BAS TERAKHIR
KE PUTRA JAYA
Parlimen telah dibubarkan. Tarikh PRU15 belum diumun oleh SPR. Sebelum parlimen di bubar tersebar pelbagai analisis, pelbagai pandangan politik dari pelbagai sosok telah kita dengar.
Awalnya di surahkan bahawa Ismail Sabri mahu PRU15 diadakan tahun hadapan. Awalnya kita membaca bagaimana Ismail cuba menangkis tekanan dari Zahid Hamidi Presiden United Malays National Organisation yang mahu PRU15 diadakan kelmarin.
Tekanan terhadap Ismail semakin kuat dan semakin dilihat terbuka terutama sesudah Najib masuk ke penjara Kajang.
Justeru Zahid yang berhadapan dengan kes mahkamah merasa dirinya tidak selamat.
Apabila Rosmah Mansor didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun - Zahid amat yakin Ismail tidak akan melakukan apa apa untuk menyelamatkan Zahid.
Zahid terus bertindak. Ismail juga terus bertahan.
Apabila Pak Long – nama manja Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri – terbang ke New York – Pak Long telah membawa beberapa orang Ketua Bahagian dengan harapan ini akan meredakan keadaan.
Bercanda-canda ke New York – negara yang menggunakan Bahasa Inggeris – yang Ismail sendiri tidak cekap – adalah cara Ismail memujuk hati Ketua Bahagian yang mungkin akan bersama Zahid untuk memberi tekanan.
Ada kebenaran yang strategik kenapa Zahid mahu PRU15 diadakan kelmarin. Ini kerana dia dan kuncu-kuncu yang terlibat dengan kes mahkamah hanya berkemungkinan ‘bebas’ jika kuasa kerajaan jatuh kembali ke tangan mereka.
Zahid tidak menganggap Ismail ini Perdana Menteri dari United Malays National Organisation. Ramai pemimpin Parti Ketuanan Melayu menganggap Ismail ini hanya PM boneka milik Parti Bersatu.
Justeru Zahid tidak boleh mengharapkan Ismail sebagai penyelamat. Malah Ismail bertanggung jawab sebagai Naib Presiden UMNO, juga Perdana Menteri Malaysia yang berkuasa ketika Najib Razak bekas Presiden UMNO dan juga bekas Perdana Menteri di masukkan ke penjara.
Ismail gagal menyelamatkan Najib.
Zahid melihat Ismail Sabri perlu diganti melalui PRU15. Ucapan Zahid di Persidangan MIC yang menular baru-baru ini itu menjadi bahan bukti. Adalah sahih bahawa Zahid takut kes rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional akan terbongkar jika mereka kalah lagi.
Kalah dalam PRU15 bermakna lebih ramai pencuri dan perasuah akan didakwa.
Justeru adalah satu strategi yang tepat untuk Zahid mempercepatkan PRU15 kerana pada ketika ini parti-parti lawan masih belum tersusun tuntas.
Justeru adalah juga betul Zahid memilih musim banjir untuk menjalankan PRU15. Ketika PRN Melaka dan Johor di jalankan ada serangan virus dari Wuhan. Serangan virus ini menakutkan ramai pengundi untuk keluar mengundi.
Bila pengundi kurang keluar hasilnya Barisan Nasional menang besar. Kali ini bukan virus yang ditakuti tapi banjir akan jadi kuasa penghalang ramai pengundi keluar.
Adalah juga tepat untuk Zahid memaksa Ismail membubarkan Parlimen sekarang kerana penangguhan PRU15 ke tahun hadapan akan membawa bala kepada Parti Ketuanan Melayu.
Bala pertama akan sampai apabila ekonomi dunia akan merudum. Pasti membawa kesan kepada ekonomi Malaysia.
Bala ke dua perpecahan dalaman Parti Ketuanan Melayu ini sendiri makin meluas. Perang dalaman dalam parti semakin merebak.
Justeru strategi Zahid mengadakan PRU15 sekarang adalah tepat dan betul untuk Parti Ketuanan Melayu kembali berkuasa. Untuk mereka yang ada kes mahkamah PRU15 ini memberi ruang untuk tidak perlu singgah ke Kajang.
Semua tindakan Zahid ini betul dan amat strategik. Maka persoalan yang menunggu jawapan ialah apa langkah-langkah balas yang wajib diambil oleh Pakatan Rakyat dan kaum kerabatnya.
Saya pendukung , penyebar dan penganut teori United Front - kini kita Melayukan dengan perkataan Khemah Besar. Lawan khemah besar ini ialah khemah kecil.
Di kampung saya di Jelebu satu ketika dulu bila hendak mengadakan kenduri nikah kahwin maka akan keluar dailok : Kenduri ni...kito kono buek kemah bosa biar ramai orang masuk...’
Orang kampung di Jelebu tidak perlu ke Yale atau ke Oxford Universiti untuk belajar ilmu sains politik. Pengalaman memasang khemah sudah memadai sebagai ilmu politik.
Khemah besar membolehkan ramai tamu kenduri boleh sama berteduh. Bila konsep khemah besar ini diterjemahkan kepada konsep politik ianya memberi makna banyak parti politik boleh duduk bersama.
Sejarah telah membuktikan bahawa hanya dengan strategi khemah besar musuh dapat dialahkan.
Mari kita ulang lihat sejarah Perang Dunia Ke Dua. Kuasa besar ketika itu ialah negara kapitalis Britain dan kapitalis Amerika. Musuh utama dua negara kapitalis ini ialah negara sosialis Rusia.
Muncul Hitler di Jerman, Jeneral Tojo di Jepun dan Mussolini di Itali. Mereka bukan negara pengamal sistem ekonomi kapitalis dan bukan sistem ekonomi sosialis.
Jerman, Jepun dan Itali membawa fahaman fasis. Fasis adalah fahaman nasionalis kanan yang ekstrem dengan pemusatan kuasa dimiliki oleh diktator tentera yang memaksa semua rakyat tunduk akur.
Kaum fasis melihat kaum sosialis dan kaum komunis sebagai musuh utama. Kaum fasis juga melihat kaum kapitalis yang mengamalkan demokrasi sebagai musuh.
Awalnya Perang Dunia Ke Dua berlaku perang tiga penjuru. Kapitalis lawan komunis lawan fasis. Fasis lawan komunis lawan kapitalis. Komunis lawan kapitalis dan lawan fasis.
Akhirnya Amerika Britain yang bermusuh dengan Rusia bersetuju untuk bekerja sama melawan musuh yang satu. Presiden Amerika Franklin Roosevelt, Perdana Menteri Britain Winston Churchill dan Pemimpin Soviet Union Joseph Stalin menggalang United Front dan mendirikan Tentera Bersekutu.
Churchill, Stalin dan Roosevelt – dikenali dalam sejarah sebagai The Big Three. Mereka bersatu mendirikan khemah besar untuk melawan fasis Hitler, Tojo dan Mussolini.
Hasil Perang Dunia ke Dua ialah kemenangan strategi khemah besar. Dan musuh utama kaum fasis dikalahkan.
Satu lagi contoh yang perlu diulang ingat ialah permusuhan Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kuala kolonial Inggeris.
PKM melawan kuasa kolonial Inggeris - dua kumpulan yang bertelagah. Satu mahu merdeka dan satu lagi mahu menjajah. Ini permusuhan dua kelas - kelas penjajah dan kelas yang dijajah.
Apabila fasis Jepun masuk melanggar Tanah Melayu. PKM dan kolonial Inggeris bersatu melawan fasis Jepun.
PKM dan kolonial Inggeris mengenal siapa musuh utama mereka. Mengalahkan musuh utama lebih penting dari bertelagah sesama sendiri.
Malah sejarah merakamkan bagaimana Inggeris mempayung terjunkan senjata ke dalam hutan untuk kegunaan PKM melawan Jepun.
Satu perkara yang amat jelas ialah mengenal musuh utama. Siapa musuh utama. Siapa musuh sampingan. Siapa kawan seperjuangan dan siapa kawan seperjalanan. Mengenal musuh utama ini penting.
Sun Tzu dalam kitab klasik Seni Perang memberi ingatan :
Kenali dirimu
Kenali musuhmu
Seratus pertempuran
Seratus kemenangan
Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin telah dengan jelas mengumumkan bahawa musuh utama Perikan Nasional ialah Barisan Nasional.
Kenyataan jelas dari Muhyidin ini seharunya dilihat sebagai perintis untuk meneroka jalan untuk mendirikan khemah besar.
Godfather politik Malaysia – Mahathir Muhamad juga telah secara terbuka menyatakan yang dirinya tidak ada apa apa halangan untuk bekerja dengan sesiapa.
Kenyataan Mahathir ini telah disambut secara positif oleh Anwar Ibrahim. Secara terbuka Anwar memberi jawapan - sesiapa jua boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan jika menerima konsep dan garis reformasi perjuangan Pakatan.
Dalam politik Malaysia malah dalam politik negara mana pun strategi banyakan kawan dan kurangkan musuh adalah rukun pertama berpolitik.
Hanya yang bebal dan gila sahaja yang berpolitik dengan mencari banyak musuh, Perang kiri perang kanan perang depan perang belakang, Ini bebal dan sewel politik.
Kenyataan awal dari The Big Three Malaysia – Mahathir, Muhyidin dan Anwar dibaca seperti cahaya dalam gelap membawa pencerahan.
Tetapi dalam politik tidak semuanya ceteris parisbus. Suara sumbang pemilik pelbagai agenda mula bersuara yang menyangkal The Big Three.
Pertama bersuara ialah Lim Gua Eng yang sedang berhadapan dengan kes terowong telah memangkah kenyataan positif Anwar Ibrahim.
Seperti biasa Anwar Ibrahim menggelabah dan panik dan mula bersilat lidah. Seperti lumrah kenyataan yang tepat lagi benar itu dikatakan disalah tafsir dan disalah lapor.
Suasana politik yang mula dilihat cerah kini kembali gelap.
Pada hemat saya PRU15 ini adalah bas terakhir untuk membawa Anwar Ibrahim ke Putrajaya. Mahathir dan Muhyidin sudah pernah sampai. Kalau pun kali ini mereka tidak sampai Mahathir dan Muhyidin tidak akan kecewa.
Apakah Anwar masih ada nafsu berahi untuk menaiki bas terakhir ini bergantung dengan apa yang dia berani lakukan dari hari ini hingga ke hari penamaan calon.
Atau Anwar telah hilang nafsu untuk menaiki bas akhir ini dan menerima pakai strategi Nurul Izzah yang mahu Pakatan kalah dalam PRU15 untuk tegak berdiri solo suci berprinsip dalam PRU16.
Bas terakhir ke Putrajaya ini tidak memerlukan tiket. Yang diperlukan ialah kebijaksanaan mendirikan khemah besar dan membawa seramai mungkin parti politik masuk ke dalam khemah ini.
Maka diperbuat pantun oleh orang Jelebu:
Maso kocik main galah
Bilo bosa pandai beronang
Kemah kocik jamin kalah
Kemah bosa mungkin monang
Amin. (TT)
,
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/640036
3 ulasan:
Sama jaaa...bangnon kaaa ..najib kaaa...
Bangmat yg kata hebat sangat
Lepas dia kutuk Mahathir kepala penyamun... dia jadi menteri pertahanan..satu apa pondia tak nampak...siap setpol kena charge
Kah54x
Manusia gila kuasa ini susah dengar berita pilu, semua harap nak menang tapi cara tak betul, khemah besar betul jamin menang tapi puak puak ini mana mahu dengar, mereka kan pandai segala ilmu dunia, paling pandai sabotaj, tikam, cucuk, budaya orang kita tak kira apa, nak meniaga sama, nak politik sama, nak kawan sama, nak Melayu sama, nak islang sama, acuan sama kah kah kah
Kemah Bosa boleh, jangan kencing lagi sudah le mcm PRU14. Yg kaki kencing Big Two, Atok dan Yidin dgn Sheraton Move. Engkau pun hadir dgn geng Jemin Semburit nak sabotaj Kongres PKR. Rafizi, Nurul dan Rais Husin kata boleh kemah bosa tanpa Atok dan Yidin.
Catat Ulasan