Khamis, 2 Februari 2023

55 TAHUN KEMUDIAN



55 TAHUN

 KEMUDIAN


Dua hari sebelum bergerak ke Tanjung  aku telah menelefon Tan Soo. Perempuan China ini kawan baik aku.  Lama betul tidak berjumpa. Kali  akhir kami bertemu 55 tahun dahulu. 

Ketika PKP ( Perintah Kawalan Pergerakan) dipasang aku tidak ke mana-mana. Dari Bangsar nak  ke PJ pun dilarang. Maka aku duduk berkurung di Le Chateau. Sekali dua pulang ke Jelebu dengan permit polis. Kampung aku hanya tiga jam perjalanan dari pintu ke pintu. 

Ketika PKP aku merayau dalam alam siber. Aku merayau dan berbual melalui telefon dengan kawan-lama lama kerana tidak dapat berjumpa. Akhirnya aku bertemu kembali dengan Tan Soo. Kami bercakap melalui telefon. Amin.

Bila PKP tamat aku  betul-betul nak  merayau dalam alam nyata. Merayau dan berjalan  untuk berjumpa kawan lama ini. Perjalanan ini  mewajibkan aku  melintasi   sempadan  Selangor -  masuk ke Perak sebelum ke Tanjung. 

‘ .. am coming to Penang.... we must meet up..’ Aku membuat temu janji dengan Tan Soo.

Kali pertama aku melihat sosok yang bernama Tan Soo  ini pada  tahun 1961. Ini ketika aku masuk ke  Goverment English School Kuala Klawang. Aku lulus peperiksaan Special Malay Class (SMC) dan diterima masuk ke sekolah Inggeris.

Tahun 1961 aku menjadi murid SMC1.  Ini kelas peralihan dari aliran Melayu ke aliran Inggeris.  Selama dua tahun dalam  kelas peralihan ini. Kami  semuanya  murid Melayu – lelaki dan perempuan.

Ada Hafiz, ada Zul, ada Ghafar, ada Maimon , Shariff , Maimunah, Haris,  Sharifah, Muharam, Arof, Jamaluddin, Aziz, Norisah dan Kamaruddin. Ini nama-nama yang masih aku ingat.  

Tahun 1963 aku masuk ke Standard Six . Kami  disatukan dalam kelas  bersama dengan murid-murid yang dari  asal masuk darjah 1  aliran Inggeris.

Dalam kelas ini ada murid Melayu, China dan India. Mereka  telah lima tahun belajar  bahasa Inggeris. Mereka lebih fasih berbanding dengan kami dari SMC.

Dalam kelas  Standard Six  ini ada Tan Soo.

Tapi sebelum kami disatukan dalam Darjah Enam  aku telah kenal Tan Soo lebih awal. Mustahil ada pelajar di GES yang tidak kenal Tan Soo. Dia berambut pendek, bergaun biru , kasut getah putih, stoking putih dan berbaju putih.

Tan Soo di lihat Tom Boy. Lincah dan amat peramah. Senang jadi kawan

‘ Aku jahat dari sekolah lagi...’ Tak Soo bersurah ketika kami bertemu untuk kali pertama satelah 55 tahun. Kami bertemu di Lighthouse Cafe Penang Road – dalam kawasan  Gereja Saint Joseph - pada Senin terakhir Januari 2023.

‘ Dalam hidup ini kita boleh jadi dua perkara.... teladan atau sempadan...’ Aku berfalsafah.

‘ Kau jadi apa.... ‘ Tan Soo bertanya.

‘ Aku  jadi sempadan... ramai Emak Bapak akan berkata... jangan jadi macam Hishamuddin Rais...dia  jahat... aku akhirnya jadi orang yang dilarang untuk diikuti oleh Emak dan Abah aku sendiri... ha ha ha ’ Aku dengan bangga ketawa.

‘ Dalam kereta tadi aku kira-kita... last time kita jumpa tahun 1968...di SMUJ... 55 tahun dulu... woit... lama betul... kau form five aku form 4 ... aku tercicir satu tahun...’ Tan Soo mengingatkan kembali  bagaimana dia gagal LCE dan mengulang sekali lagi.

‘ Kau ingat lagi kita ke Seremban naik land rover....Cik Gu Asli duduk depan ..kita di belakang .....untuk pertandingan syarahan....’ Tan Soo bernostalgia

Aku ingat lagi ketika kempen Bulan Bahasa Kebangsaan Tan Soo adalah wakil syarahan untuk murid bukan Melayu. Tan Soo  dan aku wakil  daerah Jelebu ke Peringkat Negeri.

‘ Tak kan aku lupa... aku  Johan Negeri Sembilan Tahun 1963....’  Aku juga bernostalgia.

‘ Kau ingat tak ....Mariani... Grace anak Veloo.... Lim Meng Lee... Rosmah Mansor... Wong.... ingat tak...’ Aku cuba mengembalikan  ingatan  60 puluh tahun dahulu.

‘  Yang lain aku ingat...... sapa Rosmah Mansor... ‘ Tan Soo  berkata.

Aku hairan kerana Tan Soo boleh melupakan Rosmah Mansor.

‘ Rosmah Mansor mana...’ Tan Soo bertanya  lagi.

‘ Laaaa.... yang ada tahi lalat besar di dagu  ... kau lupa ke.... Rosmah laaa yang kawin dengan Najib tu...’ Aku menjadi hairan kenapa Tan Soo boleh lupa akan kawan  darjah satu.

‘ Call Lim Meng Lee... call sekarang...’ Aku meminta.

Tan Soo mengambil telefon yang memanggil Lim Meng Lee.

‘ Hello...  how are you...Meng Lee... Isham sini.... kau ingatkan Tan Soo.. dia lupa Rosmah kawan  standard one dia... she can’t remember Rosmah Mansor.... ‘ Aku bersuara kuat kerana telefon terletak atas meja untuk membolehkan  kami bertiga berbual.

‘ Haiya.... Isham... how are you...  we forget many things....time passed....’ Meng Lee memberi alasan.

‘ You remember Hafiz.... ha ha ha.... you syiok dengan dia dulu.... ingat tak...’ Aku  melawak sambil mengingatkan kesah-kesah cinta kami di zaman murid sekolah.

‘ I remember him....’ Meng Lee ketawa.

‘ Dia... di Seremban...  you also in Seremban... ‘Aku cuba membakar cinta lama.
Tan Soo mengambil telefon dari meja dan berbual dengan Meng Lee.

‘ Where is Lee Keong... is he stlll in America..’ Tan Soo bertanya pada Meng Lee  tentang Lee Keong kawan lama kami.

‘ Dia ada kat Seremban laaa‘ Aku menjawab.

Aku lihat Tan Soo walau pun sudah  masuk tujuh siri tetapi tidak memakai kaca mata bila membaca Whatapps. Tidak seperti aku. Wajib ada kaca mata  dekat untuk membaca  dan kaca mata juah untuk melihat jauh.

‘ Your eyes sight  still good...’ Aku memuji Tan Soo.

‘ I have no problem... with eye sight...’ Tan Soo menerangkan.

‘ Kau umur nak lebih 70 cekap memandu... aku memandu pun tak pandai... ‘  

‘ You don’t drive...’ Tan Soo hairan aku tidak pandai memandu.

‘ Kereta apa pun aku tak kenal... untuk aku semua sama....’
 
Lalu aku bersurah  bagaimana hidup di London dan di Eropah  memaksa aku untuk tidak memerlukan kereta.

‘ Di Belgium dan di London aku ada basikal... di sana aku berani mengayuh....’ Aku menjelaskan.

Bila pulang dari berkelana selama 20 tahun aku merasa amat takut bila melihat kereta lalu lintas  di Kuala Lumpur. 

‘ Aku takut tengok kereta disini... aku juga ada niat  nak naik moto.. masa aku di universiti Malaya dulu aku ada moto.... tapi sekarang dah takut... tahun 70 aku dah merempit... kat flet aku sekarang  ada basikal tapi tak berani nak kayuh.... ‘ Aku mencurahkan perasaan.

‘ Sistem transport sana bagus...’ Tan Soo memuji sistem pengangkutan awam di Eropah.

‘ Kau pandu Grab.... wah... kau nak relak  memandu...tak nak jaga cucu.... dari pukul berapa ke pukul berapa kau bawa Grab...’ Aku bertanya.

‘ Jam 5 pagi sampai 5 petang....  long story Isham.... masa kecik aku susah. Dah tua pun aku susah...patut aku rehat sekarang....’ Suara Tan Soo berubah dari ceria menjadi sayu.

Aku memandang tepat pada muka Tan Soo. Aku telah mengenali lama sosok ini. Aku faham maksud susah yang dialami oleh Tan Soo.

Pada tahun 1967 ketika aku dalam tingkatan empat aku menginap di hostel. Di seberang jalan asrama  sekolah ialah kawasan gereja. Kawasan ini berpagar.  Agak jauh dari gereja ada  sederet rumah di tepi pagar tidak jauh dari asrama.  Salah satu rumah ini adalah rumah Tan Soo.

Pintu pagar masuk ke kawasan  rumah Tan Soo betul-betul di hadapan tangga asrama kami.

‘ Kau tahu aku anak angkat kan...’ Tan Soo memberi ingatan.

Perkara ini aku tahu. Malah ketika bersekolah Tan Soo bukan dalam keadaan yang lumayan.  Aku tahu hidup dia susah. 

Aku selalu ternampak Tan Soo akan keluar memotong getah dahulu sebelum masuk ke sekolah.

Dari tingkap hostel aku nampak Tan Soo memakai topi dan berbasikal. Pergi menoreh getah di kebun yang tidak jauh dari sekolah.

‘ Aku anak angkat....emak angkat aku suruh aku kerja.. tak kerja tak makan....’ Tan Soo mengingatkan kembali pada  zaman persekolahan kami.

‘ Aku tinggalkan Jelebu dan aku mahu lupakan semua.... I want to forget everything...  after exam finish... aku gi Singapura...kerja factory... setahun kerja di sana... lepas Singapura aku pindah ke Penang...kerja kilang leteronik.... sampai middle management level....’ Tan Soo bercerita.

‘ Kau ada pulang ke Jelebu...’ Aku bertanya.

‘ Ada tapi jarang...’

‘ Jangan lupakan Jelebu.... kau ingat  Missis Ali Abu Bakar.... dia ajar kita  history... form four dia ajar health science.....’  Aku cuba membawa sejarah ketika kami anak sekolah.

‘..Kau ingat tak page 210 ... buku health science ... ada gambar jantan betina telanjang... ‘ Aku ingatkan kembali  gambar bogel di muka surat 210. Ini gambar bogel  untuk kami mengenal jantina lelaki  dan perempuan.

‘ Kau ingat semua....aku tak ingat’ 

‘ Mustahil aku lupa perkara ini... sekarang aku sedang menulis biografi aku....aku kena ingat semua ini....’ Aku cuba memberi pencerahan.
Dengan telefon aku  mengambil gambar Tan Soo. Kemudian aku berselfie dengan Tan Soo. Teknologi membolehkan gambar di hantar dengan segera kepada Lee Keong, Missis Ali dan Lim Meng Lee.

‘ Aku hantar pada Missis Ali.. bagi  dia ingat dengan kau...’ 

‘ Sapa Missis Ali.... aku tak ingat...’

‘ Kau semua tak ingat... Rosmah pun tak ingat...’ Aku berlakon dengan  suara marah.

‘ Rosmah bini Najib  mana ada tahi lalat....’ Tan Soo mempersoalkan ingatan aku.

‘ Dia dah buang laaa.... ‘ Aku memberi penjelasan.

Tertiba ada bunyi  Whatapps masuk dalam telefon Tan Soo. Dia membuka.

‘ Ada gambar Standard Six 1962.... tengok ni ada gambar....’ Tan Soo menayangkan gambar dalam telefon. 

‘ Meng Lee cakap Rosmah  duduk barisan depan.... no tiga kiri dari cik gu.... dan Meng Lee di belakang Rosmah....’  Tan Soo membaca apa  yang ditulis oleh Meng Lee.

‘ Tu laaa aku cakap kau tak caya... Rosmah classmate kau di Jelebu....’ Aku memperkuatkan hujah.

Tertiba telefon aku berdering. Lee Keong memanggil.

‘ Aku dengan Tan Soo... di Penang Road... cafe dalam gereja... we are all okay....  Tan Soo banyak lupa... Rosmah pun dia lupa.. ha ha ha....she looks well.... dia jadi Grab driber...best driver in town...’ Aku berseloroh dengan Lee Keong dan menamatkan perbualan.

‘ Nanti kita buat reunion.... jumpa semua geng.... ajak Missis Ali sekali datang...’ Aku memberi cadangan.

‘ Beri tahu awal....I need to plan early...’ Tan Soo merayu.

‘ Penang duduk dimana... ‘ Aku mengubah cerita.

‘  Duduk di Farlin... aku  kahwin... anak tiga ... dua jantan... satu perempuan... cucu seorang...’ Tan  Soo bercerita.

‘ Abang angkat kau Peter yang pandai main gitar tu kat mana ...’

‘ Dia dah meninggal dunia... hidup aku ni susah... masa sekolah susah .... dah tua pun susah... dulu kahwin tapi bercerai...’  Suara sayu dari Tan Soo.

‘ Kau ada  isteri... ‘ Tan Soo senyum bertanya.

‘ Aku solo... aku hidup dengan dua ekor anjing... yang setia pada aku... ha ha ha. .. ‘ Aku ketawa.

‘ Aku dah 70 tahun ... terpaksa  jadi pemandu Grab... I’ve no choice.... all my  EPF money gone....’ Tan Soo  bersuara sedih,

Aku tak berani bersuara. Mata aku memandang pada menara gereja. 

‘ Aku kena scam dalam internet... all my money.... middle management salary... duit  EPF gone...’ Tan Soo memandang muka aku.

Aku tak berani bersuara. Aku tidak berani bertanya. Aku takut untuk mendengar apa yang akan keluar dari mulut kawan aku yang 55 tahun tidak aku temui.

Aku bangun membayar bil. Kemudian kami bergerak. Di tepi pagar gereja kami berpisah. Tan Soo menuju ke  tempat letak kereta untuk kembali menjadi pemandu Grab. Aku menapak  berjalan ke hotel.

‘ Take care.... bye... keep in touch...’ Kata akhir dari aku.

‘ You too Isham....’ Tan Soo bersuara dan melintas jalan.

Kami berpisah di atas  jalan Penang Road depan Gereja Saint Joseph.

EPILOK 1
Esoknya aku terima Whatapps dari Missis Ali satelah  dia melihat gambar aku dan Tan Soo : Good for you She has aged well Please give her my regards How is she? When are we catching up? Have a great week ahead.

EPILOK 2 
Esoknya aku hantar gambar aku bersama Tak Tak dan Ezi. Ini tanda kenangan aku dengan Tan Soo kawan baik aku, Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/02/02/55-tahun-kemudian



 





Tiada ulasan: