KUSIMPAN RISALAH REFORMASI
DI DALAM PETI
Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa
Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,
aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik
Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati
Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini
Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi
Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini
HASSAN ABDUL KARIM
Pasir Gudang
Isnin 05 Disember 2022
1 ulasan:
lemah betul semangat dan akalnya.apa pilihan yg PH ada? tidak cukup majoriti.apa pilihan pak hassan yg boleh dikongsi? apakah pak hassan juga menafikan keberadaan pak malek disisi anwar?mengeluh dan merintih tiadalah kesalahan, gua fikir pak hassan cuba bertenang dan fikirkan apa solusi yg ada utk PH? pada ketika kemerosotan ekonomi, bahan mentah harga naik yg akan melanda dunia? pada ketika sang ugamawan menjual beli allah dan muhammad sehingga tiada berharga islam.kalo pegangan politik dan polisi anwar,PH tiada lagi sehaluan, gua fikir pak hassan wajib letak jawatan dan tinggalkan PH,PKR.ckp mesti serupa bikin.
Catat Ulasan