ANWAR IBRAHIM
DAN
PARTI KOMUNIS ITALI
PRU15 selesai petang Sabtu 19 November 2022. Undi selesai dikira pada awal pagi Ahad 20 November 2022. Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) wajib memenangi lebih dari 112 kerusi Parlimen.
Melintas angka 112 ini amat penting untuk Anwar menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10. Melintasi angka 112 ini menjamin kerajaan Pakatan Harapan kembali berkuasa.
Pada ketika tulisan ini digarap media dan portal berita melaporkan bagaimana PH teratas dalam meraih sokongan pengundi. Di belakang PH ialah Perikatan Nasional (PN). Barisan Nasional kelihatan jauh tertinggal.
Dalam konteks menyeluruh parti-parti baru dan kecil atau Barisan seperti Gerakan Tanah Air tidak akan jadi peneraju. Peranan Mahathir dan Bersatu dalam PRU14 tidak akan berulang.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berperanan penting. Dua barisan ini sedia menunggu gabungan di Semenanjung untuk disokong. Ertinya sokongan dari GRS dan GPS adalah sokongan pelengkap dan bonus.
Justeru jika PH gagal melintasi angka 112 besar kemungkinan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan akan menerima nasib sama seperti Parti Komunis Itali (PCI).
Kenapa saya berkata sedemikian. Biar saya surahkan sejarahnya.
Di zaman Reformasi 98 saya banyak menulis tentang Anwar Ibrahim dan Mahathir. Ketika itu saya percaya bahawa Anwar adalah mangsa konspirasi Mahathir Muhamad.
Di Zaman Reformasi saya melihat Anwar Ibrahim sebagai sosok yang berupaya menggalang satu United Front yang ampuh. United Front atau Barisan Bersatu ini terdiri dari badan NGO, aktivis politik, seniman, sasterawan, parti politik dan orang ramai.
Apa yang menyatukan dan menggalang barisan bersatu ini ialah harapan. Anwar Ibrahim membawa harapan. Anwar menggalang united front of hope.
Anwar telah ditendang oleh Mahathir. Penyingkiran Anwar dari kerusi kepimpinan parti berkuasa ini telah membocorkan harapan. rakyat. Pada ketika ini rakyat Malaysia dahaga perubahan.
Rakyat melihat Anwar akan membawa satu perubahan. Inilah harapan rakyat. Justeru gerakan jalan raya untuk menyokong Anwar Ibrahim mengampuh.
Saya menyamakan apa yang akan dihadapi oleh Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan ini sama dengan pengalaman yang telah dilalui oleh Parti Komunis Itali.
Jangan silap faham. Anwar bukan komunis dan jauh sekali ahli Parti Komunis Itali. Politik Pakatan Harapan tidak ada sangkut paut dengan Parti Komunis Itali.
Saya menggunakan Parti Komunis Itali kerana pada hemat saya ada persamaan dari apa yang telah dialami oleh Parti Komunis Itali dengan apa yang telah dan juga akan dialami oleh Pakatan Harapan jika gagal melintasi angka 112.
Parti Komunis Itali memiliki rekod yang cemerlang dalam melawan fasis Mussolini ( 1883- 1945 ). Selesai perang dunia Ke Dua PCI telah mendapat sokongan rakyat. PCI banyak memenangi kerusi Parlimen Itali dan juga kerusi kerajaan tempatan.
Ini sama seperti kejayaan Pakatan Harapan menawan Pulau Pinang dan Selangor selepas Reformasi dan ketika Anwar dalam penjara.
Tahun 70’an untuk terus mendapat sokongan rakyat PCI telah menjauhkan diri dari Soviet Rusia. Parti Komunis Itali mengambil garis Eurokomunis. PCI menjadi parti yang menyesuaikan diri dengan gaya hidup Eropah yang demokratik.
Hasil garis Eurokomunis telah mendatangkan lebih banyak kerusi parlimen kepada PCI . Tapi PCI tidak pernah mendapat menubuhkan kerajaan. Ini kerana ada barisan parti-parti beraliran kanan yang menentang PCI dari mendapat kuasa.
Hakikatnya pilihan raya membuktikan PCI adalah parti yang disokong rakyat untuk meneraju Itali. Tapi gagal menjadi kerajaan kerana ada banyak parti kecil yang mendapat peratus undi yang lebih kecil telah mendirikan barisan bersatu menghalang Parti Komunis Itali dari mendapat kuasa.
United Front menentang Parti Komunis Itali di wujudkan tanpa hitam putih.
Pada tahun 1974 Aldo Moro (1916-1978) dilantik sebagai Perdana Menteri Itali. Sosok ini ialah Setia Usaha Agong Parti Christian Democracy (CD) . Ketika ini Parti Komunis Itali di pimpin oleh Enrico Berlinguer ( 1922-1984).
Dua sosok adalah pemimpin politik yang amat popular dalam sejarah dikalangan rakyat Itali.
Pilihan raya tahun 1976 Parti Komunis Itali mendapat 34 % jumlah undi. Ini jumlah terbesar berbanding dengan semua parti politik yang lain.
Hasil pilihan raya 1976 dirasakan perlu didirikan Kerajaan Perpaduan antara parti Christian Democracy dengan Parti Komunis Itali.
Babak sejarah ini dirakamkan sebagai Historic Compromise - Kompromi Bersejarah. Dua parti yang berbeza ideologi ingin menggalang persatuan demi negara dan bangsa.
Suasana ini seakan akan sama seperti wujudnya kerjasama antara Zahid Hamid Presiden United Malaya National Organisation dengan Anwar Ibrahim pemimpin Pakatan.
Historic Phone Call – Panggilan Telefon Bersejarah antara Zahid dengan Anwar meyakinkan orang ramai tentang wujudnya kerjasama dari dulu dan ke masa hadapan antara dua pemimpin ini.
Kerjasama CD dengan PCI ini mula diganggu gugat oleh parti-parti puak kanan dan parti kiri yang kecil yang ada perwakilan dalam Parlimen Itali.
Kerja sama menentang Kerajaan Perpaduan CD dan PCI ini berakhir dengan penculikan Aldo Moro oleh kumpulan ekstrem kiri – Red Brigades. Selama 55 hari Aldo Moro hilang sebelum mayat ditemui.
Kerjasama bersejarah berasaskan Kompromi Bersejarah antara Christian Democracy dan Parti Komunis Itali gagal satelah Aldo Moro mati dibunuh.
Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan akan gagal jika tidak dapat melintasi kemenangan yang lebih dari 112 kerusi.
Dari lojik politik jika Pakatan gagal mendapatkan 112 kerusi maka Pakatan perlu mendirikan satu barisan baru untuk menambah kerusi dan menubuhkan kerajaan. Anwar Ibrahim dan Pakatan wajib mencari kawan dari Perikatan Nasional atau dari Barisan Nasional. Atau dari parti kecil yang menang.
Ketika ini apa yang berlaku sesudah pilihan raya tahun 1976 kepada Parti Komunis Itali akan berlaku pada Anwar Ibrahim sesudah PRU 15 tahun 2022.
Akan di galang satu Barisan Bersatu dengan hanya satu agenda : Menafikan Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri.
Akan diwujudkan barisan bersatu untuk menghalang Pakatan Harapan dari mendirikan kerajaan baru.
Parti Komunis Itali memiliki banyak musuh politik dari garis ideologi kanan. Anwar Ibrahim memiliki lebih ramai musuh dari garis politik kiri dan kanan. Malah Anwar menghadapi musuh dari dalam dan dari luar parti.
Parti berideologi kanan seperti Parti Islam dan kaum kerabat penganut garis Islam konservatif kanan melalui sosok seperti Haji Hadi walau pun pernah bersama dalam ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia - akan menentang Anwar.
Parti Islam pimpinan Hadi Awang akan menolak Anwar Ibrahim kerana Anwar dianggap sebagai pengamal homoseksual dan bersimpati dengan LGBT.
Parti Islam konservatif garis kanan ini juga akan menggunakan ‘ Cina dan Kapir ’ untuk memperkuat penolakan terhadap Anwar dan Pakatan Harapan.
China dan Kapir ialah DAP yang menjadi rakan politik Anwar dalam Pakatan. PAS tidak akan mahu bekerjasama dengan DAP yang ditakrif sebagai Parti Kapir.
Bersatu pula akan menolak Anwar Ibrahim kerana Presiden Bersatu Muhyidin juga memasang niat untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Dalam Bersatu masih ramai bekas ahli PKR yang telah hilang cinta dengan Anwar. Mereka ini seperti Azmin, Dr Mansor, Saifuddin Abdullah akan menentang Anwar.
Malah Muhyidin telah membuat kenyataan menolak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kerana Anwar bekerjasama dengan DAP yang ditakrif oleh Muhyidin sebagai Parti China.
Apabila dua pemimpin komponen PN menolak Anwar maka Anwar akan cuba melamar United Malays National Organisation di bawah pimpinan Zahid.
Anwar sendiri boleh berunding dan membuat Historic Compromise - Kompromi Bersejarah dengan Zahid seperti yang di lakukan oleh Aldo Moro dengan Enrico Berlingeur.
Anwar boleh menjanjikan kes Najib, kes Zahid dan kes kluster mahkamah akan dinilai kembali. Anwar Ibrahim adalah pakar membuat janji.
Tapi hakikatnya kerjasama Pakatan dengan Barisan bukan semudah janji dilafaz. Zahid sendiri juga akan berhadapan dengan Ismail Sabri, Khairy dan Tok Mat.
Sosok-sosok ini tidak ada rasa kasih sayang terhadap Anwar. Mereka benci bukan sahaja dengan Anwar malah akan memusuhi sesiapa saja yang cuba menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sosok- sosok ini juga memasang niat untuk menjadi Perdana Menteri. Ismail Sabri masih berhajat untuk duduk kembali di kerusi PM. Mustahil akan mengalah kepada Anwar.
Sama seperti Parti Komunis Itali Si Anwar ini berselirat dengan musuh. Ada musuh dari zaman ABIM seperti Kamaruddin Mat Nor, Kamaruddin Jaafar, Nik Aziz atau Ismail Mena . Mereka kenal baik perangai Anwar Ibrahim.
Jangan lupa bekas pegawai setia Anwar seperti Ezam dan Azmin kini menjadi musuh ketat Anwar.
Jangan lupa dengan Zul Nordin yang telah memakai kut untuk angkat sumpah bila kali pertama Anwar klim akan jadi PM pad 16 September 2008. Zul Nordin merasa dirinya tertipu.
Termasuk dalam kes kecewa di tipu oleh Anwar ialah sosok seperti Syed Hamid Ali, Sivarasa, Maria Chin, Surendran dan Tian Chua. Sosok-sosok ini melihat bagaimana kerusi Parlimen mereka telah di sailang oleh Anwar.
Manakala Sivarasa dan Surendran adalah dua peguam Anwar. Dua peguam inilah yang bekerja siang dan malam pagi dan petang mempertahankan Anwar dalam kes Anwar meliwat Saiful. Susu dibalas tuba.
Perangai Anwar membuat janji dan meninggalkan kawan ini telah menjadi rahsia umum.
Semua musuh dan sosok-sosok yang mengenali perangi dan tingkah laku Anwar ini pasti akan senyum puas apabila melihat satu gagasan pasca PRU15 yang khusus didirikan untuk menentang Anwar.
Sama seperti yang dilalui oleh Parti Komunis Itali gagasan ini tidak di hitam putihkan.
Di zaman Reformasi dulu saya menulis United Front of Hope. Kali ini saya perhatikan akan wujud satu barisan bersatu United Front of Hate - barisan benci yang akan menentang Anwar menjadi PM.
Hubaya hubaya. Musuh yang paling bahaya untuk menggagalkan mimpi Anwar untuk menjadi PM ini bukan datang dari luar. Bukan kawan lama dari ABIM. Bukan dari mereka yang dinafikan kerusi. Bukan Bukan.
Musuh ini wujud dalam pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat sendiri dalam bentuk sosok bernama Rafizi.
Rafizi – Timbalan Presiden PKR - lebih awal dari yang lain telah menyatakan secara terbuka bahawa dia akan menentang kerjasama dengan Zahid atau dengan United Malays National Organisation.
Percanggahan dan perbezaan garis politik antara Anwar dan Rafizi ini jelas dilihat umum. Umum melihat tidak ada kasih sayang antara mereka.
Rafizi menolak konsep khemah besar sebelum PRU dan mungkin akan menolak kerjasama khemah besar dengan PN dan BN.
Rafizi dilaporkan mahu menggalang kerjasama dengan Parti dari Sabah atau Serawak. Sayangnya parti dari Sarawak dari awal telah berkata No Anwar No DAP.
Justeru Anwar dan Pakatan Harapan wajib melintasi angka 112. Dengan angka ini Anwar dapat dinobatkan untuk menjadi Perdana Menteri dan Pakatan dapat menubuhkan kerajaan.
Awas ! Jangan lupa melintasi 112 ini juga penting untuk menafikan Daulah Terpendam – Deep State – dari membuat onar. Daulah Terpendam juga tidak pernah ada kasih sayang terhadap Anwar Ibrahim.
Seyogia diingati dalam politik tidak ada musuh tetap. Yang sentiasa tetap hanya kepentingan untuk mendapat kuasa. Politik juga adalah seni kemungkinan. Pelbagai kemungkinan boleh wujud dalam usaha untuk mendapat kuasa.
Yang jelas Pakatan Harapan wajib menang lebih dari 112 kerusi untuk mendirikan kerajaan. Jika tidak pengalaman sejarah Parti Komunis Itali akan berulang di Malaysia. Pakatan Harapan akan mendapat kerusi banyak seperti Parti Komunis Itali tapi gagal jadi kerajaan. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/412282
Tiada ulasan:
Catat Ulasan