UMNO bukan itik patah kaki, cedera tapi masih boleh berlari – Tok Mat
KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam beberapa pilihan raya selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membuktikan parti itu bukan ‘itik patah kaki.’
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan menegaskan, walaupun UMNO-BN tewas sebelum ini namun parti itu masih mampu bangkit untuk memulihkan kepercayaan rakyat khususnya orang Melayu.
“Kembalinya sokongan bangsa Melayu kepada UMNO bukan kerana ubat mujarab daripada parti tertentu. Semuanya hasil daripada ikhtiar kita untuk menguatkan kembali parti. Kita membuktikan pada semua bahawa kita bukan ‘itik patah kaki.’
“Kita mungkin tercedera tetapi masih boleh berjalan dan berlari,” katanya berucap merasmikan Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan Wanita UMNO secara serentak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam ini.
Pada 27 Januari lalu, Presiden Pas, Hadi Al-Kawahli mengibaratkan UMNO sebagai ‘itik yang patah kaki’ pada PRU-14 namun lupa daratan apabila telah sembuh.
Menurut Al-Kawaahli , Pas bukan mahu mengajar itik berenang sebaliknya untuk menyelamatkan itik yang patah kaki dan mendakwa UMNO meninggalkan parti Islam itu apabila kembali sembuh.
Mohamad seterusnya mengingatkan Al-Kawahli bahawa apa pun gelaran yang dilemparkan kepada UMNO namun parti Melayu itu akan terus menjadi ‘kaki dan tangan rakyat’.
“Kepada mereka yang mengumpamakan UMNO ini seperti itik yang patah kaki kami di sini ingin mengingatkan, gelarlah apa yang sedap sebutannya di bibir.
“Tetapi UMNO akan terus menjadi ‘kaki dan tangan kepada rakyat’, malah buat masa ini, UMNO adalah ‘kaki dan tangan’ kepada kerajaan tumpangan yang ada sekarang,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan