PRU15 jika Perikatan keluar kerajaan, kata Ismail Sabri
PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU) akan diadakan jika Perikatan Nasional (PN) keluar daripada gabungan kerajaan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Jika sokongan (PN) ditarik balik, maka pilihan raya perlu diadakan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 (Maha 2022), di Serdang, hari ini.
Ismail Sabri turut mengakui tentang desas-desus usul PN untuk menarik sokongan terhadap kerajaan.
“Saya sedar perkara ini. Kita hidup dalam negara demokrasi jadi sesiapa sahaja bebas untuk cakap apa-apa.
“Apa yang penting kita perlu bersedia tanpa mengira keadaan,” katanya.
PN dilaporkan kecewa apabila Ismail Sabri yang dijadualkan bertemu delegasi PN dibatalkan di saat-saat akhir.
Pertemuan itu dilaporkan bagi membincangkan ketidakpuasan hati PN terhadap perdana menteri dalam melaksanakan perjanjian kerjasama politik, termasuk berhubung pelantikan timbalan perdana menteri daripada Bersatu. – 6 Ogos, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan