Besarkan anak angkat Islam, wanita Cina dikurnia Anugerah Maulidur Rasul
JASA Chee Hoi Lan membesarkan anak angkat beragama Islam membolehkan pesara guru tadika itu dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi sekali gus mendapat gelaran Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.
Chee, 83, yang membesarkan Rohana Abdullah, 20, sejak usia dua bulan hingga sekarang mendapat perhatian masyarakat dan kerajaan kerana keikhlasannya menjaga serta mendidik gadis itu walaupun mereka berlainan agama.
Anugerah itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.
Chee yang hadir berkerusi roda ketika ditemui pemberita selepas majlis itu menjawab ringkas: “Saya sangat gembira (menerima anugerah itu).”
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini.
Syed Zainal Abidin, 59, berkata pengurniaan anugerah itu memberikan semangat untuk beliau menjalankan tugas seharian yang mencabar.
“Saya memang suka mengamalkan korporat dakwah dan dengan adanya anugerah ini saya serta rakan-rakan korporat lain akan menggunakan platform sedia ada untuk berbuat baik dalam syarikat dan komuniti sekeliling,” kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.
Lima lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul adalah Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Datuk Dr Azizan Baharudin, Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9 Ahmad Noor Sulaiman dan Pengerusi Yayasan ZIKAY Mohd Khay Ibrahim.
Penerima lain adalah aktivis kemanusiaan dan penceramah motivasi Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina serta kaunselor berdaftar Hushim Salleh. – Bernama, 9 Oktober, 2022.
1 ulasan:
Jawapan untuk soalan ini hanya akan terjawab sejelasnya lepas mati nanti.
Catat Ulasan