PAS gugur Nik Abduh, kekal 8 penyandang
PAS mengumumkan penyandang kerusi Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz tidak akan mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya umum (PRU) 19 November.
Anak kepada pemimpin besar PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu digantikan dengan setiausaha politik kepada presiden PAS, Mohd Shahir Che Sulaiman.
Pengerusi PN Kelantan Ahmad Yaakob turut mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Tumpat Che Abdullah Md Nawi digugurkan.
PAS akan meletakkan calon wanita, penyandang kerusi DUN Demit Mumtaz Md Nawi di kerusi itu.
Ahmad Yaakob yang juga menteri besar Kelantan turut mengumumkan PN Kelantan mengekalkan 8 penyandang di kerusi Parlimen:
- Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian)
- Takiyuddin Hassan (Kota Bharu)
- Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa)
- Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas)
- Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh)
- Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai)
- Siti Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang)
- Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah)
PN Kelantan juga menampilkan calon baharu antaranya Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang diletakkan di Parlimen Machang.
Penyandang kerusi Jeli pula, Mustapa Mohamad yang mengumumkan tidak bertanding kerana masalah kesihatan akan digantikan dengan setiausaha politiknya, Zahari Kechik.
Di kerusi panas Ketereh, bekas pegawai risikan Angkatan Tentera Malaysia, Khlir Mohd Nor diumumkan sebagai calon baharu menggantikan penyandang Radzi Jidin yang beralih ke Putrajaya.
Menteri dari parti Umno Annuar Musa yang digugurkan daripada senarai calon partinya mengumumkan akan mempertahankan kerusi itu melalui parti yang baru didaftarkannya dengan nama Muafakat Nasional.
Peluang Nik Abduh untuk bertanding PRU15 menjadi perhatian kerana beliau giat menyokong kerjasama dengan Umno dalam gerakan Muafakat Nasional.
Ia menimbulkan spekulasi bahawa Nik Abduh akan bertanding atas tiket Barisan Nasional pada PRU15 selepas namanya tidak tercalon.
Nik Abduh bagaimanapun tetap dilihat hadir dalam majlis pengumuman calon PN Kelantan malam tadi. – 3 November, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan