Hakim saran AJK masjid mandikan remaja seperti jenazah mohon maaf
AHLI jawatankuasa (AJK) masjid yang menghukum seorang remaja kerana mencuri dengan memandikannya seperti jenazah disarankan memohon maaf secara terbuka oleh hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abd Halim Aman hari ini.
Free Malaysia Today melaporkan hakim menyarankan permohonan maaf secara terbuka dan tidak mengarahkannya, supaya insiden itu menjadi “pengajaran kepada semua pihak” dan juga membantu menjernihkan keadaan.
Halim juga berkata mereka yang merakam video remaja Daniel Iskandar dihukum sedemikian juga harus memohon maaf.
Mahkamah hari ini mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang pada awalnya dikenakan terhadap Daniel, 19, atas kesalahan mencuri wang dari tabung derma di Masjid Al Islahiah di Kuang, Rawang, pada malam 8 Januari lalu.
Ia kemudian diketahui remaja itu mempunyai masalah keluarga dan sosial.
Video pegawai masjid memukul budak lelaki itu dengan hos getah dan memandikannya seperti jenazah menjadi tular dan menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap cara budak itu diperlakukan.
Hakim Abd Halim hari ini berkata hukuman denda dan penjara akan digantikan dengan khidmat masyarakat di masjid itu. Daniel perlu melengkapkan 120 jam perkhidmatan selama enam bulan.
Pertemuan juga sedang diatur oleh Persatuan Peguam-peguam Islam Malaysia (PPMM) antara keluarga remaja itu, ahli jawatankuasa masjid dan mereka yang merakam video bagi menyelesaikan segala perselisihan. – 17 Januari, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan