Keputusan rayuan batal tuduhan rasuah, pengubahan wang haram Azeez ditangguh
MAHKAMAH Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya ke 26 Ogos.
Tarikh itu ditetapkan selepas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memohon mahkamah menangguhkan keputusannya yang dijadualkan hari ini berikutan jawapan yang diterima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Jun lepas berkaitan surat representasi Ahli Parlimen Baling kepada Peguam Negara (AGC).
Beliau berkata menurut SPRM, terdapat petunjuk baharu yang mereka sedang kaji dan SPRM bersedia untuk memberi taklimat kepada AGC mengenai perkembangan baharu itu.
Amer Hamzah berkata beliau telah mengemukakan surat kepada mahkamah memohon supaya memberi masa kepada SPRM dan AGC untuk memutuskan representasi anak guamnya.
“Kami yakin keputusan representasi akan menyelesaikannya. Jika AGC bersetuju dengan representasi kami berdasarkan isu yang kami bangkitkan, tidak ada keperluan untuk mahkamah ini menyampaikan keputusan,“katanya.
Terdahulu, Amer Hamzah berkata beliau memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan tarikh keputusan awal pada 21 Mac tahun ini sementara menunggu jawapan AGC terhadap representasi mereka, sambil menambah bahawa mahkamah kemudian menetapkan semula tarikh keputusan itu pada sehingga hari ini.
Beliau berkata ini adalah penangguhan ketiga.
Oleh kerana tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, Hakim Kamaludin Md Said, yang mengetuai panel tiga hakim, kemudian membenarkan penangguhan itu dan berkata ia adalah penangguhan terakhir.
“Kami ada banyak kes lain, mahkamah telah memberi penangguhan beberapa kali dan ia tidak baik di mata orang ramai,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Abdul Azeez, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.
Dia juga menghadapi 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada Menuju Asas Sdn Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – Bernama, 1 Julai, 2022.
1 ulasan:
Ini tanda pilihanraya bulan ogos khalas!
Catat Ulasan