HIGH NOON
SEPTEMBER INI
Saya selalu menyebut High Noon dalam tulisan. Saya menggunakan High Noon sebagai metafora. High Noon ini ialah sebuah filem Amerika tahun 1952. Filem yang menangi 4 Oscar ini diarahkan oleh Fred Zinnemann. Lakon layar oleh Carl Foreman.
Penulis lakon layar ini dianggap kiri dan dituduh bersimpati dengan Parti Komunis Amerika yang mempengaruhi Holywood pada ketika itu. Hasilnya - Foreman di senarai hitam dan namanya tidak dibenarkan muncul.
Filem The Bridge on The River Kwai (1957) arahan David Lean adalah filem dari United Kingdom yang memenangi 7 Oscar. Ini juga adalah hasil garapan lakon layar Foreman. Foreman ketika itu telah lari dari Amerika dan menumpang di United Kingdom.
Dalam filem ini nama Foreman tidak muncul .Yang muncul nama Pierre Boulle – penulis asal buku ini dalam bahasa Perancis. Pierre Boulle ini disenaraikan sebagai penulis lakon layar The Bridge on The River Kwai walhal Pierre tidak tahu berbahasa Inggeris. Ini sejarah Perang Dingin. Amin
High Noon ini berkisah tentang seorang Sheriff di sebuah pekan kecil bernama Hadleyville. Sheriff pekan ini bernama Will Kane lakonan Gary Cooper. Kane baru berkahwin dengan Amy yang dimainkan oleh Grace Kelley.
Kane yang baru berumah tangga ingin melepaskan jawatan. Kane mahu berladang dan memulakan kehidupan baru dengan isteri yang baru dinikahi. Tertiba berita sampai bahawa Miller dan Ben adiknya bersama dua orang pembantu akan sampai dengan kereta api jam 12 tengah hari.
Mereka datang mahu membunuh Kane. Miller membalas dendam kerana Kane pernah menangkap memenjarakan Miller.
Keadaan menjadi tegang. Dari awal pagi hingga jam 12.00 Miller dan Amy wajib membuat keputusan untuk menyelamatkan diri. Ketegangan inilah yang saya gunakan sebagai metafora politik Malaysia yang sedang berjalan di hadapan mata kita hari ini.
Ada ketegangan. Ada penjara. Ada dendam. Ada rampasan kuasa untuk memilih Sheriff baru . Inilah tema High Noon filem Fred Zinnemann.
High Noon Malaysia sedang dituntun bukan hanya oleh warga Malaysia, malah High Noon Malaysia ini sedang menjadi perhatian dunia. Dalam istilah filem apa yang kita lihat berlaku di hadapan mata kita hari ini adalah World Premier Grand Opening. Amin
High Noon Malaysia semuanya bermula dengan tindakan gelojoh dan tidak sabar Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. Anwar dan kuncu-kuncunya setiap minggu bersuara , melaung dan menjerit mengasak Mahathir Muhamad untuk mengundur.
Inilah detik rakaman sejarah permulaan High Noon Malaysia. Anwar Ibrahim mahu menjadi Sheriff baru yang memerintah Malaysia. Ada wujud dendam terhadap Sheriff lama.
Muncul watak sampingan - Parti DAP di bawah pimpinan Lim Guan Eng dan Parti Amanah di bawah pimpinan Mat Sabu. Dua watak ini hilang punca apabila mendengar guruh dilangit air di tempayan dicurahkan. Amin
Mat Sabu gagal memahami dan menghayati bagaimana Mahathir telah memberi kepercayaan kepada parti Amanah. Sebuah parti muda yang pecah dari Parti Islam PAS.
PRU14 menjadikan Melaka di bawah pimpinan Amanah. Mencurahkan air dari dalam tempayan Melaka ini mungkin akan mengambil satu masa jangka panjang untuk mengisinya kembali.
Lim Guan Eng dan kuncu-kuncunya juga tidak memahami apa yang ingin dan sedang dilakukan seorang Atuk bernama Mahathir. Bumi terbelah dan langit bertaup sekali lagi tidak mungkin ada YB DAP yang akan dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Guruh dari Anwar Ibrahim memang hebat.
Kalaulah sekiranya Mat Sabu perkenan akan Hotel Carcosa Sri Negara untuk menjadi miliknya – si Anwar Ibrahim ini pasti akan bersetuju. Hanya dengan satu syarat Mat Sabu akan terus membawa Amanah untuk menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Kalaulah Guan Eng meminta untuk menjadi tokan Vaksin dari China – hak mutlak ini akan diberikan oleh Anwar Ibrahim. Hanya satu syarat Guan Eng akan menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Muhyidin.
Guruh dilangit berdentum lagi.
Najib, Zahid, Mat Mazlan, Azeez dan sosok-sosok yang seirama akan dijanjikan syurga loka oleh Anwar jika mereka terus mengasak Muhyiddin untuk berundur.
Babak-babak inilah yang menjadi latar belakang High Noon Malaysia sekarang. Amin
Muhyidin bukan Gary Cooper. Muhyidin bukan Sheriff Will Kane. Muhyidin sama seperti Abdullah Badawi. Muhyidin dan Dollah adalah Chance watak utama dalam filem Being There arahan Hal Ashby.
Filem komidi tahun 1979 ini berkisah tentang Chance yang dimainkan oleh Peter Seller. Chance seorang tukang kebun akhirnya menjadi Presiden Amerika – kerana bernasib baik ‘ dia berada di tempat itu pada ketika dan masa yang tepat.’
Abdullah dan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana nasib baik – mereka berada di tempat itu pada masa dan ketika yang tepat. Khalas.
Dalam membuat kerja politik dan dalam kehidupan pasti kita ada membuat silap. Ini perkara biasa. Jika kita tidak membuat silap maknanya kita tidak hidup. Tanpa silap maknanya kita melayari hidup tanpa melakukan apa-apa. Kita hanya mengikut arus.
Salah dan kesilapan dalam kehidupan kita sendiri yang membayarnya. Kita yang mendapat pengajaran dari kesilapan itu. Kesilapan menjadi guru mengajar kita.
Dalam politik – silap langkah politik – silap garis politik – tidak semudah kesilapan dalam kehidupan individu. Harga silap langkah politik mahal sekali.
Kesilapan Mat Sabu dan Guan Eng memasang telinga mendengar guruh di langit telah membawa mala petaka. Harga kesilapan pendengaran bunyi guruh dilangit ini sedang dibayar dengan harga yang mahal sekali.
Silap garis politik yang dilakukan oleh pemimpin politik bukan hanya dibayar oleh ahli parti politik. Harganya dibayar oleh kita semua. Rakyat Malaysia anak semua bangsa dan bangsa semua agama sedang membayarnya sekarang.
High Noon yang kita saksikan sekarang – angka tinggi serangan virus Korona dari Wuhan adalah juga hasil kesilapan garis politik. Jangan lupa fakta dan rakaman sejarah – kita melihat virus Korona Wuhan meledak merebak sesudah Pilihan Raya Negeri Sabah.
Kalau dalam filem High Noon jam sedang menunjukan jam 11.30 minit. Dalam masa 30 minit Frank Miller dan gerombolannya akan sampai. Dalam politik Malaysia tengah hari tepat ialah Senin 6 September 2021. Kurang lebih satu bulan sebelum ‘peluru meledak’ menembak mati Sheriff lama.
Tarikh 6 September 2021 adalah tarikh Parlimen bersidang dengan agenda utama – keabsahan sokong ahli parlimen kepada Muhyidin Yassin.
Perkara sama ada Muhyidin Yassin ini ada sokongan Yang Berhormat telah lama berlarutan. Semenjak Muhyidin menduduki kerusi Perdana Menteri keabsahan sokongan terhadap dirinya terus dipersoalkan.
Pada hemat saya persoalan keabsahan Muhyidin Yasin ini menjadi agenda politik utama dan wajib di selesaikan dengan tuntas. Tapi ini tidak berlaku apabila virus Korona dari Wuhan menyerang Malaysia.
Virus ini bukan hanya mengganggu Malaysia malah seluruh dunia sedang diganggu gugat oleh virus Korona dari Wuhan ini.
Muhyidin Yasin mengambil langkah memperkenalkan darurat. Kali pertama cadangan Muhyidin Yasin ini telah gagal. Agong tidak berkenan.
Angka warga yang sakit dan angka warga yang tewas melonjak naik. Ini juga akibat dari lanjutan dari garis politik yang salah. Jangan terlupa PRN Sabah.
Kali ke dua permintaan Muhyidin telah diperkenankan oleh Agong. Rakyat bersimpati dengan langkah darurat yang diambil. Darurat yang diumumkan untuk melawan virus Korona dari Wuhan disokong rakyat.
Populariti Muhyiddin melonjak naik. Muhyidin dilihat sedang melakukan sesuatu untuk melawan virus Korona. Antara kesihatan dan keselamatan diri dengan hak bersuara di Parlimen – orang ramai memilik hak untuk hidup sihat. Ini hakikat.
Sayang seribu kali sayang sokongan rakyat terhadap darurat Muhyidin mula pupus – lingkup – bertaburan terbarai.
Kes pertama bermula apabila Khairuddin Takiri Menteri Perdagangan dan Komoditi membuat perangai hodoh. Bukan sahaja bebal malah bersikap angkuh yang menyakitkan hati orang ramai. Dengan sikap bodoh sombong Menteri ini telah memperlekehkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tidak cukup dengan ini beberapa Menteri dan Orang Kenamaan terus melanggar PKP dalam masa darurat. Tidak cukup dengan Menteri berperangai hodoh lagi bebal tertiba Malaysia dikejutkan dengan sikap angkuh lagi bebal Menteri Besar Kedah. Hujah sombong bodoh dan bangang yang dijeritkan oleh Menteri Besar ini menyakitkan hati orang ramai yang kini semakin terdesak hidup.
Kebencian rakyat terhadap tingkah laku pemimpin dari Parti Islam Pas ini menjemput Ku Li untuk menyamakan Parti Islam ini sama dengan watak pelacur. Watak pelacur ini juga wujud dalam High Noon Fred Zinnemann
Dalam masa yang sama Mat Motor, Pelajar, dan Minah Kilang dikenakan denda kerana melanggar PKP. Tidak cukup dengan memberi kompaun Mat Motor seorang Abang Burger telah di kompaun 50,000 ringgit kerana tidak menutup warung burger pada waktu yang ditetapkan walhal Abang Burger ini seorang diri.
Muhyidin senyap membisu.
Akhirnya dalam darurat ini muncul istilah ‘warga kayangan ‘ yang memberi makna rakyat biasa akan didakwa kerana melanggar PKP – warga kayangan – tidak akan diganggu gugat. Amin.
Perangai Menteri dan warga kayangan ini menjadikan rakyat mual dan benci terhadap apa sahaja inisiatif yang cuba dilakukan oleh Muhyiddin. Semua kerenah Menteri dan Menteri Besar dibayar dengan harga yang mahal oleh Muhyidin.
Rakyat melihat darurat gagal. Rakyat melihat kerajaan gagal. Kegagalan ini menyerlah sekali sehinggakan Mat Rempit dari Batu Pahat keluar dengan sepanduk – Kerajaan Gagal.
Ini diikuti oleh kempen Bendera Putih tanda orang ramai perlukan bantuan. Parti Pas yang kelim berlandaskan ajaran Islam bukan menyambut bendera putih ini dengan ah lan wa sahlan hati terbuka. Parti yang disamakan sebagai Parti Pelacur oleh Ku LI ini menolak kempen bendera putih. Parti Pas menganggap kempen bendera putih ini sebagai gerakan anti-kerajaan.
Justeru muncul gerakan Bendera Hitam yang dipelopori oleh anak muda yang cool – yang melihat jalan raya sebagai parlimen rakyat. Slogan Mat Rempit Batu Pahat kini menjadi slogan negara – Kerajaan Gagal.
Muhyidin pula dilihat lembab tidak memiliki cara pimpinan yang meyakinkan dalam suasana darurat untuk menangkis serangan virus Korona.
Malah Muhyidin menjadi bahan lawak kerana tidak berani berhadapan dengan wartawan. Muhyidin hanya berupaya mengeluarkan pengumuman. Justeru warga Internet telah menobatkan sebagai Menteri Pengumuman.
Tidak cukup dengan semua ini kes Muhyidin diserang ceret beret. Berita ceret beret ini menjadi lawak dunia. Kerana belum pernah berlaku seorang pemimpin negara diumumkan diserang ceret beret.
Ceret beret adalah ‘ sakit orang kampung’ yang makan jeruk petai atau gulai basi. Perdana Menteri atau Presiden sesebuah negara seharusnya hanya diumumkan ke hospital atas arahan doktor untuk pemeriksaan. Bukan kena ceret beret untuk mengelak bertemu dengan Yang DiPertuan Agong. Khalas.
Detik berubah. Jam berjalan. Hari berganti. Semua ini mendekatkan lagi kita kepada High Noon 6 September 2021.
Muhyidin tidak perlu berdalih lagi. Tidak perlu mencari alasan untuk menunda High Noon Malaysia yang pasti akan sampai.
Dalam High Noon garapan Fred Zinnemann kita melihat bagaimana satu demi satu penyokong Sheriff Will Kane menjadi takut dengan ancaman samseng kaki busuk Miller dan gerombolannya.
Tuan Hakim Percy Mattrick yang menjatuhkan hukuman kepada Miller enggan membantu Kane. Dia cabut lari menyelamatkan diri. Harvey Pell Timbalan Kane hanya akan membantu Kane jika Kane menyerahkan lencana Sheriff kepada dirinya.
Semua yang berlaku dalam High Noon Fred Zinnemann ini sedang kita perhatian berlaku dalam High Noon Malaysia. Watak belot, watak penakut, watak setia , watak oportunis, watak gila kuasa – semua digarap oleh penulis kiri bernama Foremann.
Pada hemat saya krisis keabsahan Muhyidin ini jangan diperlanjutkan lagi. Mudarat yang dibawa oleh agenda keabsahan ini sedang g membawa mala petaka ke atas Malaysia.
Kita – anak semua bangsa dan bangsa semua agama sedang membayar harga yang amat mahal sekali. Yang tewas bertambah. Yang membunuh diri meningkat. Yang sakit bertambah. Semua hasil serangan virus Korona dari Wuhan. Dalam masa yang sama para politikus berebut kuasa.
Justeru saya menyeru Muhyidin Yasin wajib menjadi matador. Hadapi lembu itu. Sama ada Muhyidin akan dibantai oleh lembu itu atau lembu itu akan rebah semuanya bergantung.
Bergantung pada apa? Bergantung pada hukum politik – satu minggu terlalu lama dalam politik. Bergantung pada apa lagi? Tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI.COM
DAN PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
1 ulasan:
Benci kat Anwar
jika anda ada rasuah
jika anda ada konspirasi
jika anda memusuhi Islam.
Kalau tiada di atas
kenapa anda begitu KECUT bila disebut nama ANWAR?
Catat Ulasan