Tinjauan dapati rakyat Malaysia mahu lihat peningkatan kerjasama dengan China
RAKYAT Malaysia mahu melihat peningkatan dalam kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan China, termasuk dalam e-dagang, pembinaan infrastruktur dan pusat perkongsian perkhidmatan global dalam tempoh pasca Covid-19.
Pendapat itu adalah dapatan daripada tinjauan dalam talian ‘2021 Malaysia-China Relations’ (Hubungan Malaysia-China 2021) yang dijalankan oleh UCSI Poll Research Centre.
Tinjauan yang diadakan dari 30 Julai hingga 22 September itu melibatkan seramai 1,667 responden.
Ia merupakan projek bersama Centre for New Inclusive Asia (CNIA) dan Institut Penyelidikan China-Asean Universiti Guangxi, China, dijalankan di seluruh Malaysia dalam tiga bahasa - Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.
Objektif tinjauan antara lain adalah untuk memahami tahap penerimaan rakyat Malaysia terhadap vaksin buatan China dan kerjasama antara kedua-dua negara mengenai vaksin Covid-19.
Ia juga meninjau persepsi rakyat negara ini berkenaan hubungan antara Malaysia-China, dan pandangan serta jangkaan rakyat terhadap bidang kerjasama utama antara kedua-dua negara dalam tempoh pasca pandemik.
Laporan tinjauan itu dikeluarkan oleh CNIA pada Rabu.
Menurut laporan itu, selain mengenai perdagangan dan perniagaan, responden juga berharap hubungan politik antara Malaysia dan China akan bertambah baik semasa tempoh pasca pandemik.
Mereka juga mahu melihat pertikaian wilayah di Laut China Selatan diselesaikan dan lebih ramai pelancong dan pelajar China tiba di Malaysia.
Mengenai kerjasama vaksin Malaysia-China, laporan itu berkata responden berpendapat adalah penting bagi kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar vaksin dan hab R&D untuk vaksin.
Mereka berpendapat adanya keperluan untuk meningkatkan bekalan vaksin buatan China ke negara ini.
Responden juga ditanya mengenai bidang yang perlu ditambahbaik oleh pelabur negara itu di Malaysia.
Mengenai perkara itu, 53 peratus daripada mereka berpendapat pelabur China perlu meningkatkan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus mereka, diikuti dengan keperluan untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan daripada pelbagai etnik (51 peratus), meningkatkan kemahiran pengurusan (39.4 peratus). dan meningkatkan pelaburan korporat (39.2 peratus).
Responden juga berpandangan pelabur China perlu memahami dengan lebih mendalam mengenai budaya Malaysia. – Bernama, 2 Disember, 2021.
2 ulasan:
Isham dah lama dicuci otak dan kote masa ginap kat wilayah the Queen dulu. Anggap sendiri hamba orang putih, letak maruah sendiri atas lantai. Pikirla sendiri. Dalam tempoh 20 tahun lepas, berapa ratus ribu orang Islam mati dibunuh orang putih dengan alasan kebebasan dan demokrasi ... Irak, Afghan, Syria, Libya, Yemen dll.? Berapa negara Islam yang hancur ditangan orang putih?
Rakyat china boleh melancong ke Malaysia...tapi jangan melencong dan melacur. Apa-apa pun kerajaan mesti tegas dengan undang-undang.
Catat Ulasan