Khamis, 28 April 2022

JANDA PULANG DAN PUTERI MANDI

 



 JANDA PULANG

  DAN 

PUTERI MANDI 


Hari Raya adalah tarikh  yang  mustahil dapat aku lupakan. Tapi sebelum  Raya sampai  ada  Puasa.  Bulan puasa sampai dulu.   Raya dan Puasa ini ikat berikat. Aku tak berapa ingat ketika bila  aku  mula  ingat akan puasa dan raya.

Apa yang pasti sebelum aku masuk sekolah lagi aku telah tahu Raya dan Puasa. Aku mungkin tiga atau empat tahun. Ini ketika keluarga kami masih  tinggal di Sekolah Tapak. 


Zaman ini  bila bulan puasa sampai sekolah akan bercuti. Keluarga aku semua pulang ke Kampung Tengah – kampung aku dilahirkan.  

Aku ingat lagi satu petang aku bermain  di tepi laman rumah Mak Mok aku. Mak Mok ialah  kakak kepada  Emak aku. Rumah Mak Mok tidak jauh dari rumah kami. Ketika bulan puasa kadang-kadang kami  berkumpul di rumah Mak Mok. 

Kami budak-budak – adik aku -  tidak berpuasa. Abang  aku yang lebih tua sudah mula berpuasa.  Kami  yang masih kanak-kanak diberi kebebasan nak puasa boleh nak makan pun boleh. 

Emak dan Abah aku tidak pernah menakut-nakutkan kami dengan api neraka kalau tak puasa. Atau  menjanjikan buah anggur di syurga jika kami berpuasa. Atau pun dapat bertemu Bidadari.

Nama  Bidadari dari kecil lagi selalu  aku dengar   tapi aku tak tahu dimana rumah si Minah ini. Zaman budak-budak aku  tidak tertarik sangat dengan  gadis bernama Bidadari.

Mak dan Abah  membesarkan aku dalam budaya Melayu.  Maka  aku fahami  kami berpuasa kerana kami  Melayu. Pada hemat aku kalau kita Melayu maka kita kena  berpuasa sebelum  Raya. Puasa dan Raya  hari kebesaran Orang Melayu.

Ketika itu aku tidak tahu pun Orang China ada Hari Raya, Orang India ada Hari Raya.  Dalam tempurung kampung aku  menjangka hanya Orang Melayu sahaja  ada Puasa dan ada Hari Raya.

Petang itu di rumah Mak Mok  aku dan Abang aku sibuk bermain di bawah pokok nangka. Hari telah petang dan kami menunggu masa berbuka puasa. Aku tahu di dapur  makanan sedang dimasak.

Aku tahu petang  ini ada  Janda Pulang.  Dalam kampung Tengah   tak ada siapa jadi janda.  Malah ketika itu aku tidak faham akan makna perkataan janda. Untuk aku janda ialah Janda Pulang.

Awal tadi  sepupu aku Abang Kassim Doyok telah memanjat dan mengambil kelapa muda untuk membuat Janda Pulang.

Janda Pulang adalah sejenis minuman yang selalu dihidangkan ketika bulan puasa. Air kelapa muda yang isinya telah dikaut dan dimasukan sama ke dalam  balang. Sedikit gula telah ditambah untuk memaniskan air kepala ini. 

Kenapa nama minuman ini  Janda Pulang tidak pula aku kaji. Apa yang aku tahu dalam bulan puasa selalu ada Janda Pulang sebagai minuman ketika berbuka puasa.

Ketika aku membesar bulan puasa adalah bulan paling seronok. Aku bukan seronok berpuasa tapi seronok menikmati pelbagai kuih muih  berbuka puasa.

 Adat keluarga kami ketika berbuka agak ketat. Kami budak-budak yang tidak berpuasa  duduk di tepi dahulu. Orang dewasa duduk bersila di atas tikar. Orang yang berpuasa diberi penghormatan untuk merasa juadah terlebih dahulu.

‘ Wan ... dah buka ke belum....’ Aku melaung bertanya pada Wan Rahmah aku. Kesabaran untuk bertemu Janda Pulang teruja.

‘ Bolom... tengok bulu romo kau... nampak lagi ko tidak...’ Dari atas rumah aku terdengar jawapan dari Wan Rahmah.

Wan Rahmah aku ini menjadi pakar rujuk untuk kami kanak-kanak.  Untuk Wan Rahmah kunci mengenal waktu berbuka ini senang saja.  Caranya cukup ilmiah sama setaraf dengan Galileo Galilei ( 1564 -1642) pakar kaji bintang dari Itali.

Angkat tangan dan tengok bulu roma. Kalau masih nampak bulu roma ertinya belum waktunya untuk berbuka.  Ertinya hari masih terang benderang.

‘ Cubo tengok bulu romo....’ Suara Wan Rahmah. 

Bila mendengar itu aku berlari ke bawah pokok nangka dan melihat  bulu roma di lengan.

‘ Wan dah gelap... dah boleh berbuka...’ Aku melaungkan waktu berbuka.
‘ Kao bawah pokok memang  laaa golap... poei tongah laman ... tengok... bawah pokok tak aci...’  Wan Rahmah memberi penerangan kerana aku melihat bulu roma  di bawah lindungan pokok nangka. 

Aku menapak ke tengah laman dan mengangkat lengan.  Bulu roma aku masih jelas kelihatan. Petang itu aku  gagal untuk mempercepatkan pertemuan aku dengan Janda Pulang.

Pada tahun  1954 keluarga kami berpindah dari  Sekolah Tapak ke  Sekolah Melayu  Kuala Klawang. Rumah Cik Gu Zaleha di pinggir pekan Kuala Klawang. 

Hari berganti hari. Musim beralih.  Tahun bertukar tahun. Aku dari tak sekolah sudah masuk sekolah pada tahun 1957.

Di Kuala Klawang Wan Rahmah tak perlu lagi melihat bulu roma untuk mengetahui bila waktu berbuka. Berek sekolah rumah kami tinggal  tidak jauh dari Rumah Pasung. Setiap petang akan kedengaran siren dari  Rumah Pasong dengan jelas.

Ketika aku dalam darjah dua sekali lagi  keluarga kami pindah. Kali ini  ke sekolah Umum Batu Serambai. Ini kawasan kampung Melayu tradisional. Tanda berbuka puasa kami berubah. Kali ini kami berbuka puasa apabila  terdengar pukulan  beduk buluh  dari  surau Lebai Juri.

Bunyi beduk ini boleh didengar dengan jelas. Surau Lebai Juri  terletak  tepi kawasan sawah tidak jauh di hadapan sekolah dan berek guru.

Dalam darjah satu hingga ke darjah tiga aku tidak berpuasa. Bila masuk darjah empat aku mula belajar berpuasa.  Puasa aku puasa  ikut ikutan.

‘Kalau tak tahan .... boleh berbuka...’ Nasihat Wan Rahmah aku yang demokratik.

Bila aku masuk Standard Six di Goverment Englsih School puasa aku berubah. Kali ini  bukan lagi puasa  pantun dua kerat:
Puasa yang yuk
Pagi pagi buka periuk
 
Aku masih ingat lagi Tok Wan Rahmah aku mengajar aku memasang niat puasa. Wan Rahmah aku buta huruf tapi dia hafal niat puasa dalam bahasa Arab.

‘ Nawaitu samrodin....’ Wan Rahmah aku mengajar aku memasang  niat berpuasa selepas sahur sebelum tidur.

Di atas bantal aku mengulang-ngulang niat puasa dalam bahasa Arab.  Aku  terlupa bahasa Arab ini  dan merasa agak kekok.

‘ Nawaitu sama rodin.... Wan... Tuhan ni tak faham bahasa Melayu ko... ....’ aku bertanya  bila aku merasa susah untuk menghafal bahasa Arab.
 
‘ Pasang niat dalam ati...tak po kito ni  Melayu... bukan Arab.. ‘ Wan  Rahmah aku  memberi pendidikan awal tentang falsafah Islam Budaya yang sampai sekarang aku pegang,

Tok Wan Rahmah aku berkahwin dengan Tok Sidek yang tak pernah aku temui. Tok Sidek ini peneroka, pembuka dan pengasas  Kempung Tengah. Tok Sidek  juga guru agama.  Aku masih ingat lagi surau dalam kawasan rumah kami. Ini surau tempat Tok Sidek mengajar  anak-anak kampung membaca Quran.

Hakikatnya aku dibesarkan dalam suasana  Islam Melayu bukan  Islam Arab. 

Aku masih ingat lagi surah Wan Rahmah aku tentang asal usul kami. Kami ini dari suku Biduanda. Ini darah keturunan Sakai Negeri Sembilan.

‘Kito ni dengan Rayat samo...’  Wan Rahmah memberi penerangan.

Untuk orang Negeri  Sembilan Orang Asli dipanggil Rayat. 

‘ Dulu ....tujuh keturunan dulu kito samo...macam Rayat... tapi  Tok Penghulu kito Muhamad... kito ikut Muhamad jadi Tok Penghulu... itu sajo bezonya... Rayat ado Tok Batin....’ Wan Rahmah aku menerangkan susur galur perpisahan Melayu dengan Orang Asli.

Wan Rahmah aku menggunakan  konsep Penghulu untuk Nabi. Penghulu ini lahir dari konsep budaya Melayu.

Aku memahami kebenaran pandangan Wan Rahmah aku ini. Tambahan pula aku selalu  melihat Rayat yang tinggal di Guntur lalu depan rumah kami. Guntur ini nama  kawasan perkampungan  Orang Asli yang terkenal dengan air terjunnya.

Di zaman kanak-kanak ada satu perkara yang amat menarik ketika Bulan Puasa dan Hari Raya.  Ini tentang melihat anak bulan di Teluk Kemang untuk menentukan bila  puasa bermula dan bila kita akan berhari raya.

Teluk Kemang ini aku tahu.  Wilayah ini terletak di pantai Port Dickson. Teluk Kemang Batu 8 pantai berkelah dan mandi manda. Tempat Orang Nogori  Mandi Safar.  Hanya  Teluk Kemang tidaklah  segah dan hebat seperti Tanjung Keling dalam pesta pestaan  Mandi Safar.

Di minggu akhir bulan puasa Warta Berita  Radio Malaya akan mengumumkan lebih awal tentang tarikh menengok bulan di Telok Kemang. Ketika ini aku memasang telinga macam telinga lintah ke hadapan radio.

Cik Gu Zaleha menerangkan cara menengok anak bulan dengan memakai teropong. Dari atas bukit akan diteropong ke tengah lautan. Anak bulan ini dilihat di waktu senja dalam gelap.  Cahaya anak bulan ini akan melintas sebentar sebelum menghilang.

‘   Jika sekelimbas  cahaya anak bulan ini dilihat... itu tanda bulan baru telah sampai...’ Cik Gu Zaleha memberi penerangan.

Di zaman kanak-kanak malam melihat anak bulan untuk mula berpuasa  tidaklah begitu menggerunkan. Tapi malam melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh bila Hari Raya untuk  aku adalah detik-detik  saspens macam  babak filem olahan Alfred Hitchcock ( 1899-1980).

Pada petang Pak Haji dan  Tok Lebai mendaki bukit di Teluk Kemang jiwa aku menjadi tegang. Aku menyimpan penuh harapan agar  anak bulan akan dapat dilihat. 

Paling menggerunkan jika petang itu di Jelebu bercuaca suram dan renyai-renyai.

‘ Kalau macam ini hari ujan ... tak nampak anak bulan malam ini...’  Wan Rahmah aku memberi pendapat.

Pandangan Wan Rahmah aku ini  amat-amat menakutkan aku. Malah kawan-kawan sekampung juga menjadi risau dan gelabah. Kami budak-budak hanya nak tahu esok raya atau tak jadi raya. 

Pengumuman dari  Radio Malaya dinanti-nanti.   Di rumah mereka yang ada radio telinga  akan terus di pasang   untuk mendengar Warta Berita jam 8 malam.

‘ Anak bulan telah kelihatan di Pantai Telok Kemang... maka Hari Raya jatuh pada hari.....’ Inilah suara pembaca warta berita Radio Malaya aku  hendak dengar. Berita lain : harga getah atau Perang di Vietnam atau pilihan raya di Amerika aku tidak peduli. Aku tak mahu dengar.
Bila puasa selesai  Hari Raya sampai. Hari Raya ini akan menenggelamkan semua  ingat-ingatan dalam bulan puasa.  

Pada Hari Raya aku bertemu  lemang, ada rendang, ada tapai, ada kuih wajik dan kuih baulu.  Untuk aku dari zaman aku kanak-kanak lagi aku fahami  lima juadah ini memberi definisi Raya sebagai budaya Melayu.   Di zaman itu aku anggap tanpa juadah ini aku rasa Hari Raya akan gagal. Kemelayuan Hari Raya akan hilang.

Aku tak dapat  membayangkan Hari Raya tanpa lemang.   Bagaimana agaknya hari raya tanpa tapai. Pada ingatan aku tanpa tapai Hari Raya akan gagal - tak manis seperti tapai.

Hari Rya juga ada lemang.  Lemang beras pulut yang dimasak dalam buluh asal usulnya  adalah cara masakan Sakai , Rayat atau Orang Asli. Untuk ini lemang adalah bukti kebenaran kata-kata Wan Rahmah aku bahawa antara Melayu dengan Sakai ini tidak ada bezanya.

Lalu aku teringat akan Puteri Mandi. Apa dia Puteri Mandi ini? Apakah Puteri Mandi juga jambatan penghubung antara Melayu dengan Sakai?

Puteri Mandi bunyinya mengghairahkan dan mengancam kejantanan. Pertama kali aku berkenalan dengan  Puteri Mandi aku juga hairan kenapa namanya Puteri Mandi.

Puteri Mandi ini juadah bulan puasa. Cara membuatnya  tidak susah. Tepung beras pulut diuli kemudian dijadikan ketulan sebesar guli.  Tepung yang dibulatkan ini akan  di tenyeh sebelum direbus dalam air panas.

Dalam masa yang sama kelapa yang tidak tua dan tidak muda akan  dikukur dan direbus dalam  cecair gula kabung.  Kemudian tepung yang telah direbus dimandikan dalam cecair  gula kabung.   Maka inilah   Puteri Mandi. Tepung mandi dalam cecair gula kabung.

Kelapa yang telah dikukur itu akan  menjadi rambut Tuan Puteri yang badannya putih melepak mandi dalam kolam air manis berwarna  coklat.

Aku yakin juga Puteri Mandi ini lahir dari pembudayaan Melayu yang berakar umbi dari budaya Orang Asli. Melayu dan Sakai tidak ada masalah dengan tubuh  badan manusia.  Melayu tidak obsesi untuk mengawal tubuh  badan manusia.  Melayu bukan seperti budaya Arab yang takut dengan nikmat tubuh badan manusia. Justeru  perlu dibungkus.

Ketika aku membesar aku tidak hairan melihat Kakak dan Abang , Emak dan Ayah  mandi bogel, separa bogel  atau berkemban atau berkain cukin dalam sungai atau di perigi. Melayu sama seperti Sakai dan Dayak  merayakan keindahan tubuh badan manusia.

Sama ada dapat dilihat tubuh badan Puteri yang sedang  mandi itu aku rasa terpulang kepada imaginasi sendiri. Apa yang indah ialah Puteri Mandi seperti Tapai  ini manis untuk berbuka puasa.  Selamat Hari Raya. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/04/28/janda-pulang-dan-puteri-mandi/




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TT, puteri mandi tu hampir sama dengan manisan Tang Yuan yang di buat pada festival Dongzhi (Winter Solstice) yang disambut oleh masyarakat Cina. Saja nak bagi tau! Air gula tu boleh guna gula putih atau gula tuak ditambah dengan hirisan halia. https://en.wikipedia.org/wiki/Dongzhi_Festival

Nur haura afeeya berkata...

Salam