Polis Israel serang Al-Aqsa, lebih 100 warga Palestin cedera
LEBIH 100 warga Palestin dianggarkan cedera akibat tindakan polis Israel menggempur Masjid Al-Aqsa di Timur Baitulmaqdis dalam siri keganasan yang berlarutan sejak Rabu, lapor Al-Jazeera.
Agensi itu menyebut, polis Israel memasuki masjid dan menyerang dengan gas pemedih mata dan bom gegaran sewaktu penganut Islam berhimpun untuk menunaikan solat Subuh.
Ia menyebabkan kumpulan penganut Islam terpaksa berlindung di dalam masjid dan mempertahankan diri dengan melemparkan batu, lapor agensi itu.
Laporan tersebut turut memetik kenyataan Palang Merah Palestin yang menyebut, kebanyakan penganut yang cedera dipindahkan ke hospital.
Usaha tersebut bagaimanapun dihalang polis Israel yang bertindak menyekat ketibaan ambulans dan paramedik dari mendekati masjid.
Rakaman video menunjukkan aksi serangan tersebut turut tersebar di pelantar media sosial.
Polis Israel mendakwa mereka memasuki kawasan masjid untuk menyuraikan satu kumpulan “ganas” yang kekal berada di masjid selepas solat jemaah.
Laporan itu juga menyebut, keganasan itu muncul susulan tekanan dari kumpulan pelampau Yahudi yang mahu serbuan dijalanakan ke atas Masjid Al-Aqsa sewaktu perayaan Passover Yahudi.
Kumpulan pelampau berhaluan kanan itu juga dilaporkan mendesak demikian supaya satu upacara sembelihan haiwan dapat dilakukan semula di perkarangan masjid itu.
Serangan tersebut kemuncak kepada ketegangan yang berlaku dalam beberapa minggu lalu.
Seramai tujuh orang warga Palestin termasuk wanita terkorban dalam siri keganasan ejen Zionis sejak Rabu melalui operasi ketenteraan di Tebing Barat yang diduduki secara haram kumpulan Yahudi.
Ramadan tahun ini berlangsung serentak dengan perayaan Passover Yahudi dan juga Holy Week Kristian yang meningkatkan kehadiran penganut agama dan pengunjung lain ke Baitulmaqdis.
Bantahan ke atas siri serbuan polis Israel di Al-Aqsa pada Ramadan tahun lalu meletuskan perang selama 11 hari di wilayah Gaza.
Ia menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 260 warga Palestin dan 13 Israel serta kemusnahan besar di wilayah tersebut. – 15 April, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan