Rabu, 2 Mac 2022

KONFRONTASI


KONFRONTASI

Aku tidak pasti. Aku tidak tahu. Tarikh tepat bila konfrontasi resmi diumumkan bermula. Aku hanya mendengar perkataan – konfrontasi.  Aku sendiri tidak faham makna perkataan ini. Atau  dari mana asal usul perkataan itu. Bunyinya bukan Melayu , bukan Jawa dan jauh sekali dari  bahasa Sakai. 

Jujur aku nyatakan pada tahun 1963 aku tidak tahu akar umbi – konfrontasi - dari mana. Aku hanya mendengar – faham tidak.

Konfrontasi ini berlaku pada tahun 1963. Aku dalam darjah enam – standard six – di Goverment English School Kuala Klawang. Baru dua tahun beralih dari sekolah aliran Melayu masuk belajar ke  sekolah aliran Inggeris. 

Bahasa Inggeris baru nak dapat. Ini zaman : Ba Ba Black Sheep – Yes Sir Yes Sir Three Bags Full. Zaman menghafal lagu-lagu budak sekolah dalam Bahasa Inggeris.  Bahasa politik – konfrontasi ini – tidak aku temui dalam lagu Jack and Jill. Jack dan Jill  aku rasa tidak berkonfrontasi.

Ketika ini keluarga Cik Gu Zaleha duduk di rumah guru Sekolah Umum Batu Serambai. Abah aku telah berhenti jadi   Askar Polis Khas ( SC ) .
Askar Gurkha  di Kuala Klawang sudah balik kampung. Tuan  Ellis  dan Tuan Ebon sudah balik kampung. Tanah Melayu dilaporkan telah merdeka.  Kini alamat surat mesyuarat semuanya di akhiri dengan PTM – Persekutuan Tanah Melayu. 

Di Kuala Lumpur aku difahamkan Perdana  Menteri PTM bernama Tunku Abdul Rahman.  Tunku ini anak raja Kedah dengan perempuan  Siam. Perempuan  Siam jenis apa aku pun tidak tahu.  Yang Di Pertuan Agong ketika itu Sultan Perlis. 

Sesekali melalui jabatan penerangan – wayang propaganda a.k.a wayang pacak a.k.a wayang Mail Penganda  - dapat aku melihat muka Tunku dan muka Agong. Aku melihat orang-orang di  Kuala Lumpur minum-minum dalam  gelas cantik kemudian menari berdansa macam Orang Putih.

Kami di kampung melopong melihat  betapa indahnya  kota Kuala Lumpur.

Tahun 1960 – sebungkus nasi lemak harga 5 sen. Sekeping roti canai harga 15 sen. Gula-gula Hack 5 sen dua butir.  Rokok Tembak 30 sen sekotak. Rokok Cap Talipon 10 sen sekotak. Harga getah keping grade yang terbaik 1 ringgit lebih sekati. Getah sekerap 30 sen sekati. Susu manis Cap Junjung dan Cap Teko 40 sen satu tin. Sardin tin kecil Cap Ayam 15 sen satu tin.

Dari Kuala Klawang ke Batu Serambai  tiket  Bas Lim berharga 10 sen. Dari Kuala Klawang ke Seremban tiket  bas 80 sen. Kalau naik  teksi  satu ringgit

Semua ini menjadikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang paling gembira di negara-negara bekas tanah jajahan Inggeris. Ini  tiga tahun sesudah Inggeris memberikan kuasa pentadbiran Tanah Melayu  kepada United Malays National Organisation.

Entah apa berlaku di Kuala Lumpur. Entah apa berlaku di belakang tabir tertiba  Konfrontasi terjadi.

Presiden Sukarno dari Indonesia marah dengan Tunku  di Persekutuan Tanah Melayu.

Aku benar-benar tahu  tentang berita ini. Kerana ketika ini  selain dari mendengar Radio Malaya aku membaca Utusan Melayu – Jawi. Keluarga  kami melanggan akhbar Jawi yang mengakui sebagai pembina fikiran Melayu.

Sukarno – sosok ini amat-amat dihormati oleh keluarga aku. Kaum keluarga aku   menganut fahaman  nasionalis Melayu. Ini kerana Aminuddin Manaf abang kepada Rais Manaf seorang   nasionalis Melayu Nusantara. Sebagai kepala keluarga yang berpendidikan tinggi  - lulusan SITC – Sultan Idris Training College. Justeru Pak Ngah aku ini berpengaruh dikalangan keluarga dan orang di Jelebu.

Pak Ngah aku ini di kenali oleh kawan-kawan perjuangan dari SITC  dengan nama  Bung Amin.

‘ Pak Ngah kau tu orang panggil dia Bung Amin...dia  orang berjuang...lawan Orang Putih nak merdeka....’ Cik Gu Zaleha memberi penjelasan. 

Sepupu-sepupu aku  - anak-anak  Bung Amin menggambarkan semangat nasionalis  Melayu Nusantara keluarga  kami. 

Sepupu yang tua dari aku  bernama Joyo. Mengikut emak  nama Joyo  ini diambil dari nama   Ali Sastroamidjojo ( 1903-1976). Sosok ini pernah menjadi Perdana Menteri Indonesia.

 Seorang lagi sepupu aku bernama Suban dari nama Subandario (1914-2004). Nama yang sering  didengar atau dibaca oleh  semua  orang Melayu ketika zaman Sukarno. Subandario  - nasionalis kiri - Menteri Luar Indonesia dalam kabinet Sukarno. Subandario meninggal dunia dalam penjara -  satelah 29 tahun dalam di penjara oleh Jeneral  Suharto.  

Seorang lagi sepupu aku bernama  Rizal – ini dari nama nasionalis  Filipina – Jose Rizal (1861-1896). 

Semangat  Nusantara ini melimpah kepada   Pak Saudara aku  –   Kadir  Kassim. Pak Itam Kadir ini seorang guru sekolah  telah memberi nama anaknya Aidit. Ini diambil dari nama D.N. Aidit (1923-1965 ). Aidit ialah  Setiausaha Agong Parti Komunis Indonesia. Mati dibunuh oleh Jeneral Suharto ketika dia merampas kuasa dari Sukarno tahun 1965.
Aku pernah terdengar perbualan ‘orang tua-tua ‘  bagaimana Pak Itam Kadir aku akan memasang telinga mendengar radio Republik Indonesia di pagi  Hari Raya. Pak Itam Kadir mencari saluran  Radio Republik Indonesia untuk mendengar pidato Hari Raya Bung Karno.

Justeru keluarga aku amat susah untuk menerima Sukarno  sebagai musuh.  Malah masyarakat Melayu sentiasa menganggap Indonesia dan  kita di Tanah Melayu  sebagai satu rumpun – rumpun bangsa Melayu Nusantara. Yang memisahkan kita bukan Selat Melaka tetapi kerja jahat Belanda dan Inggeris

Pada tahun 1960’an  – suara  dan laungan  perjuangan kemerdekaan Ahmad Boestamam,  Wahi Anwar atau ceramah Dr Burhanudin Hilmy  - masih lantang kedengaran. Suara dan sosok-sosok nasionalis Melayu Nusantara ini  masih wujud.

Sebelum tahun 1961 Utusan Melayu telah memainkan peranan yang tepat – membina dan memperkasa fikrah nasionalis Melayu. Said Zahari, Usman Awang, Kris Mas Pak Sako adalah kumpulan wartawan dan penulis  yang memainkan peranan penting  di Utusan. Mereka semuanya   berkiblat ke  Nusantara.

Utusan Melayu  hanya menjadi ‘presstitute’ atau ’ pelacur media ’ satelah akhbar nasionalis Melayu ini  dibeli oleh United Malays Natoinal Organisation  pada tahun 1961. Justeru berlaku Mogok Utusan. 

Kemudian Ketua Pengarang Utusan Said Zahari di tangkap  pada 2 Februari 1963 di Singapura di bawah Operation Cold Storage. 

Tahun 1963 – zaman aku  kanak-kanak adalah  mustahil untuk  aku memahami apa yang sedang  berlaku di Utusan Melayu  atau pun Konfrontasi.

Tertiba abah aku Rais Manaf dipanggil  kembali untuk menjalankan khidmat negara. Semua bekas askar dan polis khas ( SC) yang telah bersara dipanggil kembali.  Mereka diwajibkan mendaftar diri. 

 Abah aku pergi ke pemeriksaan doktor. Dia disahkan sihat. Maka abah aku  kembali memakai baju hijau  memegang senjata. Kali ini tugas abah aku ialah menjaga tempat-tempat  strategik  seperti  pusat pencawang telekom, loji dan empangan air. 


Tempat-tempat strategik ini dilaporkan menjadi  sasaran  musuh. Pada ketika ini aku masih belum jelas siapa musuh.

Dari radio aku dengar berita bahawa  Sukarno menentang penubuhan  negara baru yang akan diberi nama Malaysia. Nama Persekutuan Tanah Melayu akan dialih menjadi Malaysia.

Dari Utusan aku membaca tentang negeri  Sabah, Sarawak, Berunai dan Singapura akan masuk ke dalam Tanah melayu untuk jadi Malaysia. 

Aku merasa agak pelik  kerana Sabah , Sarawak dan Berunai langsung tidak ada kaitan dengan aku. Aku tidak tahu menahu tentang wilayah ini.

Tanah Melayu – ada Melaka – ada Hang Tuah, ada Hang Jebat – ada Pak Pandir, ada Lebai Malang,  ada Sang Kancil ada Pak Belang. Aku dibesarkan dengan watak-watak ini. Aku tak tahu ada apa di Sabah. Aku tidak tahu apa itu Sarawak.  Yang aku tahu hanya nenas Sarawak. Berunai?   Aku hanya dengar Berunai ada minyak. 

Ketika Konfrontasi berlaku Sabah , Sarawak dan Berunai masih lagi tanah jajahan Inggeris.  Aku terperanjat bila nama Singapura masuk sama. Aku sendiri tidak sedar  ketika  Inggeris meninggalkan  Tanah Melayu pada tahun 1957  Singapura  masih lagi  tanah jajahan Inggeris.
Bagaimana Pulau Temasik – kota Sang Nila Utama  dengan kesah Hang Nadim dan ikan todak ini tercicir aku tidak faham..

Dari warta berita Radio Malaya aku dengar  berita Sukarno memulakan kempen Ganyang Malaysia. 

Wow ! Ganyang ini bermakna  pijak memijak.  

Dari Utusan Melayu selain dari perkataan konfrontasi aku juga mendengar  perkataan neo-koloni – kadang-kandang jadi nekolim. Ini pun perkataan politik yang aku tak faham.  

Bung  Karno mentakrif  Tanah Melayu dan  Malaysia ini  hanyalah projek  neo-koloni kepada Inggeris.

Kami budak- budak kampung  Batu Serambai tidak tahu apa yang sedang berlaku.   Dulu Abah aku jadi  askar untuk lawan komunis. Ini kerana Parti Komunis lawan Inggeris. Parti Komunis mahu merdeka tak mahu  Tanah Melayu terus menjadi tanah jajahan  Inggeris. Ini aku faham.

Tertiba satu malam aku terdengar bunyi yang amat kuat – menderam kuat.  

Esoknya  petang ketika kami bermain di padang sekolah aku dengar cerita dari Ayen.  Bunyi menderam kuat tengah malam ialah  kapal terbang Indonesia telah masuk ke Gagu

‘ Kao dengar bising bunyi kapal terbang tak.. malam tadi askar  payung terjun Indonesia turun ke Gagu...’ Ayen  membuka surah.

‘ Betul ke...Pasal apa Gagu...’  soalan dari Ujang.

‘ Gagu ramai orang Minang di sana...’ Ayen menjelaskan.

‘ Kita ni nak perang ke ....’ Pertanyaan Ujang yang tidak dapat jawapan

Ayen anak Raja Husin  lebih tua dari Ujang dan aku.  Sapa perawi berita ini tidak aku ketahui.  Ketika itu semua berita dari sosok  yang lebih tua dari aku pasti akan aku percaya dan yakini.  Umur  membawa kebenaran.

Petang itu  cerita askar payung terjun turun di Gagu mengganggu permainan  Semut Api kami.  Permainan ini senang saja. Kami cari lubang semut di atas padang yang keras tak berumput.  Kemudian kami pancing semut api. Kami cabut batang rumput panjang. Kemudian bubuh air liur dan masukkan rumput  yang basah ke dalam lubang. Bila rumput bergerak gerak ertinya pancing telah mengena. Tarik keluar pasti ada  semut api berwarna hitam.

Kami akan gaduhkan  semut ini. Untuk mengenali siapa tuan pemilik semut yang sedang bergaduh -  seekor semut akan  di potong sedikit misainya sebagai tanda. Kemudian semut dilagakan untuk   bergaduh.

Berita askar payung terjun di  Gagu ini meyakinkan aku bahawa Bung Karno memang  nak bergaduh dengan Tunku. Mereka nak jadi  Semut Api.
Dari  Radio Malaya  dan Utusan aku mendapat tahu   di Jakarta di depan Pejabat Duta ada tunjuk perasaan menentang  Tunku. Kempen Ganyang Malaysia  sedang berjalan.

‘  Sukarno mainkan lagu Terang Bulan...’  Emak aku memberi penjelasan. 

Dari mana Emak aku memungut berita ini aku tak tahu. Hal Terang Bulan ini Emak aku memang arif. Dari awal lagi Emak aku telah bersurah tentang  Terang Bulan.

Aku sedar Sukarno memperlekeh Tunku yang menciplak lagu Terang Bulan dari lagu Indonesia. Lagu Terang Bulan – lagu ciplakan ini  dinobatkan sebagai lagu  kebangsaan Tanah Melayu merdeka.

Tentang Terang Bulan ini aku faham. Kerana kami budak-budak ketika bermain amat bijak menganjing untuk memperlekeh kawan-kawan. Memainkan lagi Terang Bulan di Radio Republik Indonesia macam kanak-kanak bergaduh  -  menganjing yang bijak.  Aku beri 10 markah dengan A untuk Bung Karno.

Konfrontasi makin hangat. 

Berita  askar payung terjun di Gagu ini semakin menjadi benar. Di Labis  Johor diberitakan satu kumpulan askar payung terjun Indonesia  telah dapat di tangkap. Ketua pasukan payung terjun ini bernama  Leftenan Sutikno.

Hingga ke hari ini aku terus ingat nama ini kerana berita dan gambar Leftenan Sutikno muncul di Utusan. Kemudian aku dengar  wawancara Sutikno di Radio Malaya.  Lorat Indonesia Leftenan ini pekat. Malah wawancara  ini dimainkan  berulang ulang. Sama seperti iklan Rokok Matterhorn  - rokok  pertama sejuk bergabus di Tanah Melayu.

Aku rasa keadaan kembali macam zaman adanya Gurkha. Cuma makan tidak bercatu dan tidak ada kawalan kawasan berpagar kawat  berduri.
Dari kedai runcit Mah Cik Jarah aku mendengar khabar di kampung Batu Serambai akan ditubuhkan pasukan Kawalan Kampung.  Anak anak muda dan orang dewasa diminta  mendaftar secara sukarela untuk menjaga kampung dari tali barut Sukarno.

Maka pada waktu malam akan dilihat beberapa anak muda dan  orang dewasa warga kampung duduk  berkumpul-kumpulan hingga  lewat pagi di tengah jalan raya yang kosong. Mereka tidak ada senjata atau uniform. Tapi di lengan baju mereka ada kain bertulis PK – pasukan Kawalan Kampung.

Tunku merancang untuk mengisytiharkan penubuhan gagasan  Malaysia  pada 31 Ogos 1963.  Gagal.  

Projek – Nekolim – istilah Bung Karno ini gagal.  Projek Malaysia  semakin mendapat tentangan  bukan saja dari Sukarno tapai dari pelbagai sudut.

Di Singapura  113 pemimpin parti politik  telah  ditangkap di bawah ISA pada 2 Februari 1963. Mereka ini dari parti siasah  garis kiri yang menentang pembentukan gagasan Malaysia. 

Hujah gulungan  ini yang aku baca  dari  Utusan. Hujah mereka  masuk akal. Kenapa perlu Singapura masuk Malaysia. Ini kerana pulau ini adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Sama seperti Pulau Pinang atau Perlis – wilayah ini tak perlu masuk Malaysia. 

Tangkapan beramai-ramai ini adalah kerja kolonial Inggeris. Pagi  subuh 2 Februari 1963 yang ditangkap sama ialah Pengarang Utusan Melayu di Singapura -  Said Zahari.

 Di Berunai juga bergolak.  A.M. Azahari pemimpin Parti Rakyat Berunai memenangi 16 kerusi – majoriti - yang dipertandingkan dalam pilihanraya di Berunai pada 12 Januari 1962.

Parti Rakyat Berunai  di bawah pimpinan A.M Azahri mahu mendirikan  negara Kalimantan Utara. Negara ini  terdiri dari Sabah , Sarawak bersama Berunai. Parti Rakyat yang mewakili suara majoriti  dalam Dewan  Perundangan Berunai telah menolak  projek Malaysia.

Pada 8 Disember 1962 berlaku pemberontakan di Berunai. 

Tertiba  aku  terbaca  tentang Sultan Berunai menarik diri.  Berunai tidak mahu menjadi Malaysia.

Pengisytiharan  Malaysia gagal diadakan  pada 31 Ogos 1963. Kerana penentangan dari pelbagai pelusuk. Akhirnya pada 16 September 1963 Malaysia dimasyhurkan.

Aku ingat lagi pagi itu.   Aku  dalam kebun  getah Raja Husin tidak jauh dari  rumah aku berek guru Sekolah  Batu Serambai.  Aku keseorangan. Aku  sedang mencari kawan untuk bermain kerana sekolah cuti.

Ketika merayau dalam kebun getah itu aku terfikir hari ini Hari Malaysia tapi  tidak ada apa apa perubahan di kampung aku. Malah tidak ada sambutan apa-apa di pekan Kuala Klawang.

Malaysia telah wujud walau pun  ditentang. Malah penentang berterusan.

Satu petang aku pulang dari sekolah  aku terbaca induk berita Utusan : Tangkapan di Lapangan Terbang Sungai Besi. Dari  laporan berita aku difahamkan ada berapa sosok sedang merancang untuk menubuhkan kerajaan  buangan di luar negara. Mereka dalam perjalanan ke Jakarta.  Ketika ditangkap   ditemui juga 200 ribu ringgit.

Aku tidak tahu apa makna kerajaan buangan. Dan  tidak tahu siapa sosok yang ingin terbang ke Jakarta.

 Tahun 1964 aku lulus peperiksaan  Standard Six. Aku diterima masuk ke  Form One -  di sekolah yang sama. Kini aku sudah masuk ke sekolah menengah. Ertinya aku telah meninggalkan zaman Baa Baa Black Sheep... Yes Sir Yes Sir Three Bags Full.

Konfrontasi masih berjalan.  Kempen Ganyang Malaysia masih berjalan. Dari  Radio Malaya aku  mula terdengar perkataan diktator. Kini Sukarno mengikut Radio Malaya dan Utusan bukan lagi Presiden Sukarno atau Bung Karno – kini Diktator Sukarno.

Aku juga terbaca bagaimana rakyat Indonesia mati kelaparan dan ramai makan tikus.  Tidak cukup dengan makan tikus aku juga terbaca bagaimana kitab suci Al-Quran telah dibakar oleh penyokong Sukarno. 
.
Pada hari Ahad Utusan Melayu menjadi  Utusan Zaman. Akhbar hujung minggu ini ada memuatkan cerita pendek dan sajak.  Juga tulisan-tulisan rencana yang menarik.

Dari Utusan Zaman  ini aku pernah terbaca bagaimana Pak Duta Indonesia dilaporkan merayau-rayau di Kampung Baru  untuk merekrut  anak-anak muda untuk menjadi   apa yang dipanggil tali barut. 

Tali barut adalah diantara perkataan baru yang aku baca di zaman Konfrontasi.   Tali barut in juga dijadikan ajen untuk melakukan kerja sabotaj. 

Kempen propaganda memburukan Indonesia diteruskan. 

Di Perhentian Bas Lim di Kuala Klawang ada terdapat beberapa poster. Poster gambar kepelbagaian rakyat  Malaysia  - China Melayu dan India juga ‘ saudara baru’ dari Sabah dan Sarawak. 

Disebalah poster ini ada lagi satu poster memberi amaran :  Awas Tali Barut Sukarno.  Siapa tali barut Sukarno ini aku tidak tahu.

 Di sekolah keadaan juga tegang.  Dalam sebulan ada dua kali kami akan mengadakan latihan lari dari bom.  Dalam kelas kami  diajar untuk tunduk bawah meja jika kedengaran bom meledak. Kemudian kami beratur keluar bilik darjah menuju ke kawasan lapang diantara sekolah dengan bangunan Rumah Rehat Kuala Klawang.

Tahun 1964 – kugiran The Beatles dengan fesyen rambut panjang sedang menggemparkan dunia. Di Malaysia Konfrontasi masih berjalan. Abah aku masih bertugas menjaga kawasan  strategik dari kena sabotaj oleh tali barut Sukarno.

Di Malaysia terutama di sekolah  berambut panjang   seperti The Beatles dilarang. Malaysia tidak ada John Lennon tapi Malaysia  yang baru lahir ada Temenggung Jugah  Anak Barieng  (1903-1981) Menteri Hal Ehwal Sarawak. Temenggug Jugah dinobatkan sebagai Beatles  Malaysia kerana Pak Menteri ini  memiliki fesyen rambut ala The Beatles, (TT)



TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DI LAMAN PORTAL 
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/03/02/konfrontasi/


Tiada ulasan: