Rabu, 16 Mac 2022

UTUSAN MELAYU DAN KONFRONTASI

 


UTUSAN MELAYU

DAN

KONFRONTASI


Aku membesar dengan akhbar Utusan Melayu Jawi.  Semenjak tahun 1959  keluarga Cik Gu Zaleha telah melanggan Utusan Melayu. Akhbar ini datang dari Seremban dengan bas Lim yang melintas depan sekolah Umum Batu Serambai. Ini bas pertama dari Seremban ke Kuala Klawang.

Dalam pukul 8 pagi – kurang lebih – bas  akan melintas. Si Pemandu   akan  membaling keluar tingkap   dua naskah akhbar  yang telah digulung  dan diikat ke arah   Kedai Kopi Mak Cik Jarah.  Satu naskah untuk Cik Gu Zaleha dan satu untuk  Mak Cik Jarah puan empunya kedai.

Sistem penghantar akhbar ini telah  diatur baik oleh Cik Gu Hamid.  Cik Gu Hamid ini  telah pencen dan dia memiliki kios akhbar  di stesen bas Seremban dan juga kedai akhbar dan bahan bacaan dalam pekan Kuala Klawang. Cik Gu Zaleha dan Mak Cik Jarah berurusan dengan kedai  Cik Gu Hamid di Kuala Klawang.

Dari Utusan Melayu  aku mengikuti kesah Dol Keropok dan Wak Tempe hasil lakaran  Raja Hamzah.  Siri komik ini aku ikuti walau pun aku agak kurang faham maknanya. Aku juga mula berkenalan dengan Nancy dan Sluggo dua watak  dari dunia luar. Lawak dan komidi mereka  juga tidak aku fahami.

Aku juga mula berkenalan dengan Tarzan. Jantan kacak berseluar pendek tanpa baju.  Menayangkan sosok badan yang sado. Jantan Tarzan yang  berkulit putih ini seperti Nabi Sulaiman  faham bahasa binatang. 

Emak aku menerangkan  Tarzan ini orang putih sesat di Afrika.  Ini benua orang  Negro. Dalam hutan Afrika Tarzan  berkawan dengan binatang. Siapa perawi Emak aku ini tidak pula aku selidiki.

Utusan membuka satu dunia  baru. Aku mengenal  Nat King Cole (1919-1965) dan membaca bagaimana penyanyi  Negro ini mula menyanyi. Dari apa yang aku baca Nat King Cole telah dipaksa untuk menyanyi. 

Aku juga mengikuti berita tentang filem tempatan  dan luar negara. Sesekali aku terbaca  berita pementasan sandiwara dari Singapura. 

Biasanya dalam Utusan akan ada tulisan panjang  yang bukan berita. Ini amat menarik untuk aku. Aku ingat lagi siri tulisan panjang yang mengeraskan  nafsu kecil  aku. Ini tentang  kesah perempuan pelacur dalam kapal laut. 

Ketika itu aku dalam Standard Six  baru bersunat - bulu ari belum tumbuh. Melalui  Utusan Melayu kali pertama aku mengenal perkataan bersetubuh. Awalnya aku tidak tahu apa maknanya. Tetapi bila aku ulang baca kesah pelacur  ini baru aku dapat faham  makna perkataan bersetubuh ini.

Aku merasa amat bangga mengetahui perkataan ini.  Aku rasa aku seorang saja dalam kelas yang tahu makna perkataan bersetubuh.

Hakikatnya ketika aku membesar dunia luar aku adalah Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Ketika Konfrontasi banyak berita dan tulisan panjang tentang Indonesia.  Zaman Konfrontasi  Sukarno tidak lagi dianggap Bung Karno. Kini Sukarno dianggap seorang diktator yang mengamalkan demokrasi terpimpin. Ini juga ayat yang aku tidak faham. Aku hanya  membaca.

Perkataan diktator ini  aku temui dari  Utusan. Mengikut Utusan di belakang Diktator Sukarno  ini ialah Parti Komunis Indonesia (PKI).  

Dari Utusan juga aku mengenal perkataan boneka. Sukarno menuduh Tunku sebagai boneka Inggeris. Manakala Utusan menuduh Sukarno sebagai boneka PKI. Dari perkataan boneka ini aku mula berkenalan dengan perkataan tali barut.

Tali barut aku tahu. Barut ini mengikat perut anak-anak yang baru lahir agar tidak sejuk. Tapi bukan ini maksud Utusan. Perkataan tali barut ini berkait pula dengan perkataan kuncu-kuncu. Semua ini istilah politik yang semuanya baru untuk aku. 

Aku tidak akan melupakan  satu tulisan  panjang tentang kesah Sukarno melawat Amerika. Dari tulisan ini aku membaca bagaimana satu jamuan makan malam telah  dianjurkan untuk menyambut  Sukarno sebagai tamu kehormat.

Turut sama dalam jamuan makan malam ini ialah Jayne Mansfield (1933-1967). Dari apa yang aku baca pada malam itu Sukarno telah menari dengan  Jayne Mansfield. Mengikut Utusan  Sukarno amat tertarik dengan bintang filem ini  kerana buah dadanya besar menonjol. Malah pada malam itu mengikut Utusan  Jayne telah tidak memakai coli.

Aku anak sekolah rendah dalam Standard Six tidak faham apa yang menarik tentang buah dada.  Juga aku tidak tahu jamuan makan malam ini siapa yang mengatur. Tentang ini Utusan tidak melapor. Malah aku juga tidak faham apa yang menarik tentang Jayne Mansfield  yang tidak memakai coli. 

Tok Wan Rahmah aku pun tidak pernah ada coli  atau baju dalam.  Hanya Tok Wan Rahmah aku tidak pandai menari atau bertandak.

Berita tentang rakyat Indonesia kelaparan hingga terpaksa makan  tikus berkali-kali aku baca di Utusan. Dan juga aku dengar dari Radio Malaya. Ketika itu aku ambil semua berita ini dan apa yang aku baca sebagai ayat-ayat suci yang betul lagi benar.  Aku tidak memiliki was was atau menyimpan curiga terhadap Utusan ada menyimpan niat  jahat.

Tahun 1965 ketika aku dalam Tingkatan Dua tersebar berita tentang Presiden Sukarno telah ditahan dalam rumah. Ketika ini aku selalu membaca nama Jeneral Nasution. Nama ini  bersangkutan dengan Lubang Buaya.

Aku tidak faham apa yang sedang  berlaku.

Pada satu pagi  di sekolah aku ternampak akhbar Straits Times di bilik guru dengan tajuk  berita : Summit In Tokyo.  Walau pun aku telah masuk sekolah Inggeris tapi aku tidak ada upaya untuk membaca dan memahami akhbar Inggeris.


Di rumah aku membaca Utusan tentang apa yang telah berlaku. Baru aku tahu bahawa kerajaan Jepun  bersedia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan  Konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.

Dari apa yang aku baca Utusan terus melaporkan tanpa henti-henti cerita Lubang Buaya dan Gerakan 30 September. Dari Utusan juga aku terbaca perkataan Gestapo. Aku tidak  tahu apa maknanya dan apa hubungan dengan Lubang Buaya dan Sukarno.

Di Sekolah Menengah Undang Jelebu kami tidak lagi mengadakan latihan – sekolah kena bom.  Kelas tidak diganggu lagi. Semua seperti sedia kala.

Kemudian pada 28 Mei 1966 Utusan melaporkan ada perundingan antara Malaysia dan Indonesia  di Bangkok.  Indonesia diwakili oleh Adam Malik yang kini menjadi wakil Jeneral Suharto. Nama Subandario lenyap.

Pada 11 Ogos 1966 Perjanjian Perdamaian antara  Malaysia Indonesia  di tanda tangani di Kuala Lumpur.

Aku ingat lagi gambar  Lilis Suryani ( 1948-2007 ) mengetuk dram di muka hadapan akhbar Straita Times.  Penyanyi Gang Kelinchi menjadi penyanyi Indonesia  pertama datang membuat persembahan di Kuala Lumpur sesudah tamatnya Konfrontasi.

Kemudian ketika aku bercuti di rumah Kak Lang   di Kuala Lumpur aku berpeluang menuntun filem Indonesia pertama masuk ke Malaysia  sesudah  Konfrontasi. Filem Matjan Kemajoran (1965) garapan  Wim Umboh ( 1933-1996).

Aku menuntun filem ini di panggung wayang di Pangkalan TUDM – Tentera Udara DiRaja Malaysia di Sungai Besi. Filem purbawara bersilat ini  cukup hebat. Filem ini menjadikan  aku mula meminati filem dari Indonesia.
Orang Soborang – istilah  Tok Wan Rahmah –   kini kembali bersaudara dengan Orang Semenanjung. Biduk  lalu kiambang bertaut ini kata-kata dari Utusan Melayu. Amin.

EPILOK 1
Zaman kanak-kanak zaman peta kehidupan  aku putih bersih tanpa cakaran. Apa yang aku baca itulah pemahaman aku. Putih ketika itu adalah putih. Hitam ketika itu adalah hitam

Aku tidak sedar apa yang aku baca dari Utusan atau dengar dari Radio Malaya ketika Konfrontasi berjalan adalah berita yang bertujuan untuk mengolah persetujuan pembaca  dan pendengar untuk membenci  Bung Karno dan Indonesia.

Sekarang aku faham semua ini adalah perang saraf.

Jayne Mansfield yang berdansa dengan Sukarno tanpa memaki coli hanyalah untuk memburukan  watak Bung Karno di mata Bani Melayu pembaca Utusan. 

Watak nasionalis Bung Karno wajib di musnah agar  Tunku dilihat sebagai orang baik manakala Bung Karno penuh  maksiat.

Berita  warga Indonesia makan tikus adalah perang saraf untuk membuktikan bahawa Sukarno gagal dan rakyat menjadi papa kedana. Sama ada berita tikus ini sahih atau palsu pada ketika itu tidak ditimbulkan.

Utusan dan Radio Malaya memiliki hegemoni dan monopoli untuk menyebar berita dan dakyah palsu.

EPILOK 2
Berita tentang Kerajaan Buangan itu memang betul. Ketika Konfrontasi berjalan Shamsih Fakeh dan kawan-kawan dari PKM berada di Jakarta. Mereka mendapat sokongan dari Bung Karno. Kemudian  mereka di tangkap apabila Suharto merampas kuasa.

Mereka dibebaskan dengan pertolongan Ho Chi Minh dari Vietnam Utara. Mereka berpindah dari Jakarta ke Hanoi.

Apa yang palsu ialah berita penangkapan di Lapangan Terbang Sungai Besi dengan penemuan 200,000 ringgit.

Aku tahu ini berita palsu kerana pada tahun 1975 ketika polis sedang mencari aku satelah Demonstrasi Baling , aku untuk sementara telah menumpang di rumah Hasnul Hadi di Melaka.

Hasnul hai ini ialah sosok pertama Setia Usaha Politik Tunku Abdul  Rahman . ( Ini Bab Lain )

Hasnul Hadi meninggalkan United Malays National  Organisation dan menjadi pemimpin Parti Rakyat.

‘ Betul ke masa Abang kena tangkap di airport nak lari  ke Jakarta ... ada duit 200,000 ringgit....’ aku bertanya ketika aku menumpang di rumah Hasnul.

‘ Bohong.. bohong besar... aku masa tu  baru pulang  dari Cairo... konferen Afro-Asia.... di Cairo pun  ada ajen Inggeris mengekor kami... kami tidur bukan dalam hotel tapai dalam boat  di Sungai Nil.... duit bohong.... hal duit itu propaganda Tungku dan kerja SB ...’ Hasnul bersurah.
‘ Tangkap di mana.. ‘ Aku bertanya lagi.

‘ Di hotel murah di Chow Kit Road... masa itu Pejabat Parti kita di Chow Kit... dalam poket aku hanya ada 1.65 sen....’ Hasnul menerangkan.

Hanya ada satu ringgit enam puluh limas sen. Ini  kata-kata  dari Hasnul yang masih aku ingati sampai  ke hari ini. Bukan 200,000 ringgit seperti laporan Utusan.

EPILOK 3
Ketika aku kanak-kanak aku menunggu di tepi jalan melambai pada soldadu Inggeris. Mereka membaling coklat , gula-gula  dan biskut. 

Ketika itu tidak aku sedar bahawa ini juga adalah sebahagian dari perang saraf  kuasa kolonial Inggeris. Ini  bertujuan untuk memenangi hati budak-budak agar bersimpati dengan soldadu penjajah dan benci  kepada  sosok nasionalis yang berjuang  menuntut  kemerdekaan. 

Coklat dan gula-gua ditaburkan agar kami benci  pada komunis.

ELIPOK 4
Pada 15 Julai 1974 – aku pertama kali sampai ke Australia. Aku menghadiri persidangan tahunan ASA (Asian Student Association ). Aku menjadi wakil PPKM – ( Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia. Bersama aku  ke Australia ialah Idris Jusi dari UKM dan Radzi dari Institut Teknologi Kebangsaan.

Persidangan ini dirasmikan oleh  Dr Jim Cairns Timbalan Perdana Menteri kerajaan  Parti Buruh  pada ketika itu.

Sesudah perasmian ada masa untuk soal jawab..

‘ Sir... from Malaysia... what is Australian military bases doing in my country... when are  you  withdrawing from Butterworth air base...’  Aku bertanya tentang Pangkalan Tentera Udara Australia di Butterworth.

‘ That’s part of Five Power Defence Arrangements... we will end it ....  in the near future... ‘ Jawapan diplomatik  dari Timbalan Perdana Menteri Australia  seorang sosialis dalam Parti Buruh.

EPOLOK 5
Bila aku  masuk ke Universiti Malaya dan menjadi ahli Kelab Sosialis baru aku telah diberi pencerahan apa itu Five Power Defence Arrangement (FPDA). Ini adalah perjanjian bersenjataan  lima negara – Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan Britain. Ini negara  bekas tanah jajahan Britain

Maka soldadu Negro yang aku temui di tepi perigi Cik Gu Ali di Kampung Batu Serambai adalah soldadu dari FPDA.  Soldadu Negro ini pasti dari United Kingdom kerana banyak negeri di  Afrika bekas tanah jajahan  Baginda Queen. 

Malah latihan di Kenaboi itu adalah sebahagian dari lihatan ketenteraan FPDA.

Soldadu orang putih ayang aku panggil Jon dan Joni itu pasti  dari Australia, New Zealand atau United Kingdom.

Ketika Konfrontasi sebenarnya ada perang besar antara soldadu Inggeris dengan tentera Indonesia. Ini tidak dilaporkan oleh Utusan Melayu.

EPILOK 6
Aku tak pernah kenal Sukarno. Dari jauh pun aku  tak pernah nampak sosok Sukarno. Tapi aku berkenal baik dengan dua sosok yang  rapat  dengan Bung Karno.

Seorang bernama  Pak Budi Archo bekas Menteri Muda Perkapalan Sukarno.  Dan seorang lagi Prof Dr. Ernst  Utrecht   ( 1922-1987 ) penasihat Sukarno.

Pak Budi aku temui di London – orang pelarian politik – sekapal macam aku. Tahun 1965 ditangkap Suharto di penjara 12 tahun. Kemudian bebas dan mendapat  suaka politik di United Kingdom (Bab Tersendiri ).

Prof Ernst juga pada tahun 1965 telah ditangkap oleh Jeneral Suharto. Di penjara selama dua tahun. Bila dibebaskan dia meninggalkan Indonesia dan mendapat suaka politik di Belanda.

Prof Ernst mula aku kenal pada tahun 1974. Ini ketika Universiti Malaya mahu menubuhkan Fakulti Undang-Undang. Prof Ernst dibawa dari Amsterdam untuk menjadi tenaga pengajar  Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya.


Kedatangan Prof Ernst menjadikan rejim Suharto   marah. Indonesia membantah sikap Malaysia memelihara musuh Suharto.. Prof Ernst  diberi tempoh 24 jam untuk meninggalkan Malaysia. 

Ketika itu aku Setiausaha Agong PMUM. Kami membantah. Prof Ernst tetap dipaksa meninggalkan Kuala Lumpur. Dia pulang ke Amsterdam.

Tahun 1976 aku ke Australia sekali lagi. Aku bertemu dengan Prof Ernst. Kami sesama berkempen  memberi pencerahan tentang politik Malaysia dan Indonesia  kepada pelajar dari  Malaysia,  Indonesia dan pelajar  Asia dan juga  warga Australia.

Prof Ernst ini memakai dua jam tangan – di tangan kiri dan kanan.  Dia lebih awal  membawa fesyen dua jam tangan ini dari Bros kumpulan pop dari London  yang juga memakai dua jam tangan. 

‘ Bung... pasal apa ada dua jam...’ Aku bertanya kerana hairan.

‘ Ha ha .... satu waktu di Sydney.. satu lagi waktu di Belanda...’  Aku senyum bila mendengar jawapan.

Di Sydney Prof Ernst mengendalikan satu badan  yang mengkaji peranan Multinational Organisation.  Justeru dia rapat dengan para aktivis kiri.

Aku telah difahamkan Prof Ernst ini rapat dengan Bung Karno. Lalu satu petang di Sydney ketika kami bersantai dan bercanda-canda sambil minum air anggur merah aku bertanya :

‘ Sukarno ni macam mana orangnya....’

‘ Ha ha  kayak nak tahu.... satu hari di Medan.... kami ada  bertemu rakyat... aku duduk di sebelah Bung Karno... dia memberi ucapan.. kemudian dia duduk... Kepala bupati  pula bangun berucap....’

Aku memasang telinga hendak mendengar apa terjadi.

‘ Bung Karno merapati  aku dan berbisik.... Ernst... tu.. tu... nombor dua dari kiri... aturkan....’

‘ Apa tu...’ Aku tak pasti apa yang berlaku.

‘ Ah Bung Karno ... dia ternampak  anak gadis nombor dua dari kiri... kayak ...ha ha hah...’ 

Kami berdua sesama terbarai ketawa.  Dan aku tak perlu bertanya lanjut. Amin. (TT)


 TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM  LAMAN PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/03/16/utusan-melayu-dan-konfrontasi/


1 ulasan:

politikgilababi berkata...

Kemudian ditukar kpd IADS (Integrated Air Defense System)