Parlimen Rembau: Siapa bakal menang, siapa kecundang?
SETAKAT ini, dua nama dari parti lawan sering disebut-sebut sebagai calon yang mungkin diletakkan untuk menentang Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan di kerusi Parlimen Rembau.
Bekas Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dikatakan bakal menjadi calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding buat kali pertama di kerusi itu.
Beliau kini menetap di Rembau dan dikatakan berkecimpung dalam aktiviti pertanian di daerah itu selepas bersara dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setakat ini, masih belum ada pengesahan dari GTA, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Abdul Hamid sendiri berhubung perkara tersebut.
Pakatan Harapan (PH) pula dijangka meletakkan calon dari PKR dan antara nama yang ‘naik’ ialah bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha.
Pencalonan Jufitri itu dilaporkan telah direstui Presiden PKR, Anwar Ibrahim namun belum muktamad selagi tiada pengumuman rasmi.
Di kem Perikatan Nasional (PN) pula, masih lagi senyap dan sunyi.
Mereka belum mengumumkan parti mana yang akan berentap di Rembau, sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.
Walau siapa pun yang diletakkan parti-parti lawan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dilihat berada dalam kedudukan yang selesa untuk menjayakan misi Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Rembau.
Reputasinya yang cemerlang sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pasti memberi kelebihan berbanding calon-calon lain yang bakal diketengahkan oleh PH, PN dan GTA.
Tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Rembau iaitu Kota, Chembong dan Rantau yang diwakili Mohamad sendiri masih teguh di bawah BN.
Cuma, tumpuan yang lebih perlu diberikan terhadap DUN Paroi yang jatuh ke tangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Jentera BN dan UMNO perlu menggunakan strategi yang betul dan berkesan untuk memastikan majoriti pengundi di kawasan pinggir bandar itu memberi kepercayaan kepada Mohamad untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat.
Berdasarkan sentimen rakyat di sekitar Rembau, Mohamad dijangka meraih undi majoriti yang lebih berbesar berbanding 4,364 undi yang diterima Khairy Jamaluddin pada PRU-14.
Mereka bukan sahaja mahu melihat Tok Mat menjejakkan kaki di Parlimen, malah tidak sabar menunggu DUN Negeri Sembilan dibubarkan supaya BN kembali memerintah dan mengembalikan kemakmuran di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan