Penganjur tanpa nama gerak himpunan desak tangkap Azam Baki
SEKUMPULAN anak muda merancang himpunan bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki ditangkap, yang akan diadakan pada 22 Januari ini.
Tanda pagar #TangkapAzamBaki disebarkan di Twitter sejak semalam bersama poster wajah ketua pesuruhjaya berkenaan dan tertulis “Rombak SPRM”.
Tarikh yang tertera pada poster berkenaan adalah 22 Januari, dan bertempat di Kuala Lumpur. Tiada butiran lanjut dalam poster tersebut.
Ahli kumpulan tidak bernama itu telah diminta untuk tidak mendedahkan identiti mereka. Difahamkan ahlinya berasal dari organisasi yang berbeza.
Salah seorang daripada mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka sedang merancang perhimpunan itu diadakan bulan ini.
“Akan ada protes jalanan tidak lama lagi kerana kami merasakan Azam Baki telah memperbodohkan kami semua. Perhimpunan itu akan bermula bulan ini dan kami sedang mengaturkannya,” kata jurucakap kumpulan itu.
“Kami kekal tanpa nama buat masa ini dan akan mendedahkan diri kami apabila tiba masa yang sesuai,” tambahnya.
Semakan di Twitter menunjukkan poster perhimpunan itu telah dikongsi secara meluas oleh pengguna media sosial sejak semalam.
Jurucakap kumpulan itu mengesahkan bahawa poster di Twitter adalah tulen.
“Poster itu adalah untuk menarik perhatian orang ramai dan membuatkan orang teruja. Kami berharap dapat mencapai lebih ramai orang dalam beberapa hari ini,” tambahnya.
Sebelum ini anggota Pemuda PKR telah mengadakan bantahan di hadapan ibu pejabat SPRM pada Selasa.
Ini berikutan pendedahan Azam yang memiliki berjuta-juta saham korporat pada 2015 dan 2016 semasa beliau mengetuai unit penyiasatan SPRM.
Terdapat kebimbangan mengenai konflik kepentingan, sama ada saham tersebut diisytiharkan dengan betul seperti yang diperlukan oleh penjawat awam, dan sumber dana yang digunakan untuk membeli saham tersebut.
Azam berkata saham itu dibeli oleh adiknya menggunakan akaun miliknya, sekali gus menimbulkan kebimbangan beliau mungkin melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti.
Minggu lalu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM berkata pihaknya menerima penjelasan Azam dan mendapati beliau bebas daripada sebarang salah laku.
Ini mencetuskan lagi kemarahan orang ramai, yang menyaksikan bantahan Pemuda PKR.
Kini terdapat gesaan agar agensi antirasuah itu diletakkan di bawah Parlimen dan siasatan bebas dijalankan terhadap dakwaan terhadap ketua pesuruhjayanya.
Suruhanjaya Sekuriti berkata pihaknya akan menyoal Azam.
Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa membangkitkan isu itu di Parlimen pada 14 Disember, mempersoalkan sama ada Azam mengisytiharkan pemilikan saham 2.15 juta dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, dan 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2015 dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.
Sebelum itu, laporan dua bahagian mengenai pegangan saham Azam telah diterbitkan dalam talian dan Lalitha Kunaratnam telah disaman oleh Azam kerana memfitnah.
Pada 27 Disember lalu, ahli panel pengawasan SPRM yang lain, Dr Edmund Terence Gomez, meletak jawatan daripada panel itu bagi membantah kekurangan tindakan berhubung kebimbangan yang dibangkitkannya mengenai pegangan saham Azam dalam beberapa siri e-mel kepada ketua panel.
Azam ketika menjelaskan perkara itu berkata beliau memaklumkan kepada pihak atasan mengenai pembelian saham pada 2015, dan tiada isu yang ditimbulkan oleh pihak atasannya.
Azam turut memberitahu media beliau tidak akan berundur daripada jawatannya melainkan diminta berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong. – 14 Januari, 2022.
1 ulasan:
Pertama sekali pencen kan puak puak atas 60 an, mengacau semua dengan rasuah kroni perkauman, kesedaran kepada golongan muda pelapis kepada kepimpinan baharu, pilih yang benar ikhlas, yang masuk geng nak jadi kaya tidurkan lenyapkan saja, golongan tua umur dah pencen ini jangan bagi peluang lagi, mana mana juak yang dilihat menjadi kaya macam Maggie Mee pencenkan jugak, ITU saja cara selamatkan negaraku, biar putih tulang jangan putih mata, golongan muda ini perlu diasuh cara betul, tanggungjawab semua, apa pun selalu kah kah kah supaya hidup lama, tapi jangan lama sangat macam Che Det
Catat Ulasan