or any clinic..?  Chadwick terus ingin mengorek maklumat  dari Salim. Jika ada lagi jaringan Salim yang perlu diselidiki.

“ Kau ada kenal doktor di London? Ada  tahu klinik mana nak pergi? 

‘ Tak  tahu..’ 

‘ He knew no doctor or clinic in London...’ Aku memberi penjelasan.

Soal siasat berterusan  hingga ke petang. Selesai siri petang itu Salim dihantar ke tempat tahanan lapangan terbang Heathrow.  Salim masih belum didakwa.  Dia dianggap belum mendapat kebenaran untuk mendarat.

Aku amati cara Orang Putih ini buat  kerja  amat rapi. Semua lubang dia  tanya. Korek sana soal sini. Aku hanya penterjemah. Tapi dalam masa yang sama aku memerhati bagaimana  gerak kerja mereka. Inilah cara kerja yang berjaya menjajah hampir  tiga par empat wilayah dunia. Kini menjadi 53 buah negara Commonwealth bekas tanah jajahan Inggeris.

Cara kerja Inggeris yang sistematik. Yang berjaya menjajah dunia.

Di Pejabat Kastam Chadwick menunjukan  filem  x-ray kaki Salim.  Tiga keping filem ini ditemui dalam beg Salim. Aku  menayangkan filem di cahaya lampu dan aku ternampak satu  batang besi sedang menopang tulang betis Salim. Dan satu lagi di tempurung lutut. Saheh - Salim bercakap benar dia datang ke London jual dadah untuk berubat.

‘  Isham..  tomorrow  you will meet Mister Boo Ah Ha.. have a good rest ... see you in the morning..’

Aku menapak keluar dari lapangan terbang Heathrow  menuju ke stesen kereta api  bawah tanah.  Dalam  kepala aku satelah melihat  filem x-ray kaki Salim aku merasa bersimpati dengan apa yang telah dilakukannya. Untuk aku budak Gombak ini bercakap benar.

Esok pagi aku akan bertemu dengan kawan Salim – Mister Boo Ah Ha. (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DI PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/05/12/salim-dan-boo/


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Entahlah uncle. Masa sama kagum cara org puteh memerintah menjarah, masa sama juga resah dgn cara anak watan buat hidup. Impromptu, segera,tiba tiba. Tiba naik semangat tiba tiba nak cari nombor,tiba tiba nak umum itu ini. Walhal nak kata bajak hasil usaha org lain (hijack) pun bukan juga sbb org yg berusaha tak terjejas atau teruk lagi, tak merasakan ia satu hijack.
Terima kasih uncle, selamat hari raya, dan terus juang.

wak man berkata...

TT, dah masuk bulan rayo.
ekau tulis la pulok cito rayo di london
bulih den baco time rayo PKP abah kau ni