AYAM SIAM
DI PADANG BESAR
Malam itu di meja makan ketika aku minum air aku terasa ada keganjilan. Aku merasa air yang aku minum agak lain rasanya dari air yang biasa aku minum di Jelebu. Aku tak berani bersuara di hadapan Mrs Ali kerana aku dan Lee ini tamu - menumpang tidur dirumahnya.
Agak tidak berbudi bahasa kalau tamu banyak songel di meja makan.
Selesai makan ketika dalam bilik aku, Lee dan Azahar duduk bersembang.
‘ The water ... strange taste...’ Aku membuat kesimpulan di depan Azahar yang sedang berlunjur tersandar menghisap merokok.
‘ Laa.... air di sini payau..air dari bukit lime stone...’ Azahar beri penjelasan.
‘ Ooo.. sabun mandi pun takda buih.. air dari mana ..’ Lee Keong menambah.
Pertanyaan Lee tanpa mendapat jawapan
Lalu aku mengandaikan Kangar di kelilingi oleh sawah padi tapi tidak seluas Kedah. Masih kelihatan bukit bukau gunung ganang yang mungkin batu kapur. Mungkin dari permulaan Banjaran Titiwangsa inilah tadahan air untuk Perlis.
‘ Kangar ada apa...’ Aku bertanya.
‘ Ada aku...’ Jawapan Azahar melawak. Kami sesama terbarai ketawa.
‘ Apa nak buat esok...’ Aku bertanya.
‘ Padang Besar... semua orang datang ke Perlis bukan nak tengok Kangar... takda apa apa kat sini.... semua nak masuk Padang besar...’
Sebelum sampai ke Perlis aku tak pernah tahu pun Padang Besar. Malah tak ada dalam perancangan kami. Kami nak sampai Kangar kerana Kangar pekan terakhir sasaran kami. Juga nak melawat Mrs Ali guru lama kami ada di Kangar. Selesai Kangar kami akan pulang ke Jelebu.
‘ Pekan Siam... pergi tengok... naik bas..tak sampai sejam... Klawang Seremban lagi jauh...’ Azahar memberi bandingan betapa dekatnya Padang Besar.
‘ Lee... esok kita ke Padang Besar...’ Aku membuat keputusan kerana nama Padang Besar ini disebut berkali-kali. Dari Kedah lagi aku telah mendengar nama Padang Besar.
Pagi itu kami bersarapan pagi bersama Mrs Ali dan Azahar. Mrs Ali ada pembantu rumah yang menyiapkan sarapan pagi kami. Mungkin anak gadis tempatan.
Kemudian Azahar membawa kami ke perhentian bas Kangar. Dia enggan bersama kami ke Padang Besar.
Kami tak lama menunggu. Tiket bas hanya 65 sen. Makin jauh bas meninggalkan Kangar makin kurang sawah padi. Akhirnya masuk ke kawasan kampung-kampung Melayu.
Bas berhenti. Aku terperanjat melihat Padang Besar. Namanya padang yang besar. Tapi tidak ada pekan dengan bangunan batu seperti pekan yang biasa kita lihat. Kuala Klawang pun lebih besar dari Padang Besar. Rumah-rumah kedai papan yang tidak tersusun. Warung pun bukan kedai pun bukan.
Maka Pedang Besar aku takrif sebagai Pekan Koboi.
Tak jauh dari pekan ialah stesen kereta api Padang Besar. Gerabak-gerabak buruk kelihatan tersadai di landasan yang tidak digunakan. Disebelah stesen aku lihat ramai orang berjalan kaki melintas landasan.
Pejalan kaki tak putus-putus melintasi jalan kereta api. Kami pun membuntuti sama.
Ha ha rupa-rupanya ini jalan gelap untuk nyeberang ke sempadan. Aku tak nampak polis. Tak ada pengawal dari Malaysia atau Siam.
Apa yang aku nampak ialah pagar sempadan. Antara 8 kaki atau mungkin 10 kaki tinggi. Pagar sempadan ini lebih tinggi dari pagar zaman darurat yang mengepong pekan Kuala Klawang. Bentuknya sama – bertiang simen dan kawat berduri yang tebal.
Pagar ini menanda kan sempadan antara dua negara – Siam dan Malaysia. Sayangnya – ada sosok bijak lagi pandai telah menebuk lubang pada pagar ini. Malah ada juga tiang simen yang telah menyembah belukar.
‘ Oh... we just walk over.... sana tu Siam... ‘ Aku dengan berani mengajak Lee melintas sempadan.
Ketika kami menapak kami berselisih dengan Mak Cik, Pak Cik , Abang dan Adik – semua bercita dan berniat nak melihat pekan Siam. Pekan Siam ini pun namanya Padang Besar. Jadi ada dua Padang Besar – yang dipisahkan oleh pagar kawat berduri yang dah runtuh.
Pekan Siam ini agak besar – besar lagi dari yang di Perlis. Aku hairan walau pun kedai-kedai agak kokak dari papan tapi barangan yang dijual kelihatan lumayan.
Aku melihat sebuah kedai khusus menjual jam tangan dan arloji. Aku merapati dan melihat apa yang dipamerkan dalam peti kaca. Aduh ! Jam tangan berjenama – ada Rado, ada Rolex dan ada juga Timex.
Semua barang-barang lumayan ini aku hanya mampu lihat tak pernah mampu milik.
Ada sebuah kedai penuh dengan Mak Cik. Ini kedai pinggan mangkuk. Ada pinggan mangkuk tembikar. Dan aku lihat dua orang Mak Cik dan seorang Kakak sedang membeli bukan pinggan tembikar tapi mangkuk aluminium dan kendi basuh tangan.
Baru aku tahu disini punca asal usul kendi aluminium ini. Lalu aku sedar dari Siam bermulanya fesyen kendi basuh tangan yang penuh ukiran ini.
Tertiba aku terdengar: ‘ Abe.. abe ... abe..mari sini bbe....’ Aku menoleh dan nampak anak dara sunti sedang berbual dengan seorang pejalan kaki.
Berjalan ke hadapan sedikit aku ternampak kuil Buddha. Aku rasa ini sudah di pinggir pekan lalu kami pusing ke belakang..
Aku perhatikan pekan ini ada pelbagai oleh-oleh untuk kenangan. Maka Lee dan aku masuk ke sebuah kedai yang penuh dengan patung Buddha. Ada yang tergantung ada yang terlekap di dinding.
Cari punya cari aku terjumpa perahu tembikar kecil warna hijau. Harganya 8 bhat. Aku tidak ada duit bhat tapi kedai itu boleh menukar. Malah tuan empunya kedai lebih suka mendapat ringgit Malaysia. Tukaran 1 ringgit ketika itu ialah 11 bhat. Aku membeli perahu kecil itu dan dapat pulang duit siling 3 bhat.
Kami belum makan lagi. Kami tak tahu nak makan apa. Tertiba aku terdengar orang memanggil.
‘ Abe.. Abe.. mai kedai kito beh... ore Melayu niago sini beh...’ Suara anak gadis menjemput kami singgah di warung.
‘ Mu nak gapo ... mee ado.. tom yam do... suntam ado... ado belako...mee goreng.. mee rebus...ado belako...’ Anak gadis cantik molek jadi juru jual. Perut yang lapar dengan ajakan gadis yang cantik adalah kimia terbaik. Lalu kami singgah.
Bila selesai makan gadis itu bertanya lagi.. ‘ Nak gapo lagi..’
Aku hanya tersenyum. Bila aku bertanya berapa yang wajib kami bayar. Dengan pantas dia menjawab.
‘ Seriyal... 2 kut... orang Malasia kato.. 1 ringgit dua puluh sen... ‘ Aku membayar dengan duit Malaysia.
Kami menuju kawat berlubang. Di tengah jalan aku nampak sekumpulan ayam jantan terikat. Aku perhatikan ada penjaga. Jelas pada hemat aku ayam-ayam jantan ini khusus dipelihara untuk berlaga. Memang gah, tinggi dan balungnya merah. Di Jelebu lagi aku pernah mendengar kehebatan ayam Siam ini. Berapa harga seekor aku tidak bertanya.
Sebelum sampai ke kawat berlubang betul-betul di tengah jalan di bawah pokok rendang tempat laluan orang ramai ada seorang Abang. Dia mencangkung. Di hadapannya ada tiga cawan Teh Cina. Dia membuka dan menutup cawan ini. Dalam cawan ini ada sebiji bola kecil.
Aku dari Jelebu dengan penuh kehairanan berhenti untuk melihat mainan silap mata ini..
‘ Adik teka.. mana bola... mana bola ni... ‘ Dia mengajak aku meneka dalam cawan mana bola itu. Tangan Abang ini cukup pantas mengalih-alih cawan dan bola kecil ini. Aku tak faham apa yang sedang berlaku.
Lee menarik tangan aku mengajak beredar.
‘ Itu judilaaa... itu tipu...’ Lee menerangkan untuk menyelamatkan aku budak kampung yang baru mengenal dunia.
Kami beredar dan menerbus masuk ke lubang kawat dan menapak di landasan kereta api. Aku terdengar bunyi hon kereta api dari arah Siam. Bunyi ini tanda kereta api hendak sampai.
Hah ! Tertiba di tepi landasan kereta api aku ternampak seorang Amoi dari Jelebu. Dia keseorangan berdiri. Aku kenal Amoi ini kerana satu ketika dahulu dia pernah menoreh getah di Kampung Batu Serambai.
“ Lee tengok budak tu...kenal tak...’
Lee memandang dan tak ambil peduli. Baru aku sedar Amoi ini dari Titi. Lee Keong dari Kuala Klawang. Mereka tak pernah bertemu.
‘ Buat apa di sini...’ aku bertanya.
‘ Macam lu laa... jalan jalan cari kawan...’ Amoi ini menjawab.
Aku merasa gembira kerana di tempat yang begini jauh ada juga sosok Orang Jelebu yang aku kenali.
Kemudian aku nampak ramai anak-anak muda berlari lari. Amoi dari Jelebu hilang dari pandangan. Anak-anak muda berkejar mengikut kereta api yang bergerak perlahan kerana hendak masuk ke stesen Padang Besar. Aku hanya memerhati. Aku tidak tahu kenapa ramai orang terlari-lari mengikut kereta api masuk stesen.
Kemudian kereta api berhenti. Anak-anak muda tadi terus masuk ke bawah kereta api. Mereka mengambil bungkusan dari celah-celah perut kereta api. Aku tak tahu apa dalam buntil, dalam tong dan dalam karung yang mereka ambil.
Yang aku faham bungkusan ini dari Siam disorokkan bawah perut kereta api. Bila sampai ke stesen Padang Besar maka akan ada orang mengambil.
Aku yang ingin tahu terus bertanya pada seorang Anak Muda yang mencebet buntil kecil.
‘Apa dalam...’ Aku secara jujur bertanya.
‘ Mu nak beli..... beras Siam... molek... nak.... hargo muroh...’ Anak Muda ini menayangkan buntil beras Siam kepada aku.
Aku menggelengkan kepala. Anak muda itu berjalan ke hadapan. Rupa-rupanya telah ada Tok Peraih yang sedia menunggu untuk membeli beras Siam yang baru diseludup.
Maka dewasalah kepala seorang budak kampung dari Jelebu yang dapat melihat bagaimana beras Siam diseludup masuk.
Sementara menunggu bas kami masuk merayau ke dalam pekan Padang Besar Perlis.. Ada juga kedai jam tangan yang berjenama dan jam dinding. Di belakang kedai-kedai ini aku ternampak Tok Peraih menimbang beras kemudian di masukan ke dalam guni. Dalam kedai telah ada beberapa guni yang telah penuh berisi beras.
Dalam bilik Azahar nak tahu apa cerita kami bawa dari Padang. Aku buka cerita taktik seludup beras di sempadan. Lee cerita aku hampir kena tipu main judi. Aku juga cerita aku nampak Amoi Jelebu di stesen kereta api.
‘ Nampak ayam tak... Padang Besar banyak ayam Siam...’ Azahar bertanya.
‘ Ada aku nampak...tepi jalan...tauke pun ada ...’ Dengan penuh keyakinan aku menjawab.
‘ Cantik tak...tak tanya harga....’ Azahar mendesak.
‘ Aku tak tanya harga ..cantik apa pulak... ayam laga.....’ Jawapan jujur dari aku.
Azahar terbarai ketawa. Lee dan aku hairan.
‘ Bukan ayam laga...ayam perempuan...ayam ajak berancuk....’ Azahar ketawa lagi.
Malam itu di atas bantal aku teringat tentang ayam. Lalu aku teringat kepada Amoi Jelebu. Kemudian aku teringat tahun 1967 penari bogel tersohor Rose Chan (1925-1987) berkahwin dengan pemain Sekseephone anak Jelebu. Cerita tersebar yang Rose Chan telah mengambil anak angkat dan mula merekrut gadis Jelebu untuk menjadi penari.
Dalam kepala aku : Apakah Amoi Jelebu itu anak didik Rose Chan. Aku ketuk kepala aku untuk memadamkan andaian jahat yang mula menjalar.
Esok pagi Mrs Ali dan Azahar menghantar kami keluar. Kami berjalan kali terakhir di Kangar. Kami mengucapkan terima kasih kepada Mrs Ali. Kami berpisah berhampiran Sekolah Darma.
Kami menapak terus menunggu kereta untuk pulang ke Jelebu.
EPILOK 1 – Tahun 1970 ketika aku belajar di MCKK – setiap Selasa aku ke Taiping untuk mandi ke Burma Pool. Kolam renang di MCKK tak berair maka Kelab Renang MCKK datang ke Taiping.
Aku cari kembali kedai kasut saudara Mister Tay. Aku gagal bertemu dengan Mister Tay.
EPILOK 2 – Mrs Ali aku temui kembali pada 2007. Ketika kami bertemu dia menjadi Pengarah Yayasan Budi Penyayang di pejabat Yayasan di Equine Park Serdang.
Menurut Mrs Ali beberapa kali dia dan Mister Ali telah ke London. Mereka ada cuba mencari aku tapai gagal. Hatinya masih lagi teringat dengan Jelebu.
Azahar anak buah Mister Ali kini berkeluarga dan berada di seremban.
EPILOK 3 – Lee Keong dengan aku putus hubungan semenjak 1974. Aku gagal datang ke hari perkahwinan daia pada 25 Disember 1974.
Kami berjumpa kembali semenjak aku pulang dari berkelana. Lee telah beristeri dan beranak pinak.
Lee Keong dan isteri kini tinggal di Port Dickson satelah bersara sebagai Pensyarah Perubatan di Pusat Perubatan Seremban.
Kami masih berhubung. Keluarganya masih ada di Jelebu.
Ketika aku merakam kembali kesah Hitch Hiking 1968 ini aku selalu berhubung melalui telefon. Lee Keong menjadi pakar rujuk aku.
EPILOK 4 - Perahu tembikar yang aku beli di Padang Besar itu masih ada dalam simpanan aku di Jelebu.
EPILOK 5 - Tanpa Lee Keong perjalanan saekor katak keluar dari tempurung - dari Jelebu ke Padang Besar tak mungkin berlaku. Perjalanan yang mendewasakan sebuku hati budak kampung tidak mungkin berlaku seperti apa yang aku rakamkan tanpa kawan aku bernama Lee Keong. Amin.(TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/06/08/ayam-siam-di-padang-besar/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan