BUDAK JELEBU
SESAT
DI SEREMBAN
Bulan Mac 1968 - radio dan akhbar Malaysia heboh. Heboh dengan berita Piala Thomas yang dimenangi pada bulan Jun 1967 di Jakarta akan dibawa pulang dari London. Aku bukan ahli sukan tapi heboh badminton bagaikan nak rak ini telah menyedut aku untuk membaca berita sukan.
Tahun 1968 siaran TV telah wujud di Malaysia. Tetapi di Jelebu TV masih belum sampai. Pancaran gelombang TV telah gagal menembus masuk kerana kedudukan Jelebu di gaung Banjaran Titiwangsa dan dihalang oleh Bukit Tangga.
Berita Thomas Cup ini hanya aku ikuti melalui surat khabar.
Malaysia diumumkan Malaysia menjadi juara Piala Thomas 1967 mengalahkan Indonesia. Berita memberi aku tahu bahawa kali pertama Malaya jadi pemenang tahun 1949, kali ke dua tahun 1952 dan kali ketika tahun 1955. Semua ketika Tanah Melayu di bawah jajahan Inggeris.
Kali ini Malaysia menang Thomas Cup atas nama Malaysia bukan Malaya untuk kali ke empat.
Heboh berita menang Thomas Cup macam cerita durian runtuh. Aku yang buta sukan ini tidak dapat tidak mula membaca hal sukan.
Aku yang tak tahu sangat dan jarang menghafal nama ahli sukan dah mula pandai menyebut nama pemain dua beradik Tan Aik Mong dan Tan Aik Huang. Juga nama Eng Boon Bee dan Abdual Rahman.
Ombak badminton mengampuh. Berita meledak lagi.
Pada Ahad 27 Mac 1968 dilaporkan seramai 5000 tua, muda, jantan betina dan sida - warga Malaysia telah berkampung menunggu Thomas Cup di Lapangan
Terbang Antarabangsa Subang. Mereka menyambut Thomas Cup dibawa pulang dari London.
Pasukan Thomas Cup telah sampai ke Subang dari London bersama Khir Johari Presiden Badminton Malaysia merangkap Menteri Pelajaran. Di Subang Pasukan Thomas Cup ini telah disambut oleh Menteri Penerangan Senu Abdul Rahman.
Esoknya 28 Mac 1968 – sekolah di seluruh Malaysia diberi cuti umum.
Berita Thomas Cup terus menjadi perbualan nasional. Ribut taufan Thomas Cup sedang melanda Tanah Melayu dengan hebat.
Dengan serta merta disana sini kelihatan anak-anak dan budak-budak mula bermain badminton. Hebat. Cukup hebat pengaruh Thomas Cup ini. Kedai runcit – di Kuala Klawang juga mula menjual raket dan bola bulu ayam.
Tertiba aku terbaca Khir Johari mengumumkan Piala Thomas akan di arak dari negeri ke negeri sebelum disimpan di muzium negara.
Mata aku terbuka bila membaca berita Thomas Cup ini akan sampai ke Negeri Sembilan. Piala dan pasukan badminton yang berjaya mengharumkan nama Malaysia akan disambut orang ramai di Seremban.
Selama satu minggu Piala Thomas akan diletakkan di Dewan Bandar Seremban. Orang ramai dijemput datang melihat piala ini. Masuk ke dewan percuma.
Tahun 1968 ketika Malaysia menang Thomas Cup aku dalam Tingkatan Lima. Aku tinggal di hostel Sekolah Menengah Undang Jelebu.
Antara kawan baik seasrama ialah Mat Sham Yahya – pelajar dari Kampung Petasih 20 batu dari Kuala Klawang. Dia pelajar tingkatan lima aliran Melayu di Sekolah Menengah Banda Tinggi. Katil Mat Sham di tepi tingkap di sebelah katil aku.
‘ Eh... Mat Sham .. mari kita gi Seremban Sabtu ni... nengok Thomas Cup...’ Aku memberi cadangan
‘ Kek mano...’ Mat Sham bertanya.
‘ Dewan Soromban..... baco ni berita ni... semua di jemput datang.... semua tu kitolaaa...’ Aku menghulur akhbar Utusan Malaysia pada Mat Sham.
‘ Kito berdua je ko....” Mat Sham bertanya.
‘ Sapo lagi... ajak Kiak... ajak Mat Zin... ompek orang cukup laa...’ Aku memberi cadangan.
‘ Naik apo...bas tiket 80 sen...pulang balik 1.60 sen...belanjo lagi...kau ado duit ko...’ Mat Sham mengira bujet.
‘ Kito hitch hike... numpang kereta orang...’ Aku beri cadangan.
Kemudian aku menemui Kiak dan Mat Zin. Kiak ini nama gelaran. Nama dia sebenarnya Haris. Kerana kepala dia agak besar macam kepala anai-anai - maka dalam budaya hostel Si Haris mendapat gelaran Kiak.
Kiak dalam tingkatan dua aliran Inggeris. Manakala Mat Zin dalam tingkatan tiga dari aliran Melayu.
“ Hari Sabtu ni... kita hitch hike... buat dua tim. ...empat orang susah nak dapat kereta... nanti drebar ingat kita nak menyamun... aku dengan Kiak... Mat Zin dengan Mat Sham...’ Aku memberi cadangan pada Kiak dan Mat Zin.
Berita kami nak ke Seremban ini tidak ramai yang tahu. Kalau rancangan gagal ianya tidak akan menjadi buah mulut. Ini juga budaya hostel hidup beramai-ramai. Warga hostel sentiasa merayakan kejayaan dan juga kegagalan kawan-kawan seasrama.
Pagi Sabtu sampai. Awal pagi selepas sarapan kami bergerak mengarah ke jalan besar ke Seremban. Kami menapak satu kumpulan. Kemudian kami berpecah untuk memudahkan dapat kereta.
Agak jauh juga kami berjalan. Aku kan Kiak di belakang. Kami berpakat sapa dapat kereta dulu akan cuba meminta tuan kereta mengangkut kami semua.
Nasib kami baik sebuah lori berhenti. Aku dan Kiak naik dahulu. Kemudian aku nampak Mat Sham dan Mat Zin.
‘ Bang... itu kawan kita ... ambil sama....’ Aku meminta pada Abang Pemandu lori. Lori ini kami tahu pemiliknya - orang kaya tempatan - nama dia Kedah. Lori ini membawa pisang dan getah dari Jelebu ke Seremban.
Abang Pemandu tanpa banyak cerita berhenti dan mengambil Mat Sham dan Mat Zin. Mereka duduk dalam lori manakala aku dan Kiak duduk di sebelah pemandu.
Kami berhenti di Ampangan – di simpang jalan ke Kuala Pilah. Kami menapak ke Gedung Lalang. Menuju ke kedai sepupu aku Hayati dan Zaiton. Mereka berdua membuka kedai runcit.
Kak Ton dan Kak Yati gembira menyambut kami. Dalam masa yang sama mereka hairan bila aku terangkan tujuan kami ke Seremban.
‘Kita yang duduk di Seremban tak tahu Thomas Cup dah sampai ke Seremban..... orang Jelebu lebih tahu...’ Kak Ton memberi komen.
Lepas makan tengah hari kami beredar dari Gedung Lalang ke Seremban. Naik baik warna merah milik Syarikat Union. Harga tiket 10 sen seorang.
Dari perhentian bas kami menapak mencari Dewan Bandaran Seremban. Aku pernah bersyarah dan jadi Johan Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1963. Ini lima tahun yang lalu. Aku sudah terlupa arah jalannya.
Kami menapak dalam bandar Seremban. Ini bandar terbesar di Negeri Sembilan. Maka untuk kami dari Jelebu melihat Seremban ini satu nikmat mata yang tidak perlu menggunakan duit.
Akhirnya kami bertanya Abang Polis arah ke Dewan Bandaran Seremban.
‘ Masuk ke jalan depan sampai simpang... jalan terus...Nak tengok Thomas Cup ke ...’ Abang Polis memberi arahan. Malah Abang Polis tahu niat kami.
‘ Pagi tadi sambutan... ramai orang.... potang ni dah kurang...’ Abang Polis buka cerita.
Akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Maklumat Abang Polis betul. Sambutan kesampaian Thomas Cup telah berjalan awal pagi. Kami sampai lewat tapi orang masih ada masuk untuk melihat Thomas Cup.
Piala Thomas ini diletakan di atas meja dalam peti kaca. Pelawat boleh melihat piala ini dari semua penjuru.
Aku hampiri Piala Thomas berwarna putih dari logam perak. Mungkin dua kaki tingginya. Aku baca nama pemenang yang dipahat pada badan piala ini. Nama Malaya untuk tahun 1949, 1952, 1955 dan kemudian nama Indonesia untuk tahun 1958, 1961, 1964 dan ruang kosong tahun 1967 untuk Malaysia.
Dari tarikh ini aku faham bahawa perlawanan merebut Thomas Cup ini berjalan 3 tahun sekali.
Aku pusing dua kali untuk puas-puas melihat piala ini. Orang tidak ramai jadi aku mengambil masa. Aku lihat Kiak dan Mat Zin telah lama menunggu di gigi pintu. Mereka pasti telah berpuas hati melihat Thomas Cup.
‘ Sam... lepas ni nak kito nak ke mano ? Mat Sham bertanya.
‘ Mari jalan-jalan ke Lake Garden...’ Aku memberi cadangan.
‘ Kao tau jalan ke ...’ Mat Zin bersuara.
‘ Balik jalan tadi... sampai bas stand... aku rasa Lake Garden dekat bas stand...’ Aku memberi jawapan walau pun aku tidak pasti arah yang tepat.
Jauh juga kami menapak. Melintas pasar besar mengikut jalan dan akhirnya sampai juga kami ke Lake Garden.
Awalnya kami merayau tepi tasik dan melihat beberapa orang Budak Cina memancing menggunakan umpan lipas. Ini menarik kerana aku biasa memancing pakai umpan cacing. Tidak pernah aku menggunakan umpan lipas.
Kemudian kami masuk ke kawasan rumah kaca di mana pelbagai jenis bunga sedang berkembang. Semua ini menarik. Semua menjadi nikmat mata.
‘ Kito nak balik pukul berapo ... Mat Sam bertanya.
‘ Kito ambil last bas... pukul onam... bas Lim dari Soromban last pukul onam...’ Aku memberi penjelasan.
‘ Ni dah pukul berapa...’ Mat Zin bertanya.
‘ Pukul ompek...’ Aku memberi pendapat tanpa memiliki asas kerana tidak seorang pun dari kami yang ada jam tangan.
Kami merayau dalam taman bunga ini. Hampir satu jam kami bercanda-canda.
‘ Jom balik... ‘ Mat Sham memberi arahan.
Kami menapak menuju ke perhentian bas. Kami ikuti jalan yang kami lalui tadi. Kami sampai ke pasar besar. Kami menapak ke hadapan. Kedai makin berubah bentuk. Jelas bukan dalam pusat bandar. Kami menapak ke hadapan dengan harapan akan berjumpa stesen bas. Gagal.
Kami menapak ke hadapan hingga sampai ke hadapan panggung wayang. Sah kami telah sesat. Panggung wayang ini tidak pernah aku lihat ketika aku dalam bas pulang ke Jelebu dari Seremban.
Kemudian aku nampak papan tanda : Penjara Temiang.
‘ Kito dah sesat... pusing balik...ini arah ke Temiang.. ‘ Aku memberi arahan dalam keadaan gelabah.
Aku merasa takut. Aku takut bas terakhir jam 6 telah berlepas. Kami menapak dengan cepat.
‘ Tak jauh dopan sikit .. sobolah kiri... jang ooi... kao dari mano ni...’ Abang Melayu bertanya.
‘ Dari Klawang...’ Kiak menjawab.
‘ Laa....patutlaaa sosek di Soromban ni...’ Abang Melayu beri jawapan sambil ketawa.
Kami menapak deras. Arahan Abang Melayu tepat. Aku menari nafas panjang. Kami selamat. Akhirnya kami sampai juga ke tempat yang dituju.
Aku tahu di bahagian mana dalam stesen bas ini Bas Lim akan berhenti. Aku mengarah ke sana. Betul sebuah bas Lim berwarna hijau sedia menunggu penumpang.
Hati aku merasa lega seperti sudah siap kerja rumah yang telah diberi oleh Cik Gu.
‘ Bas ni balik Klawang ...bila nak jalan....’ Aku bertanya pada Penjual Tiket yang berdiri di tangga bas.
‘ Last bas ke Klawang dan Titi baru lepas... yang ini ke Pantai....’ Penjual Tiket melepaskan jawapan yang menakutkan aku.
‘ Bas...kito dah abis... setengah jalan....bas ni sampai Pantai..’ Aku membuat kenyataan.
Semua memandang dengan muka kecewa. Letih berjalan tadi terasa datang kembali bersama berita ditinggal bas terakhir.
Aku berfikir sebentar dan membuat keputusan, ‘... Kita naik sampai Pantai... kemudian kita sambung jalan kaki...’
Bas bergerak. Harga tiket hanya 25 sen seorang. Tambang penuh dari Seremban ke Kuala Klawang 80 sen.
‘ Kek mano bas ni boronti.. ‘ Mat Sham memandang muka aku..
‘ Aku rasa kampung akhir kek kaki Bukit Tangga....rumah last .... aku rasa kek situ...’ Aku memberi jawapan rambang.
Dalam bas kami tak banyak cakap. Matahari dah lama hilang. Senja sudah sampai. Aku merasa takut nak melintas hutan Bukit Tangga di waktu malam.
Bukit Tangga ini hutan tebal tropika. Jalan di buat di lereng bukit dan bengkang bengkok. Emat batu mendaki naik dan empat batu menurun. Antara naik dan turun ada setengah batu jalan lurus.
Apa yang menakutkan kami ialah di atas bukit ini ada sebuah Tok Pekong - betul-betul letaknya di tepi jalan. Ini Tok Pekong untuk China sembahyang dan Tok Pekong minta nombor ekor.
Satu lagi cerita tentang Bukit Tangga yang menakutkan ialah Selekoh Cik Minah. Ini ‘ kawasan keras’ . Banyak kesah mulut orang yang lalu di waktu siang ternampak seorang Perempuan Melayu di selekoh tepi jalan di tengah hutan Bukit Tangga..
Selekoh Cik Minah ini juga pernah menjadi tempat strategi gerila Parti Komunis Malaya membedil empat orang soldadu Gurkha dan tiga Inggeris. Di mana letaknya Selekoh Cik Minah ini aku pun tidak pasti. Tetapi semua warga Jelebu tahu akan lejen Cik Minah ini.
Bas meluncur. Penumpang tidak ramai. Kami berempat dan satu keluarga dengan tiga anak dan empat lelaki China.
Lelaki China turun di Lam Seng. Ini kilang getah terletak di tepi jalan. Mungkin mereka pekerja di kilang ini.
Bas masuk semakin jauh ke perkampungan Melayu. Aku nampak pelita sudah mula dipasang. Maghrib sudah berlalu.
Keluarga Melayu berhenti sebelum masuk ke pekan Pantai. Ini bukan pekan moden hanya beberapa deretan kedai papan dan sebuah Masjid. Pekan kecil ini tidak ada api leterik. Kami berempat penumpang akhir.
‘ Mana nak pergi...’ Penjual tiket bertanya.
‘ Last stop... Bukit Tangga... ‘ Kiak bersuara.
‘ Hantar kami ke Klawang..... lagi baik... ‘ Mat Zin membuat lawak untuk menceriakan suasana yang aku rasa makin tegang. Makin dekat ke tepi hutan debaran jantung aku makin kuat.
Aku rasa perasan sama juga di rasakan oleh Mat Sham, Kiak dan Mat Zin. Tapi kami tidak menyatakan ketakutan ini secara terbuka.
‘ Ok... sudah sampai.... last sttop....jaga jaga .. jalan baik baik...’ Penjual Tiket memberi nasihat.
Kami turun. Di kaki bukit aku mendongak melihat ke atas Bukit Tangga. Pokok-pokok dan belukar kelihatan semakin gelap. Kami wajib berjalan 12 batu sebelum menghampiri ke rumah pertama di kaki Bukit Tangga – ini Kampung Empang Batu Amar Penghulu.
Sebelum menapak mendaki bukit aku memberi ingatan : ‘ kalau dengar apa apa jangan tegur... senyap aje... kau terbau wangi jangan cakap... jalan terus...tahan kencing.. jangan kencing tepi jalan....tak tahu sapa punya kawasan..’ Ini petua yang aku dapat dari Chu Solat ketika aku masuk hutan mencari kancil.
Mat Sham , Kiak dan Mat Zin hanya mendengar petua yang aku berikan. Aku tahu perasaan mereka sama seperti perasaan takut yang sedang aku rasai.
Tahun 1968 di waktu malam amat jarang kereta pulang dari Seremban ke Kual Klawang. Hampir tidak wujud kereta dari Kuala Klawang ke seremban.
Kemudian aku teringat akan petua mantra dari Arwah Wan Rahmah. Tok Wan aku selalu mengajar aku berbudi bahasa ke wilayah dan tempat-tempat yang dianggap keras.
Tabek oo Tok
Anak cucu tumpang lalu
Bukan anak cucu baru
Anak cucu lama jua.
Selesai aku bermantra itu kami menapak. Kami mendaki Bukit tangga. Kami berjalan berbaris. Aku di hadapan.
Kami tidak bercakap. Aku boleh mendengar nafas aku sendiri. Aku boleh terdengar nafas Mat Sham di belakang aku.
Gelap. Gelap. Tapi jalan aspal ini memberi sedikit cahaya untuk kami berjalan ke hadapan. Bulan tidak kelihatan.
Kami menapak. Aku terdengar deraman air. Ini air terjun yang jatuhnya betul-betul di tepi jalan. Biasanya ketika dalam bas aku akan memberi perhatian kepada air terjun ini. Kali ini ketika melintas aku memandang ke hadapan cuba mengelak memberi pandangan pada air terjun.
Dalam kepala aku terbayang Cik Minah berambut panjang sedang berkembam mandi air terjun. Aku mempercepatkan jalan.
Kemudian dari jauh aku nampak Tok Pekong. Kami wajib melintasi Tok Pekong yang betul-betul letaknya di gigi jalan. Kami tidak ada pilihan melainkan lalu di hadapannya.
Aku tidak berani memandang ke dalam Tok Pekong kecil ini. Aku merasa gerun. Pernah aku dengar cerita Tok Pekong ini ada harimau menjadi penunggu.. Aku tidak tahu apa yang sedang berada dalam Tok Pekong ini..
Kami selamat melintas Tok Pekong. Kami selamat dari dugaan besar yang telah kami lalui. Bunyi hutan dan bunyi malam menjadikan suasana lagi menakutkan. Sesekali dalam gelap aku terdengar bunyi cengkerik, suara katak dan bunyi-bunyi entah apa-apa yang menyeramkan.
Bunyi cengkerik ini berterusan. Kemudian berhenti, kemudian bersuara kembali. Bila kami hampiri kawasan cengkerik ini mereka berhenti bersuara. Cengkerik ini seolah-olah tahu ada manusia dalam ketakutan sedang menapak.
Akhirnya kami sampai ke jalan lurus yang agak terang. Kiri kanan jalan terang berumput - bukan tepi bukit atau tepi gaung. Aku menarik nafas panjang, Kami telah berjaya menyeberang setengah perjalanan. Lagi lima batu kami akan sampai ke kawasan kampung.
Dari lejen yang aku dengar Selekoh Cik Minah ini terletak diantara Tok Pekong dengan jalan lurus. Kini dua-dua wilayah telah selamat kami lalui. Aku merasa bertambah lega.
Tidak ada sebuah pun kereta melintas.
Satelah jalan lurus kami berjalan menurun bukit. Kaki agak ringan sedikit,
‘ Ok.. semua... tak lama lagi Jeram Toi...’ aku bersuara memberi harapan dan semangat untuk membunuh takut. Kami kini telah berjaya selamat dari Tok Pekong China
Akhirnya kami menyeberang jambatan Jeram. Toi. Aku merasa semakin lega. Kerana dua batu dari Jeram Toi ialah jalan lurus menurun bukit dan masuk ke wilayah perkampungan.
‘ Kita dak dekat...’ Mat Sham bersuara.
‘ Kiak.. Mat Zin... kito dah dokat nak sampai.... nak koncing ko... pogi topi jalan tu...koncing mencangkung jangan berdiri...’ Aku makin berani bersuara dan membuat lawak.
‘ Klawang lagi berapa batu ... jauh lagi ni... ‘ Mat Zin membuka mulut.
‘ Tak jauh... bawah ni dulu aku pernah camping....’ Aku membuka kesah lama.
Lori ini berhenti.
‘ Ke mana....’ Kelindan lori bertanya.
‘ Klawang...’ Empat mulut menjawab serentak.
‘ Naik.. naik...’ Kelindan lori seorang Anak Muda China menghulurkan tangan. Kami naik ke atas lori. Lori ini membawa tayar dan getah.
‘ Dari mana ... ‘ Kelindan bertanya.
‘ Dari Soromban .... ‘ Mat Zin menjawab.
‘ Lu orang manyak berani... malam malam gelap gelap lu lalu hutan Bukit Tangga... wa ada nampak harimau wooo....lu tak da takut...’ Kelindan lori bercerita.
‘ Mana ada... kami ok je.. tak jumpa apa-apa....’ Aku menjawab kerana merasa selesa dan berani. Gembira kerana telah selamat dari sesat di bandar Seremban.
Hampir jam 12 kami diberhentikan di tepi padang Pekan Kual Klawang. Lori ini dalam perjalanan ke Titi.
EPILOK 1 – Sampai sekarang kesah empat budak melintas Bukit Tangga masih jadi cerita lejen orang Jelebu. Ini kerana tidak ada orang yang siuman akal akan berjalan kali melintas. Bukit Tangga di waktu malam.
‘ Isham tu jangan ikut... dia gilo... malam-malam buto naik Bukit Tangga’ . Ini pernah diceritakan kepada aku.
Aku dijadikan watak sempadan dan watak tauladan.
EPILOK 2 – Kiak a.k.a Haris Razak kini duduk berkeluarga di Kajang
Mat Zin Daud telah meninggal dunia. Sepulang dari 20 tahun berkelana aku sempat berjumpa Mat Zin di Bangsar. Dia botak ketika kami bertemu.
Mat Sham Yahya tinggal di Jalan Klang lama. Kami selalu berhubung dan berjumpa. Dia menghadapi sakit buah pinggang. Tiga kali seminggu wajib di dialisis.
Mat Sham membantu aku mengingatkan kembali kesah Thomas Cup ini.
EPILOK 3 – Air terjun tepi jalan masih wujud. Tok Pekong masih wujud di tepi jalan. Hanya beralih tempat.
Jeram Toi – kini ada jalan khas. Jeram Toi makin menjadi tempat popular berkelah di Jelebu.
EPILOK 4 - Setiap kali aku pulang ke Jelebu aku akan melalui Bukit Tangga. Maka aku akan teringat kesah Thomas Cup dan sesat di Seremban.
EPILOK 5 – Aku masih ingin mengenal pasti di mana Selekoh Cik Minah. Arwah Abah aku pernah menunjukan selekoh ini. Tapi aku terlupa – semua selekoh dilihat sama.
EPILOK 6 – Tahun 1989 ketika dalam perjalanan ke Gloucester kereta api yang aku naik berhenti di satu stesen. Aku pandang keluar aku nampak tertulis : Badminton.
Cilaka! Rupa-rupanya dari kampung ini asal usulnya permainan badminton.
EPILOK 7 - Jalan lurus dan kampung pertama di kaki Bukit Tangga telah aku abadikan dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee ( 2001 ). (TT)
TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/07/06/budak-jelebu-sesat-di-seremban
2 ulasan:
Aku budak Mantin, kampung baru. Tingkatan satu hingga lima, sekolah asrama juga, atas bukit kat Air Keroh Melaka. Kalau pengalaman naik bas, memang ada. Kalau balik dari asrama, bas Labu Sendayan jadi pilihan satu saja. Masa tu zaman lapan puluhan...naik bas yang menyeronok ialah dari bandar Melaka ke Seremban, ikut jalan persekutuan, Alor Gajah, Tampin, Kota, Rembau, Seremban...lepas sambung bas Foh Hup...sah sampai rumah matahari dah nak turun.
Kalau Hisyam tulis memoir pasal Negeri, memang akan diikuti, walau berapa banyak epiloknya...sebab, sedikit sebanyak merangkumi zaman Tanah Airku diambang ditelan oleh tsunami pembangunan...masih ada hutan semak belukar yang menjadi misteri sesuatu tempat. Bila ditembang bangun, sama ada buat rumah atau kedai, maka tinggal jadi kenangan kemisterian tempat tersebut.
Sukan sudah jadi macam politik, mengikut kuota sampai hancur, bukan lagi ikut semangat sukan, semua pakai duit, macam mana nak maju, glamournya sekejap sampai individu yang kuat bidang sukan dipinggirkan pakai kuota, kaum agama sampai kena import Afrika orang putih ajar naik balik sukan, tak kira lah sukan apa, zaman wang kuasai semua sistem kapital keuntungan diutamakan hancur hancur kah kah
Catat Ulasan