Mesyuarat Umno tentu tarikh pilihan raya
MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini akan menentukan tarikh membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlangsung November, kata sumber.
Parlimen akan mula bersidang Isnin sehingga 29 November manakala Belanjawan 2023 dibentangkan Jumaat minggu depan pada 7 Oktober.
Bagaimanapun, ramai menjangka Parlimen akan dibubarkan seawal 12 Oktober.
“Parlimen akan dibubarkan menjelang minggu kedua Oktober dan pilihan raya sebulan selepas itu,” kata seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) yang enggan namanya disebut kepada The Malaysian Insight.
Pentadbiran BN bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad juga melakukan tindakan sama pada 1999 dengan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya sebaik membentangkan belanjawan.
Difahamkan, pilihan raya umum kali ini akan diadakan dalam masa empat minggu dari tarikh pembubaran Parlimen.
Ia juga bergantung sama ada pentadbiran negeri dengan mandat yang bakal berakhir akan turut membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor sudahpun mengadakan pilihan raya negeri masing-masing dalam tempoh dua tahun lalu.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang kembali dari Emiriah Arab Bersatu semalam membayangkan sejak 17 September lalu bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
Menurutnya ia akan diumumkan selepas perbincangan dengan barisan pemimpin tertinggi Umno.
Ismail Sabri yang merupakan naib presiden Umno memecah tradisi parti dan rekod negara apabila dilantik ke jawatan perdana menteri mendahului pemimpin yang lebih kanan dalam lapisan parti.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada Ogos menyebut Ismail Sabri menyatakan pilihan raya umum akan diadakan pada tahun ini.
Pada 2018, Najib Razak kekal di jawatan perdana menteri hampir ke akhir penggal dan hanya mengumumkan pembubaran Parlimen pada 6 April, beberapa minggu sebelum mandatnya tamat.
PRU14 pada 2018 diadakan lebih sebulan kemudian pada 9 Mei, dan buat pertama kalinya pada Rabu, hari bekerja.
Ia menimbulkan kemarahan banyak pihak sehingga mendorong kutipan tabung untuk memastikan ramai pemilih dapat keluar mengundi yang membawa kepada kekalahan bersejarah BN.
Pakatan Harapan (PH) meraih 121 dari 222 kerusi Parlimen dan selebihnya dimenangi pembangkang manakala Dr Mahathir Mohamad dilantik perdana menteri buat kali kedua.
Ismail Sabri pula pada waktu ini mengetuai gabungan 115 ahli Parlimen tidak termasuk Najib, wakil Pekan yang sudahpun disabit kesalahan dan dipenjara 12 tahun.
Dua lagi kerusi kosong ekoran kematian penyandangnya.
“Ia bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya tetapi saya fikir pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada hari minggu, bukan hari bekerja seperti sebelumnya jika tidak orang akan marah lagi,” kata sumber Umno kepada The Malaysian Insight.
Belanjawan dan monsun
Sumber juga berkata, BN akan tetap mengadakan pilihan raya walaupun dikritik kerana diadakan selepas pembentangan bajet dan sewaktu musim tengkujuh yang lazimnya menyebabkan banjir.
“Begini, kerajaan waktu ini boleh dikata gabungan yang tidak berfungsi dan akan menentang satu sama lain apabila pilihan raya diumumkan. Baik hentikan lakonan ini sekarang dan tubuh kerajaan dengan mandat jelas,” tambahnya.
BN kembali menerajui kerajaan pada Ogos 2021 selepas dua kali pertukaran kerajaan, bermula dengan penggulingan pentadbiran PH pada Februari 2020 selepas Bersatu menarik sokongan.
Bersatu seterusnya memimpin pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk dengan BN dan PAS dan juga sokongan parti negeri Sarawak.
Gabungan tersebut tumbang apabila presiden Bersatu yang juga perdana menteri waktu itu Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti di Parlimen.
Kedua-dua PH dan PN mendesak Ismail Sabri agar menangguhkan pilihan raya sehingga musim tengkujuh berakhir Disember namun sumber BN menyebut ia menyebabkan tarikh itu diawalkan.
“Seteru politik kami menuduh kami tidak berguna jadi bukankah lebih baik adakan pilihan raya dan dapat kerajaan yang cekap untuk urus dan bendung kesan banjir jika ia berlaku,” kata satu sumber.
Jabatan Meteorologi semalam menyatakan musim antara monsun dijangka bermula Isnin sehingga akhir November dengan angin dan ribut petir pada sebelah petang yang boleh menyebabkan banjir. – 30 September, 2022.
2 ulasan:
Penyamun kalau fikir dia fikir ikut cara samun orang saja, kah kah dia tak peduli apa jadi orang kena samun itu, tak ada hati perut lah kah kah nak fikir cara menang walau menipu membohong membawanya asal president selamat sekelian penyamun selamat, kah kah kah Ismail Bera masuk longkang kah selepas menang atau menyeru kanan kiri sokongan kah kah
Piliharaya adalah satu projek pilihan kaya bermata dua. Pilihan pertama nak dapat kuasa. Pilihan kedua nak dapat perolehan luar biasa masa pliharaya. Oleh krn wak jahid bermati-matian mahu pru diadakan hujung tahun musim banjir maka banyaklah projek akan dihamburkan menahan dan mengatasi banjir. Projek longkang projek benteng jalanraya projek seduk air projek pengairan bersepadu projek jambatan gantung projek bot dan feri pengangkutan pengundi projek bantuan makanan mangsa banjir projek payung dan baju hujan hinggalah projek konsaltansi bomoh dan pawang tolak hujan. Ni sumer telan berbilion-lion ringgit yg sangat2 ditunggu oleh kroni2 ketuanan. Kalu kalah pru pun kroni tetap kenyang kalu menang muntah duit lah.
Catat Ulasan