Umno lawan Bersatu di PRN Melaka buat Ismail Sabri tersepit, kata pemerhati
KONFLIK terbuka antara Umno dan Bersatu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meletakkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam keadaan yang sangat berhati-hati, kata pemerhati.
Mereka berkata Ismail Sabri tidak mampu menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan Umno dan Bersatu daripada berlawan antara satu sama lain di Melaka.
Walaupun Umno dan Bersatu dianggap sekutu di peringkat persekutuan, mereka secara terbuka bermusuh di Melaka.
Pada PRN ini, Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu, Barisan Nasional (BN) didominasi Umno dan Pakatan Harapan (PH) diketuai PKR akan berlawan di semua 28 kerusi.
Melaka akan mengadakan PRN pada 20 November dan kempen sedang berjalan pada masa ini di bawah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat.
Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu The Malaysian Insight Umno dan Bersatu sedang berusaha keras untuk membuktikan mereka relevan selepas beberapa siri perebutan politik antara kedua-dua parti.
“Ismail Sabri tidak dapat menghalang mereka berlawan kalau beliau mahu pun berbuat begitu. Perbalahan antara kedua-duanya terlalu teruk.
“Namun, jika perlawanan tiga penjuru beri kelebihan kepada PH, dua parti itu mungkin perlu bertolak ansur menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tetapi jika Umno atau PN menang, mereka akan tentunya terus berlawan satu sama lain pada PRU akan datang,” katanya.
Awang Azman berkata walaupun Ismail Sabri mungkin akan bermasalah, tetapi kerajaannya akan kekal sekurang-kurangnya hingga PRU akan datang.
“Jika Bersatu tarik diri sekalipun, PH ada kerana memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani.”
Badrul Hisham Ismail dari Iman Research berpendapat PRN Melaka adalah ujian kepada Ismail Sabri, berkata Umno tidak akan ditikam belakang jika mereka menang di Melaka.
“Akibat yang akan memusnahkan kerajaan persekutuan tidak akan ada jika Umno menang. Sebagai parti terbesar, kemenangan di Melaka akan hanya mengukuhkan kedudukan mereka.
“Ini ujian kepada kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Sama ada beliau akan dapat mengukuhkan atau melemahkan kedudukannya akan diketahui selepas pilihan raya ini.”
Tiada masalah untuk Umno di Putrajaya
Sementara itu, pemimpin Umno yakin reaksi tindak balas akan minimum walau apa pun berlaku selepas PRN Melaka.
Veteran Umno Mustapa Yaakub berkata hubungan Umno dan Bersatu di Putrajaya bukan satu masalah.
“Di peringkat persekutuan, sudah ada persefahaman antara PN dan BN di mana ia membabitkan Umno dan Bersatu.
“Apa pun keputusan di Melaka ia akan jadi isu negeri dan tidak akan menjejaskan Putrajaya di mana Umno adalah ketua gabungan,” katanya.
Senada dengan sentimen itu, Lokman Adam yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau berpendapat keputusan PRN itu tidak akan memberi kesan di Putrajaya.
“Kalau ada pun, sedikit sangat,” katanya. – 13 November, 2021.
2 ulasan:
Wali Diponogoro@Totok, Malikol anak Imam, Tuang Guru, Najib Ya Nana dan ramai lagi ..mereka ni semuanye Islang, pipit bertakok ..tapi ngapa perangai macam Arab ..mereka ni Arab ke Islam ..macam Lanon ..macam Cilaka ..Kaya Raya Biliyun-Biliyun. Gwa tersentuh dingar di Parlimen yang Bajet 2022, bajet terbesar dlm sejarah, 97% peruntukan adalah untuk Orang Melayu ..tapi ngapa Melayu masih papa-kedana ..contoh nye nelayan Melayu, ngapa nelayan Cina boleh kaya raya ..
Aik, salah Anwar jgk ye..
Catat Ulasan