Rabu, 12 Oktober 2022

AYATOLLAH DAN KAIN TUDUNG


AYATOLLAH 

 DAN

 KAIN TUDUNG 


Ketika tulisan ini garap  Pak Lebai, Pak Haji,  Mullah dan Ayatollah di Iran sedang berhadapan dengan demonstrasi yang maha hebat.

Rakyat Iran sedang bertempur di jalan raya dengan polis dan soldadu.

Orang ramai telah turun ke jalan raya menentang rejim Republik Islam Iran semenjak 19 September yang lalu. Dilaporkan penunjuk perasaan telah keluar ke jalan raya di 80  buah  pekan dan bandar    di Iran.

Malah di dua  kota suci mazhab Shiah - Mashhad dan Qom - warga telah juga keluar berdemo. Mereka dengan  berani bangun menentang kerajaan Islam Iran.

Angka yang tewas terkorban di tembak  oleh soldadu telah melintasi  100 nyawa. Angka penunjuk perasaan  gugur dibunuh terus meningkat dari hari ke hari.

Ombak demonstran ini sama ampuhnya seperti tahun 1979 bilamana rakyat Iran bangun melawan kerajaan Ahmad Shah Reza Pahlevi – Raja dari Segala Raja-Raja. 

Hakikatnya para Mullah dan para Ayatollah di   Iran sedang berhadapan dengan krisis besar yang belum pernah berlaku semenjak  kerajaan Republik ini  didirikan pada tahun 1979. 

Semua bermula dengan  lawatan ke Tehran oleh seorang anak gadis   bernama Mahsa Amini. Gadis  ini  datang dengan  adik lelakinya ke Tehran untuk melihat kota besar. Mahsa berumur 22 pelajar jurusan biologi ini berasal  dari  Saqqez dalam provinsi Kurdistan. Justeru berbangsa Kurdish.

Di pinggir jalan dalam kota  Tehran Mahsa telah di tahan oleh Gasht-e-Ershad  atau Pengawal  Moral atau Polis  Moral pada 16 September.  Mahsa dikata telah tidak  betul cara memakai kain tudung di kepala. Dikatakan rambut Mahsa nampak terkeluar. Pakaian kurang sopan.
Polis Moral  ini telah menangkap Mahsa untuk dibawa ke balai.  Di balai polis ini Mahsa akan di dakwa atau diberi  kuliah tentang cara betul memakai kain tudung.

 Tiga hari kemudian Mahsa  meninggal  dunia.  Mahsa meninggal dunia dalam hospital.

Dari sini timbul  kontroversi. Keluarga Mahsa telah menuduh Polis Moral memukul dan mengganasi anak gadis ini.  

Tuduhan ini berasakan  dari maklumat yang di terima dari beberapa orang wanita yang sama di tangkap pada hari yang sama. Mereka menjadi saksi melihat apa yang telah berlaku.

Mengikut saksi yang sama ditangkap ketika  dalam kereta ,  Polis Moral  telah membelasah  Mahsa.

Pihak  Ayatollah seperti biasa telah  menafikan Mahsa di ganasi. Mengikut laporan doktor Mahsa mati kerana serangan jantung. Keluarga Mahsa menafikan kerana Mahsa tidak pernah ada memiliki sejarah sakit jantung. 

Di zaman media sosial – semua benda berinternet – maka  gambar Mahsa yang sedang   nazak dengan talian paip bantuan oxygen di atas katil hospital tersebar luas.  

Simpati dan kemarahan meledak.

Mayat Mahsa dibawa  pulang ke kampung. Satelah pengkebumian selesai maka  bermulalah tunjuk perasaan. 

Orang ramai yang datang ke majlis pengkebumian Mahsa  beralih  dari sugul menjadi marah.  Kemarahan  ini bertukar menjadi tunjuk perasaan. Dari upacara agama ianya beralih menjadi bantahan politik.

Demonstrasi dari pekan kecil ini merebak ke seluruh Iran.

Upacara  pengkebumian  bertukar menjadi demo ini telah menjadi budaya politik di Iran. Pada tahun 1979 inilah taktik  yang digunakan untuk menjatuhkan Shah. 

Mayat pendemo yang telah ditembak mati  oleh soldadu Shah akan di julang beramai -ramai – di arak ke kubur.  Jika mayat ini berdarah maka ramai ingin  membasahi tangan masing-masing dengan darah si mati. 
Mati ditembak oleh soldadu Shah dianggap mati syahid. Ini menaikkan semangat berjihad untuk mati syahid.

Inilah  cara rakyat berkumpul beramai-ramai di zaman Shah.  Awalnya bersedih,  berdoa dan bertahlil dan kemudian semua berubah. Dari tanah perkuburan orang ramai akan  masuk ke dalam pekan untuk menunjuk perasaan.

Majlis pengkebumian menjadi  tunjuk perasaan. Demo ini akan  menambah lagi kematian. Kematian akan  menyemarakkan lagi tunjuk perasaan. Lingkaran ini tidak berhenti.

Babak tahun 1979 telah diulangi ketika pengkebumian Mahsa. 

Kenapa mayat seorang gadis Kurdish boleh memulakan satu gerakan massa yang ampuh  bangun menentang rejim Islam ?

Seyogia diberi tahu 16 September ini bukan kali pertama para Ayatollah mendapat tentangan.

Rejim Republik Islam Iran ini tidak pernah aman semenjak ianya didirikan. Krisis demi krisis dihadapi oleh  kerajaan peninggalan Ayatollah Khomeini.

Pendemo ditembak mati oleh soldadu bukan juga satu perkara yang  baru dan memeranjatkan di Iran.

Apakah kali ini  demo ‘kain tudung’  ini berlainan dari demo   Gerakan Hijau 2009. Gerakan Hijau  membawa rakyat turun ke jalan raya untuk menentang kepimpinan Ahmadinejad.  Ramai juga  mati ditembak. Akhirnya Gerakan Hijau ini  hilang stim dan padam begitu sahaja.

Begitu juga dengan Gerakan Demokrasi pada tahun 2017-2018 yang membawa ribuan rakyat dengan keresahan ekonomi  ke jalan raya. Tetapi semua berakhir dengan tangan kosong.

Kali  ini dilihat demonstrasi ini lebih meluas dan lebih ampuh. Apa yang membezakan demo kali ini ialah partisipasi kaum wanita. Jelas dan menonjol  agenda menolak paksaan memakai  kain tudung ini menjadi penggerak utama ke jalan raya.

Kain tudung ini bukan satu perkara yang baru .  Dalam minggu  ketiga  sesudah Republik Iran di tubuhkan pada 1 April 1979 undang-undang mewajibkan perempuan memakai tudung telah di lembagakan.

Penentangan bermula dari  semenjak dicadangkan  lagi  tetapi  tidak membuka ombak ke jalan raya.

Dunia melihat pelik tetapi benar malah tidak masuk  akal bagaimana rambut perempuan boleh  mengancam atau boleh menaikkan  nafsu  syahwat Pak Lebai, Pak Haji, Mullah dan Ayatollah.

Tetapi kain tudungkah yang telah dipaksakan kepada perempuan, wanita, nenek, kakak dan kepada budak perempuan  sekolah di Iran.

Tidak ada pilihan. Semua  Siti Hawa tua dan muda wajib memakai kain tudung.

Untuk memastikan kain tudung dipakai maka diwujudkan  Polis Moral. Polis ini akan meronda pekan dan bandar untuk memastikan kain tudung dipakai seperti peruntukan yang tercatit dalam kanun jenayah  hukum hakam Iran.

Polis Moral ini amat-amat dikenali oleh warga Iran. Kesah dan  cerita Polis Moral ini mengganasi perempuan dalam pekan dan bandar telah tersebar luas. Malah hampir semua perempuan di Iran jika badan sendiri tidak pernah diganasi oleh Polis Moral pasti kenal jiran tetangga atau  Minah ini dan Siti itu yang telah di tahan oleh Polis Moral.

Dengan wujudnya telefon bimbit yang ada kamera rakaman  menjadikan kesah Polis Moral beraksi menangkap, memasukan perempuan atau lebih tepat lagi menghumban masuk perempuan ke dalam van polis tersebar luas.

Kebencian nenek, emak, perempuan, gadis dan kanak-kanak sekolah terhadap Polis Moral ini telah lama terpendam berbuku.

Justeru Mahsa Amini itu diabadikan sebagai diri sendiri, anak sendiri, adik sendiri atau kakak sendiri. Justeru kemarahan menggelodak membara dan  mengarah  ke jalan raya. 

Hakikatnya kali ini dunia melihat wanita, perempuan dan anak gadis menjadi kemudi pergerakan. Mereka membakar kain tudung. Mereka melepaskan rambut. Gadis remaja  memotong rambut mereka di khalayak ramai.

Rambut wanita dan anak gadis yang  dikatakan sebagai agen penaik  nafsu berahi  Lebai dan Mullah kini dipotong telah menjadi berita dunia.  Kakak dan Dara Minah dan Siti kini telah berani berjalan ke pekan tanpa kain tudung.

Mullah dan Ayatolah kini berhadapan dengan politik  rambut wanita yang dianggap mengancam  agama Islam.

Maka  Mullah bertindak ganas.

Dari pengalaman yang lalu jika 20 atau 30 pendemo di bunuh mati yang lain akan takut.   Jika 100 atau 200 aktivis, wartawan dan ahli politik  ditangkap maka suasana akan reda.

Kali ini semua gagal.  Hampir 2000++ warga Iran  telah ditahan. Malah warga negara asing  juga ditahan sama.  Yang gugur  makin bertambah. Tapi setiap  malam ada sahaja demo berjalan.

Internet yang menjadi penyambung dan penyusun demo kini di bedal.  Sama seperti apa yang telah berlaku di Mesir ketika Arab Spring – Internet memainkan peranan penting. Maka laluan Internet wajib dipotong. Hubungan antara penunjuk perasan antara  kota dengan pekan dipersusahkan.

Pemotongan Internet tidak juga  menggagalkan demonstrasi.

Wajib di rakam bahawa kini  yang turun ke jalan raya bukan hanya Minah dan Siti.  Bukan hanya Mak Cik dan Kakak.  Abdel dan Ahmed – Abang dan Datuk juga  telah turut sama berdemo. 

Untuk yang turun ke jalan raya Mahsa Amini mungkin anak mereka – mungkin kakak mereka  dan mungkin isteri mereka. Dan mungkin diri mereka sendiri akan di belasah oleh Polis Moral.

Mahsa Amini kini  menjadi tanda dan makna penentangan   terhadap rejim Islam Iran.

Gambar Pemimpin Agung Ayatolah Ali Khamenei  diconteng dan dibakar. Ini  belum pernah berlaku dalam protes dan demo-demo yang lepas -lepas.

Paling memeranjatkan ialah apabila Presiden Ebrahim Raisi datang melawat Universiti  Alzahra di Tehran dia telah di boo oleh pelajar wanita.

Slogan – hancurkan diktator – dilaungkan di hadapan Presiden Ebrahim. Laungan Jin Jiyan  Azadi – Perempuan-Hidup- Kebebasan didengar dengan lantang.

Jin Jiyan Azadi kini menjadi tali pengikat gerakan menentang rejim Islam Iran.

Paling terkini adalah berita bagaimana stesen TV Nasional Iran telah digodam. Ketika siaran warta berita  imej Mahsa Amini telah ditayangkan bersama imej perempuan membakar kain tudung.

Berita juga telah melaporkan bagaimana Bazari – tuan pemilik bazar – pemilik kedai runcit -  telah mula bersimpati dengan penunjuk perasaan. 

Kembali melihat sejarah 1979 bagaimana Bazari ini memainkan peranan yang penting.

Bila mereka menutup kedai melakukan hartal maka dampaknya amat berkesan. Babak akhir pada tahun 1979 sebelum Shah Reza Pahlaivi lari kelas Bazari telah bersepakat menutup bazar merea di seluruh Iran.

Kelihatan 1979 berulang kembali. 

Marga Shah di ganti dengan Marga Diktator . Marga ialah -  mampus kau - dalam bahasa Parsi.  Jan Jiyan  Azadi  menganti kan Down with Amerika !

Hanya satu tidak wujud  pada tahun 2022 : Tidak ada induk  kepimpinan garis politik yang jelas.

Pada tahun 1979 – dari segi ideologi politik anak muda Iran telah dipasak oleh tulisan Ali Shahriati. Ketika itu  dalam negara yang menyusun tunjuk peranan melawan Shah adalah  Tudeh  - Parti Komunis Iran. Jaringan politik Islam progresif Mujahiden Khalaq yang di pimpin oleh Massaoud Rajavi.  Ada Ayatollah Telegani bekas tahanan politik Shah yang progresif.  Di luar negara - di Paris ada Ayatollah Khomenei.

Tanpa kepimpinan  yang jelas, tanpa tuntutan politik yang merangkumi semua  kelas masyakat Iran  besar kemungkinan demo kali ini juga akan hilang stim  sama seperti demo-demo yang lalu.

Jan Jiyan Azadi ini akan menjadi sejarah dan terus menjadi satu slogan kaum feminis. Mahsa Amini akan tercatit sebagai anak gadis pemula pemberontakan.
Sokongan dan demo bersetia kawan yang diadakan  di London, Paris, New York, Melbourne,  Toronto, Brussels atau di mana  saja tidak akan membawa ke tahap akhir yang dituju.

Justeru perkara induk kepimpinan dan garis politik  ini  pasti sedang dibincangkan oleh para ilmuwan, para intelektual, para agamawan progresif, para aktivis, kaum feminis dan para aktivis yang menyusun demo ini semenjak sebulan yang lalu.

Tanpa kepimpinan dan garis politik yang jelas tahap akhir perjuangan ini tidak akan tercapai.

Tahap akhir perjuangan ini pastilah menjatuhkan  kerajaan Republik Islam Iran dan mendirikan Republik Rakyat Iran  berasakan demokrasi dan bukan berasakan teokrasi. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/405650


1 ulasan:

Nazrio berkata...

Lepas pru15 TT pergi Lah iran 🇮🇷 kerja2 menghasut stage seterusnya amat d perLukan. gadis2 iran 🇮🇷 smart amat menawan...mana tahu jodoh pertemuan