MetMalaysia beri amaran kemungkinan banjir sehingga Mei
HUJAN lebat dan ribut petir dalam fasa peralihan monsun yang bermula dari 14 Mac hingga Mei berpotensi menyebabkan banjir berlaku di bahagian Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kata Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.
Kawasan yang terjejas adalah di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, bahagian barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak, kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November tahun lalu.
Bermula pada 14 Mac ia dijangka berterusan sehingga Mei dengan hujan diramalkan pada sebelah malam.
“Semasa fasa peralihan monsun ini rantau negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam.
“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh,” kata jabatan itu.
Jabatan itu menasihatkan orang ramai berwaspada dalam tempoh ini.
Pada Isnin hujan lebat menyebabkan banjir kilat di beberapa bahagian Kuala Lumpur dan Selangor.
Ia kemudiannya digambarkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai hujan “purata setengah bulan dalam dua jam”.
Di dalam pusat bandar antara kawasan yang terjejas ialah terowong Tabung Haji, terowong Jalan Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Pahang, Jalan Sri Permaisuri Jalan Tun Razak. Kawasan luar yang terjejas termasuk Kuchai Lama dan Jalan Klang Lama.
Tujuh sungai di Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan melebihi paras bahaya berikutan hujan lebat.
Gambar tular menunjukkan kereta terkandas di jalan raya yang dinaiki air dan paras air meningkat di kawasan tempat letak kereta.
Beberapa negeri berdepan banjir paling teruk pada pertengahan Disember berikutan dua hingga tiga hari hujan lebat yang luar biasa menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal pada kemuncak banjir dan mengorbankan 54 orang. – 11 Mac, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan