Perikatan di landasan terbaik biarpun tewas, kata Muhyiddin
PRESTASI Perikatan Nasional dalam pilihan raya Melaka hari ini – di mana ia memenangi dua kerusi daripada 28 yang dipertandingkan – menunjukkan bahawa pakatan itu mula menembusi negeri itu, kata Muhyiddin Yassin hari ini.
Pengerusi PN dan presiden Bersatu berkata pakatan itu terbukti menjadi cabaran kepada parti lain.
Bercakap kepada media selepas pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa Barisan Nasional memenangi pilihan raya di Melaka, bekas perdana menteri itu berkata undian yang PN berjaya perolehi adalah memberangsangkan.
Beliau berkata PN terbukti menjadi pengacau undi yang kuat, dan berharap untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya boleh nyatakan majoriti kerugian kita kebanyakannya di bawah seribu, terdapat juga hanya 100 hingga 300 undi di beberapa kawasan. Ini menunjukkan PN sudah masuk ke Melaka,” katanya.
“Sudah ada angin perubahan tetapi malam ini tidak begitu kuat untuk kita dapat membentuk kerajaan,” katanya.
Calon PN Dr Aleef Yusof, 35, menang di kubu kuat BN untuk kerusi DUN Sungai Udang sementara Mohd Yadzil Yaakub menang di DUN Bemban. Kedua-duanya dari Bersatu.
PN bertanding di semua 28 kerusi, berdepan cabaran BN dan Pakatan Harapan di semua kerusi.
Ia adalah pilihan raya yang sukar untuk PN kerana pakatan itu terpaksa berdepan sekutu persekutuannya Umno dan BN dalam pilihan raya negeri ini.
Umno mengetuai BN mencapai kemenangan besar di Melaka, dengan gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN
Umno memenangi 18 kerusi, diikuti MCA (2) dan MIC (1).
Sementara itu PH, pakatan pimpinan Anwar Ibrahim memenangi lima kerusi – empat DAP dan satu Amanah, manakala PKR gagal memenangi sebarang kerusi. – 20 November, 2021.
1 ulasan:
asyik dok syiok sendiri
Catat Ulasan