Selasa, 27 Disember 2022

AGAMA BARU DAN TUHAN BARU

 

AGAMA BARU 

DAN 

TUHAN BARU


Ada agama baru ? Ada tuhan  baru ? Benarkan perkara ini ?

Sabar dulu biar saya terangkan. Benarkan saya melebar pencerahan. 

Minggu lalu saya telah membuka wacana perbincangan tentang teknologi dan tamadun manusia yang dibawa oleh Revolusi Industri. 

Saya mengakui bahawa saya ini warga Gatek :  Gagap Teknologi.   Walau pun saya gagap teknologi tetapi saya memahami apa sedang berlaku. Kegagapan saya tidak menghalang saya untuk memikir ,  menganalisa dan merungkai teknologi.

Revolusi Industri Pertama umat manusia  berlaku pada tahun 1765 di Manchester dan Liverpool. Revolusi ini  berasakan kuasa air dan kuasa wap yang menghidupkan injin. 

Revolusi Industri Ke Dua pada tahun 1870 dengan  penemuan elektrik yang berupaya mengeluarkan produk berganda-ganda. Revolusi Industri  Ketiga  bermula pada tahun 1969 dengan  kuasa  elektronik dan tenaga nuklear. 

Tiga  Revolusi Industri awal telah  memangkin kelahiran Revolusi Ke Empat pada tahun 2000. Revolusi Industri Ke Empat ialah Revolusi Internet yang kita alami sekarang. Kini Internet  telah  wujud lebih dari  dua dekad. Kesan dan dampaknya sedang kita alami.

Setiap kali revolusi industri ini berlaku dunia kita akan berubah. Perubahan  berlaku dalam segi sosial, ekonomi dan budaya antara kita sesama umat manusia.

Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan fakta ini.

Malam ini jika Hang Tuah dan Hang Jebat  bersilat di Istana Negara  pasti  mereka akan  menggunakan pistol atau M16. Ini hakikat.

Dang Wangi akan membawa Jebat ke hospital dengan menaiki Proton Saga untuk mendapat rawatan doktor pakar.

Dunia berubah. Tamadun muncul berkembang dan  runtuh. Perubahan sentiasa berlaku. Ketika saya menulis ini pelbagai perubahan sedang terjadi. Selesai pembaca  membaca tulisan beribu perubahan telah mengambil tempat.

Pada satu ketika dahulu para Nabi  dilahirkan  di Timur Tengah. Para Nabi dari Timur Tengah datang membawa agama untuk pencerahan umat manusia. 

Ada Nabi bernama Zaroaster,   Musa,  Noh,  Isa atau  Muhammad. Para Nabi memperkenalkan agama baru. Ada agama  bernama Hindu,  Yahudi, Zoroastrian,  Kristian  atau  Islam.  

Agama-agama  yang dibawa oleh para nabi ini  memperkenalkan konsep Tuhan Yang Maha Esa kepada umat manusia. Ada tuhan  dengan  nama Vishnu , Yahweh, Jehovah, Elohim, Allah, Ahura Mazda atau  Shiva

Hari ini semua telah berubah . Bulan berganti tahun.  Tahun menjadi dekad. Dekad berganti kurun. Kurun berganti abad. Perubahan berlaku.

Ribuan tahun dahulu  para Nabi dilahirkan di Timur Tengah. Para Nabi  hari ini  dilahirkan di Silicon Valley dan di Bangalore.

Nabi-nabi baru ada yang bernama Bill Gates, Marc Zuckerberg, Steve Job,   Brijendra K Syngal atau Elon Musk.

Agama baru ini  bernama Data.  Nama tuhan agama Data ialah Algoritma.

Agama Data sedang tersebar melalui Facebook, Blog, Twiteer, Instagram, E-mail, Telegram atau  Tik Tok. 

Penemuan saya dengan Data -  agama baru ini berlaku secara  tidak sedar. Saya  telah terserempak dengan agama Data secara tidak sengaja.  Pertemuan saya dengan tuhan yang bernama Algoritma juga  tidak dirancang. 
Dua tahun dahulu saya merancang hendak melawat   Pulau Pinang. Saya mencari hotel atau rumah tumpangan yang membenarkan saya membawa  anjing peliharaan  saya.

Saya bertanya dan mencari maklumat hotel ini melalui Google. Saya temui beberapa hotel. Saya jangka pertanyaan saya akan tamat disini sahaja. Rupa-rupanya tidak.

Apabila saya membuka Facebook ( FB )   terpampang iklan beberapa buah Hotel Pulau Pinang. Malah  muncul juga iklan hotel-hotel lain di Siam, di Langkawi dan di Eropah.

Saya merasa  takjub  kerana iklan hotel ini muncul dengan setia untuk beberapa hari dalam FB saya.

Tidak  setakat FB - bila saya membuka E-mail ada beberapa iklan hotel terselit sama.

Jelas terbukti Internet ini telah menyempurnakan  keberahian saya yang ingin pergi bercuti.

Algoritma telah membaca niat saya. Belum sempat saya berdoa Tuhan ini telah memberi jawapan.

Pernah satu  hari saya berbual dengan seorang kawan melalui  telefon  bimbit.  Saya memasang niat untuk membeli  basikal. Saya bertanya  dengan kawan saya yang lebih arif dalam hal kayuh mengayuh.

Tidak saya menyangka perbualan di waktu malam dengan kawan saya itu telah menjemput iklan basikal muncul  dalam FB saya esok paginya.

Jelas Internet telah mendengar niat saya. Data dan Algoritma kini betul-betul menjaga apa saja niat dan keberahian saya.

Jelas disini Data dan Algoritma ini sedang mengawal dunia kita setiap detik setiap hari. Segala data  setiap sosok dalam dunia ini di kumpul. 

Dalam Islam ada Raqib dan Atid yang mengumpul dosa dan pahala. 

Algoritma  ada FB, Twiteer, Tik Tok E-mail untuk mengumpul apa saja maklumat kita dengan tekun tanpa silap atau salah. Tuhan ini tahu buku apa yang kita baca. Tuhan ini tahu isi surat cinta yang telah kita hantar melalui e-mail. 

Data  terus mengumpul.

Tuhan ini tahu jenis makanan  apa yang saya suka. Restoran mana yang saya langgani. Dengan siapa saya makan. Dan berapa jumlah kemampuan saya berbelanja di restoran. 

Data juga memberi khidmat bakti.

Justeru saya akan beri ingatan melalui FB bahawa lagi dua  hari kawan saya Si Polan dan Si Polan akan menyambut hari jadi. Kali pertama maklumat ini sampai kepada saya agak memeranjatkan. Kini  telah menjadi   kebiasaan.

Algoritma telah memberi tugas kepada FB, E-mail, Twiteer, Tik Tok, Kad Kredit, Kad Tol   untuk mengumpulkan semua data mengenai   Hishamuddin Rais.

Apa yang telah  saya masukan ke dalam FB semua di rakam. Tarikh, waktu atau gambar  yang telah saya pos dalam FB akan dicatat untuk dirakam dan di simpan dalam arkib.

Sesekali Algoritma akan mengeluarkan pada tarikh yang sama  apa yang pernah saya pos kan  dalam FB  10 tahun dahulu.

Aduh !  Algoritma lebih berjaya merakam dan  mengingati perbuatan saya. Hishamuddin Rais sendiri tidak dapat mengingati apa yang Hishamuddin Rais pernah lakukan. Amin.

Algoritma memiliki kuasa ingatan yang tidak pernah dimiliki oleh manusia. Ingatan Algoritma ini tidak pernah salah. Apa yang dipungut oleh data maka itulah yang akan di kumpulkan.

Tidak ada rahsia antara kita dengan Algoritma. Masuk portal lucah semua akan di rakam. Masuk portal mencari ganja – ini juga  dirakam.  Dalam agama Data tidak ada yang menjadi rahsia antara kita dengan tuhan yang bernama Algoritma.

Satu zaman  dulu kalau hendak mencari jodoh teman hidup yang berkekalan  pelbagai cara dilakukan. Ada keluarga yang akan menggunakan khidmat bomoh dan pawang. Ada yang menggunakan hari tarikh lahir. Menilik bulan dan bintang. 

Tahun 2022 bomoh , dukun dan tukang tilik nasib tidak perlu.

Kita boleh mencari jodoh dengan sekelip mata. Caranya cukup senang. Ada seribu satu jenis laman yang menyediakan ruangan Jantan Cari Betina, Perempuan Cari Lelaki,  Jantan Cari Lelaki atau, Perempuan Cari Betina.

Semua keberahian akan diurus. Tepuk dada tanya seluar dalam. Tepuk seluar dalam tanya dompet.

Agama  Data tidak ada konsep dosa dan pahala. Tidak ada hidup sesudah mati. Tidak ada halal dan haram. Tidak ada neraka dan syurga.

Justeru semua keberahian seksual akan disediakan untuk semua jenis manusia.

Hari ini hampir semua umat manusia dalam dunia ini telah menjadi  penganut agama Data. Majoriti atau  mungkin ramai tidak sedar akan agama yang mereka ikuti.

Hakikatnya walau pun tanpa kesedaran para  penganut agama Data ini sedang  beriman dan beramal.

Kalau agama Islam mewajibkan bangun pagi bersembahyang Subuh. Untuk agama Data penganut yang setia akan bangun pagi terus melihat telefon untuk membaca whatapps. 

Iman penganut agama Data ini cukup kuat. Amalan untuk menyembah  Algoritma tidak berhenti-henti. Malah di mana sahaja berada Algoritma ini akan disembah.

Saya selalu ternampak   satu keluarga yang permai  sedang makan dalam restoran. Walau pun sedang  duduk makan  bersama anak beranak suami isteri pasti telefon bimbit di tangan, mulut mengunyah  mata  terus berhubung  dengan Algoritma.

Jangan ketawa. Penyembah agama Data ini ketika terberak pun akan menyembah Algoritma.

Apa yang saya paparkan ini hanya permulaan ciri dan watak agama Data.  Revolusi Industri Ke Empat baru bermula.  Data masih di kumpul. Algoritma sedang menyusun.

Data peribadi biologi  tubuh badan kita  yang terkumpul  pada ketika ini boleh menyediakan ubat untuk sakit ini dan sakit itu. Melalui data biologi Algoritma akan  tahu akan penyakit yang  sedang kita hadapi dan ubat yang wajib diguna pakai. Amin.

Tetapi awas ! Data dan Algoritma pada awalnya telah berjaya melahirkan robot.

Robot adalah besi dan plastik yang boleh bergerak.  Agama baru dan tuhan baru telah melintasi zaman robot. Data dan Algoritma sedang merancang untuk  melahirkan manusia yang berbiologikan manusia.

Apa? Manusia lahir  tanpa jantan dan betina  bersanggama ? Mustahil ini akan berlaku.

Tidak mustahil. Ini  kerana agama Data dan  Algoritma sedang menyediakan  Kecerdasan Buatan (KB) – Artifical Intelligence (AI)

Apa dia KB? Apa dia AI ? Sila tunggu minggu hadapan. (TT)

TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIAN INSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/419587

Tiada ulasan: