Selasa, 6 Julai 2021

DARI LIDAH PENGARANG

 


DARI

LIDAH PENGARANG

THE MALAYSIAN

 INSIGHT



Kerajaan yang gagal memimpin, gagal memahami

LEBIH 5,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19 sejak tahun lepas, dan sekurang-kurangnya 4,500 daripadanya sejak darurat diisytihar pada awal tahun ini untuk melindungi negara daripada virus yang menggila.

Di sesetengah hospital, kontena yang dijadikan rumah mayat sementara penuh sehinggakan ada mayat yang disimpan di wad sehingga ada ruang kosong.

Di kebanyakan hospital pula, doktor dipaksa menjadi tuhan dan menentukan siapa diberi alat bantuan pernafasan. Senang cakap, siapa hidup dan siapa mati.

Ini yang sedang terjadi di Malaysia.

Tetapi kita tidak akan tahu hal ini kalau kita mendengar perdana menteri, jemaah menteri atau ahli Parlimennya bercakap – mereka yang mempertahankan kerajaan yang goyah dan gagal ini terus berkuasa.

Mereka ini bercakap tentang kontrak, vaksin, fasa, PKP dan entah apa singkatan lagi tetapi goyang apabila ditunjukkan kegagalan mereka.

Mereka ini ada masa untuk jamuan durian, menghantar anak bersekolah di Paris, kahwin isteri yang ketiga dan berkomplot mencari nyawa politik sampai bermesyuarat jauh ke tengah malam tetapi tidak berkutik sedikit pun tentang jiwa yang menderita.

Kenapa kejam begini? Kenapa tidak acuh? Kenapa memilih-milih?

Jumlah mereka yang meninggal dunia adalah bukti jelas kerajaan gagal teruk untuk memastikan rakyat dan tetamu di negara ini selamat.

Menarik perhatian kepada jumlah korban hanya akan menunjukkan kelemahan sebuah pentadbiran yang meminta kuasa luar biasa untuk menangani pandemik, dan mendapat kuasa yang diminta.

Bercakap tentang mereka yang terkorban akan memaksa kerajaan ini mengaku bahawa ia telah mensia-siakan tempoh setahun yang ada untuk memantapkan kemampuan hospital.

Jadi, lebih baiklah membatu saja tentang datuk nenek, ayah ibu dan anak cucu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Ada sebab lain yang munasabah kenapa kerajaan Muhyiddin Yassin cuba sedaya mungkin untuk tidak bercakap tentang mereka yang terkorban.

Ia tiada empati.

Menteri dan ahli politik kerajaan begitu terasing daripada penderitaan rakyat. Mereka tidak boleh dan tidak mampu merasai penderitaan orang lain.

Mereka sepatutnya berdukacita atas hilang daya dan hilang harap yang ditanggung oleh rakyat. Mereka sepatutnya bingkas meringankan luka dan duka sekian banyak keluarga.

Mereka sepatutnya memimpin.

Mereka tidak memimpin.

Syukur, rakyat Malaysia lebih arif apa yang patut dibuat. Mereka tahu bahawa kita harus sama-sama menggalas bahu dan meringan beban jiwa raga yang sedang menderita. – 5 Julai, 2021. 



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lebih cepat Bersatu tumbang dan berkubur, lebih bagus!

Tanpa Nama berkata...

Tuan TT, montori-mobtori dan orang bosar kat atas tu yang kononnya berkuaso sebenar-benarnya pengecut. Mereka sendiri tak berani turun ke padang untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh mereka sendiri tetapi menggunakan pekerja-pekerja di bawah pengurusan mereka seperti polis atau pegawai penguatkuasa atau orang upahan yang terlalu 'hard-up' nak wang dan kemudahan untuk bersambung nyawa menyelesaikan mereka tu. Tunggulah bila mereka ni kehilangan kuasa, baru mereka sedar tidak sebesar mana kuasa mereka tu..
Kesian je macai-macai dan barua-barua yang telah dipergunakan oleh cilakat-cilakat ni...!