Jumaat, 26 Ogos 2022

AKU MELAYU DAN MEI 13



AKU MELAYU DAN MEI 13


Pada minggu pertama pasca   Mei 13  1969  pelbagai macam khabar angin yang aku dengar dari kawan sekelas. Entah dari mana sumber aku pun tidak tahu. Walhal kami tidak ada radio, tidak ada tv dan tidak ada akhbar.

Bab China – Melayu  dan Melayu China ini menjadi perbualan hangat.

Saban petang aku menjenguk ke Pavilion untuk membaca akhbar. Surat khabar tak sampai. 

Aku ingat lagi tajuk Utusan Malaysia : Suasana Aman Tapi Tegang. Ini aku baca hampir empat hari sesudah Mei 13.  Akhbar sampai kembali ke Pavilion. Aku mula mendapat maklumat.

Utusan memberi ingatan agar jangan mendengar khabar angin. Malah satu contoh khabar angin ialah berita Ketua Pengarang Utusan Melan Abdullah telah mati dibunuh oleh China.  Walhal mengikut Utusan Melan Abdullah sihat wa afiat.

MCKK untuk  Melayu – ertinya : 500 pelajar MCKK semuanya menganggap diri mereka Melayu.  Bila Mei 13 sampai aku merasakan semuanya berubah.

Aku  yang bukan pelajar  ori dari MCKK. Aku  datang dari sekolah yang bercampur – ada  China Melayu India. Ada jantan ada betina.  Pasca Mei 13  baru aku terasa kami semua  pelajar lelaki Melayu dalam satu bumbung.

Warga yang  bukan Melayu hanyalah guru-guru kami. 

Aku mula sedar aku berpindah  dari wilayah majmuk ke wilayah mono. Tapi fikrah aku masih majmuk. Aku di besar dan disekolahkan dalam masyarakat majmuk.  Aku dibesarkan dalam budaya Melayu plural. Mustahil  aku akan melupakan kawan-kawan China atau India aku dari SMUJ. 

Malah sebelum ke MCKK ketika aku menunggu keputusan  peperiksaan SC/MCE  aku telah mengembara dengan Lee Keong – budak China yang berhitch hiking dengan aku.

Dua sosok akhir yang menghantar aku di stesen Bas Lim di Kuala Klawang ketika aku  hendak mengambil teksi ke  MCKK ialah Verapan dan Lee Keong – budak India dan budak China.

Aku merasa diri aku Melayu. Tapi bukan Melayu seperti  kenalan baru aku dari Kelantan atau Terengganu. Mereka juga sama seperti aku – baru menjadi Budak Koleq tetapi aku merasakan Melayu mereka agak berlainan.

Dari pengamatan aku merasakan Melayu kawan-kawan dari Pantai Timur ini  tidak terbuka.  Pasca Mei13 ini memaparkan semuanya dengan lebih jelas.

Nasib baik kawan rapat aku Ghani Osman  memiliki sikap Melayu terbuka. Kawan-kawan aku   yang lain – Fauzi , Razak dan Jalil  dari  Selangor aku lihat lebih terbuka. Mereka tidak mengambil sikap anti-China yang semberono. 

Banjaran Titiwangsa menjadi garis pemisah antara Melayu plural dengan Melayu mono.

Tanpa mengetahui penuh apa telah terjadi di Kuala Lumpur kami  Budak Koleq tidak dapat telah dipaksa oleh suasana dan keadaan untuk mengambil sikap.  

Aku mengambil sikap : Kerana mereka Melayu maka tidak semesti mereka betul dan baik.  Sikap aku ini adalah pengumpulan pengalaman hidup aku. Pengalaman aku mengajar aku bahawa wujud  Melayu jahat ada Melayu baik. Ada China jahat ada China baik.

Lalu aku teringat kembali pengalaman  hitch hiking bersama  Lee Keong. Aku menumpang  Kakak India dengan kereta Fiat nya yang membawa aku  ke Kampar. Lalu aku teringat Abang China yang membawa  aku naik jeep nya di kawasan lombong di Perak. 

Lalu aku teringat aku bermalam, makan minum di rumah Mister Tay di Taiping. Ini rumah keluarga China.

Pak Tunggal aku – adik angkat Rais Manaf adalah budak China. Pak Tunggal aku ditangkap oleh Jepun. Pak Tunggal  akhirnya diberitakan mati ketika membuat landasan kereta api di  Utara Siam.

Malah  di rumah Mak Long – kakak  kepada Rais Manaf -  setahun  sekali Nana – keling hitam dari India – akan sampai. Nana peniaga kain baju dari Madras akan  tidur dan makan minum satu dua minggu di rumah Mak Long. Nana akan tidur di serambi.

Keling Nana dengan bungkusan kain baju di junjung di atas kepala . Si Nana akan menapak berjaja kain baju di wilayah Jelebu. Justeru Nana  selesa menumpang di rumah Mak Long aku bukan di rumah tumpangan di Kuala Klawang.

Maka aku serasi dan sesuai berkenalan dengan orang  bukan Melayu. Budaya ini bukan satu  yang baru untuk aku. Pak Ngah Aminuddin seorang YB ada anak angkat satu keluarga China.

Keluarga China ini untuk sementara waktu sebelum membuat rumah sendiri telah duduk di rumah Pak Ngah aku di Kampung Petasih Dalam.

Sebenarnya aku telah  merasa stabil menjadi Budak Koleq duduk di  Dorm Twenty.  Aku telah melupakan niat untuk pulang ke sekolah KGV di Seremban.

Pasca Mei13  - dengan kestabilan yang aku rasai menjadikan  aku mula berani  bersuara. Aku kembali menjadi diri aku walau pun dalam kelompok yang baru aku temui. 

Suara aku : suara yang tidak mengambil sikap Melayu mono. Aku Melayu plural.  Yakin diri aku semakin kukuh. Jika aku  berani menolak pengaruh budaya Arab  maka aku juga wajib berani menjadi Melayu plural  yang terbuka.

Awalnya aku hanya  menyuarakan pandangan Melayu aku ini dengan Ghani atau Fauzi atau  Jalil. Mereka ini mendengar dan memahami apa yang aku cuba paparkan.

‘ Ghani... bukan semua China jahat.... Melayu pun ramai jahat...’ Aku berhujah dengan Ghani.

Tertiba aku  tidak tahu bagaimana aku dianggap anti-Melayu. Aku dianggap memiliki pandangan yang tidak dikongsi majoriti.

Aku ingat lagi petang itu. Aku dipanggil datang masuk ke Dorm Eighteen.  Disini beberapa orang Budak Koleq ori sedang  menunggu. Ada ramai yang berkumpul. Tapi dua  watak  protagonis yang tidak akan aku lupakan ialah Halili dan  Muhamad Mat Nor

‘ Kau ni Melayu ke tidak....’ Halili membuka surah.

‘ Melayu...’ Aku menjawab.

‘ Kau bukan China ke ...’ Halili  mengempak.

Soalan yang mustahil aku jawab.


‘ Kau tahu apa dah jadi sekarang... Melayu di Selangor dah hilang kuasa.... kau masih  suka China...’ Muhamad Mat Nor bersuara.

Aku tidak tahu apa yang berlaku di Selangor. Dari Utusan aku membaca bahawa di Selangor  ada kawasan berkurung. Ini langkah darurat pasca Mei 13.

Aku tidak arif apa maksud Melayu hilang kuasa di Selangor. Aku tahu Menteri Besar Selangor ialah Datuk Harun – dia Melayu.

‘ China nak ambik Selangor... kita orang Selangor... ‘ Halili menerangkan asal  usul dirinya.

“ Kau tak sedar ke kita  ini Melayu... nanti China berkuasa... mati Melayu... kamu ini Melayu ke China....’ Muhamad Mat Nor menekan aku lagi.

Aku merasa diri aku diperkecilkan. Nilai aku  cuba dirombak – cuba di bajak. Yakin diri aku cuba di musnah. Aku kini di orientasi sekali lagi. Kemelayuan aku dipersoalkan.

Tiga empat orang lagi datang berkumpul di sekeliling aku. Aku berdiri tercegat dikalangan Budak Koleq yang ori bukan seperti aku pendatang baru.

‘ Kau tahu apa peranan kau nanti... kau jadi DO nanti... kau jadi pegawai nanti... kau ada kuasa... apa kau nak buat... kau ini dari MCKK... kita ini spesial... creme de la creme...’ Mohamad Mat Nor bersuara.
Sekali lagi aku mendengar ayat creme de creme. Dulu dari Hamzah Zain senior  aku. Kali ini dari Mohamad  Mat Nor  rakan sekelas dari aliran Sains.

Tertiba muncul Mat Nor. Kami panggil dari Mat Nor Star. Dia masuk dari STAR  (Sekolah Tengku Abdul Rahman) di Ipoh. Sama seperti aku pendatang baru.

‘ Selangor almost fall into Chinese ... hanya  satu kerusi...  habis Melayu...’ Mat Nor Star mencelah.

Aku merasa tertekan.  Suara Mat Nor Star yang kuat menjemput lebih ramai mengelilingi aku yang tegak berdiri keseorangan. 

‘Nanti kau jadi pegawai  DO nak beri sapa kerja ...Melayu ke China....’ Halili bertanya.

‘ Beri yang ada kelulusan....’ Aku menjawab.

‘ Kenapa tak beri Melayu...’ Halili meneruskan hujah.

‘ Sapa yang boleh ... dia dapat...’ Aku jawab.

‘ Ok ... ada budak Melayu ada budak China... kelulusan sama... sapa kau beri biasiswa itu...’  Muhamad Mat Nor memberi aku parable untuk diselesaikan.

 Tengok .... latar belakang keluarga...’ Aku jawab.

‘ Woit... kelulusan sama... umur sama... pendapatan keluarga pun sama .... satu. China ..satu Melayu.... mana yang kau pilih...’ Muhamad Mat Nor menaikan suara yang semakin marah.

Aku sedar -  aku tahu apa maksud mereka memberi aku teka-teki ini untuk dirungkai. Mereka mahu aku menjawab :  Aku  pilih Melayu.

Petang itu jika aku berikan jawapan  yang mereka mahu dengar aku akan hilang harga diri. Jika aku berikan jawapan – aku pilih Melayu – bermakna  aku bukan lagi diri aku. Aku bukan lagi memiliki kebebasan untuk aku berfikir. Aku jadi pengikut. Kalau aku jadi pengikut maka aku akan terus terpenjara.

Disini individualisme aku kuat. Jati diri dan yakin diri aku kuat. Aku tidak memberikan kepada Halili,  kepada Muhamad Mat Nor atau kepada Mat Nor Star apa yang mereka mahu dengar.

Aku hanya menunggu apakah aku akan di terajang. Apalah aku akan di pukul. Apakah aku akan disakiti. Aku tegak berdiri mata aku memandang muka mereka.

Sosok-sosok yang mengelilingi aku hilang akal. Aku  enggan bermain teater yang mereka pentaskan.

‘ Blah laaa dari sini.... cakap Budak Koleq ... tapi jadi Melayu tak sedar diri ...’ Muhamad  Mat Nor memberi arahan.

Aku mengundur turun  pulang ke Dorm Twenty.

Apa yang berlaku di Dorm Eighteen  tidak aku ceritakan kepada sesiapa pun. Tidak pada Jalil. Tidak pada Ghani. Aku telan pengalaman itu untuk memperkukuh yakin diri aku. 

Bulan April masuk. Tertiba aku terdengar  bahawa ada beberapa orang  pelajar  Tingkatan  Enam telah mula belajar bersilat. Aku dengar desas desus mereka dapat belajar bersilat dari Tok Guru Silat Orang Kuala.

Berita ini terbocor dari Wan Magata yang bercerita dalam Dorm Twenty. Tak berapa lama kemudian aku dengar kesah satu gelanggang telah di buat untuk latihan silat di belakang Dorm Twenty. 

Maka dari sini muncul kisah kuasa ilmu Tok Guru boleh mandi minyak panas.  Tok Guru ditikam tidak mati. Tok Guru silat yang kebal.   
Dongeng seperti ini telah biasa aku dengar.  Cerita ilmu ghaib, pawang bomoh dan silat bukan satu yang baru dengan aku.  Termasuk juga  cerita selendang merah dan parang terbang.

 Cuma di MCKK ada tambahan dengan kewujudan Kiyai. Watak  Kiyai dalam ilmu silat ini   tidak pernah aku dengar di Jelebu.

Kawan-kawan aku yang belajar silat dalam gelap ini mengikut apa yang aku terdengar dari labun mereka – adalah persediaan untuk berlawan dengan China.

Mei 13 melahirkan kesedaran Budak Koleq  yang kini bersedia bersilat dengan parang terbang. 

Sebenarnya aku kurang yakin dengan cerita-cerita ini. Malah  dari zaman sekolah lagi aku ingin melihat bukti parang terbang atau Tok Guru yang kebal dari tetakan parang. Semua ini aku dengar – seperti aku mendengar kewujudan hantu – tapi aku tidak pernah melihat hantu.

Tertiba sampai berita baru. Berita tentang  Surat Doktor Mahathir.  Aku tidak  tahu pun siapa Dr Mahathir ini. Kawan-kawan dalam Dorm Twenty semua berborak tentang surat  Dr Mahathir.

Dari  Tok Guru mandi minyak panas kini beralih ke surat. Aku menunggu bila agaknya aku dapat membaca surat Dr Mahathir ini. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2022/08/25/aku-melayu-dan-13-mei


Tiada ulasan: