Kepercayaan anak muda terhadap Umno akan kurang, kata Ismail Sabri
GENERASI muda mungkin mula hilang kepercayaan kepada Umno selepas keputusan tidak akan ada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti dibuat, kata Ismail Sabri Yaakob.
Naib presiden Umno itu berkata larangan bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden akan mengurangkan minat mereka.
“Jadi dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan ia akan mengurangkan lagi kepercayaan orang muda kepada keterbukaan Umno yang akan menyekat minat mereka kepada kita. Itu yang membimbangkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.
Semalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Perkara itu disahkan Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said yang berkata perkara itu diputuskan oleh majoriti besar perwakilan.
“Sudah diluluskan, hampir 90% perwakilan menyokong usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti,” katanya.
Bekas perdana menteri itu juga berkata golongan muda mahukan parti terbuka.
“Sebagai contoh, memberi kebebasan hak untuk bertanding.
“Dalam perbahasan kita banyak membangkitkan soal untuk mengembalikan kepercayaan orang muda kepada kita.
“Tetapi orang muda idealisme tinggi yang bercakap soal hak asasi, demokrasi dan sebagainya tentu sahaja melihat apa yang kita lakukan bertentangan dengan idealisme mereka,” katanya.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkata perwakilan di PAU memutuskan tidak perlu bertanding untuk dua jawatan tertinggi parti.
Beliau berkata keputusan mereka adalah muktamad kerana proses itu dilakukan mengikut perlembagaan parti.
“Keputusan (oleh perwakilan) adalah muktamad. Seperti yang saya katakan sebelum ini, perkara ini diserahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.
“Ini dilakukan mengikut perlembagaan parti,” katanya. – 15 Januari, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan