Keputusan kes Rosmah tular, ketua pendaftar mahkamah buat laporan polis
PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita yang menyiarkan dokumen didakwa keputusan perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor.
Pejabat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan dibuat berikutan laporan yang disiarkan Portal Malaysia Today bertajuk “Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022” dan “Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here” yang dikeluarkan semalam.
“Perbuatan itu merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan. Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat berkenaan laporan portal tersebut,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menegaskan badan kehakiman tidak akan diganggu-gugat oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.
Mahkamah Tinggi menetapkan 1 September ini untuk keputusan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. – Bernama, 27 Ogos, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan