Gerakan masih sokong penuh Muhyiddin terajui Perikatan, kata presiden
PARTI Gerakan tetap menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.
Presiden Gerakan Dominic Lou Hoe Chai berkata parti itu tidak berputus asa dan akan terus bersama PN bagi membela nasib rakyat dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Walaupun tak menang besar untuk PRN Johor, (iaitu) hanya tiga kerusi, kita faham dan kita tak akan putus asa. Kita akan terus perjuangkan ideologi parti untuk menghadapi PRU15.
“Kekalahan ini bukan sebab kepimpinan seseorang sahaja. Gerakan masih bersama PN. Kami akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, hari ini.
Dominic berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada 12 Mac lepas bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu bertanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam PRN Johor, dan sedia melepaskan jawatan sekiranya itu yang dimahukan oleh pimpinan parti gabungan itu.
PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 dipertandingkan dalam PRN Johor lepas iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani.
Sementara itu, Dominic berkata Gerakan akan memastikan senarai penyelaras dan calon yang akan bertanding dalam PRN dan PRU15 kelak, dikeluarkan lebih awal bagi memudahkan jentera parti digerakkan.
“Kita akui memang pada PRN Johor, ada kerusi yang kita bertanding (tapi) tiada persiapan dibuat untuk DUN yang kita bertanding.
“Oleh itu, mulai sekarang kita akan senaraikan semua kerusi yang (kita) bertanding dan penyelaras terlibat untuk persiapan PRU15 dan PRN akan datang. Jadi kita harap jentera kita akan buat persiapan awal,” katanya.
Menurutnya, PRU15 boleh diadakan hanya apabila kes Covid-19 menurun dan dalam keadaan terkawal, bagi membolehkan peratusan keluar mengundi berada pada tahap memuaskan iaitu 70 hingga 80%. – Bernama, 19 Mac, 2022.
1 ulasan:
Tak adanya bijak. Ni langkah terpaksa. Dah sebab mca ada sebelah sana. Kalau join jugak apa yg dapat? Kahkahkah. Oitttt sham, takkan pulak ko baru kenal gerakan? Kahkahkah
Catat Ulasan