Serbu makmal, dadah bernilai RM8.07 juta dirampas
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia hari ini berjaya membongkar makmal memproses, membungkus dan setor penyimpanan dadah pelbagai jenis dadah bernilai RM8.07 juta.
Makmal itu dibongkar susulan serbuan tergempar di lima lokasi berlainan sekitar Lembah Klang pada 8 Julai lalu, kata Setiausaha Polis Malaysia PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.
Katanya, dalam serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor itu hasilnya pihak polis telah berjaya menahan seramai 11 orang disyaki ahli sindiket dadah makmal haram itu.
“Kesemua suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berumur dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun dan dipercayai terlibat aktif dengan aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah itu untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang.
“Dalam operasi tersebut pihak polis telah berjaya merampas sejumlah 141.4 kilogram pelbagai jenis dadah iaitu 106.3 kilogram ketamin, 18.6 kilogram pil eramin 5 dan 16.5 kilogram pil ekstasi yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM8.07 juta,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu yang dikeluarkan di Bukit Aman hari ini.
Tambah beliau, jumlah rampasan dadah itu dipercayai boleh digunakan oleh seramai 502,257 orang penagih dadah.
Menurut Noorsiah, modus operandi yang digunakan sindiket terbabit adalah menjadikan premis kediaman sebagai tempat memproses dan stor penyimpanan bekalan dadah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan