Selasa, 21 Februari 2023

EKONOMI KECUT - ADA BAHAYA


Pengusaha biskut raya tak tahan kos bahan mentah naik

ADA yang hentikan tempahan dan berkira-kira sama ada akan naikkan harga atau jual dalam kuantiti lebih kecil.

Kenaikan harga bahan mentah sehingga 50% menyebabkan pengusaha biskut raya terpaksa menghentikan tempahan dan tidak akan membuka jualan bagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Pengusaha yang mahu meneruskan jualan pula berkira-kira sama ada akan menaikkan harga atau menghasilkan produk biskut raya dengan kuantiti lebih kecil.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kenaikan harga bahan mentah melibatkan produk mentega, tepung dan telur itu membebankan mereka.

Salah seorang pengusaha Nor Zaidah Sabri, 47 berkata beliau terpaksa menghentikan tempahan biskut raya tahun ini kerana tidak dapat menanggung lagi kenaikan kos itu.

“Saya mungkin tidak buat kuih raya kerana kenaikan harga yang terlalu bukan satu barang tapi boleh kata hampir semua - mentega, tepung, telur termasuk balang kuih pun naik harga.

“Jadi saya rasa kalau saya jual macam tak berbaloilah. Berapa harga yang kita nak jual, dengan tenaga lagi sebab operasi dalam skala kecil,” katanya.

Jelasnya bahan mentah bermutu tinggi itu tidak dapat dibeli dalam kuantiti kecil dengan harga rendah seperti pengilang yang dapat menikmati harga pukal.

“Jadi barang biasa kita beli bukan yang macam orang yang ada kilang. Kalau saya naikkan harga terlalu tinggi pun bimbang juga tak ada orang yang nak beli,” katanya.

Pengusaha seperti Nor Zaidah dijangka berdepan kenaikan berterusan kos bahan mentah selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka inflasi kekal tinggi pada tahun ini.

Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata tekanan kos dan permintaan yang berlarutan menyumbang kepada kenaikan inflasi negara.

Trend kenaikan harga itu diakui pasar raya besar seperti Mydin yang mendapati harga bahan mentah peniaga makanan naik antara 10% hingga 15% sejak 2020.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Ameer Ali Mydin berkata harga bahan asas utama makanan itu tidak turun malah tidak juga menunjukkan trend berkurangan sejak tahun itu.

Mengulas trend itu Nor Zaidah yang mengusahakan Ida Sweetbakes sejak 10 tahun lalu berkata biskutnya dijual dengan harga sekitar RM25 hingga RM30 bagi 50 keping mengikut jenis.

Nor Zaidah menjangka perlu menaikkan harga sekitar RM5 hingga RM10 bagi setiap balang biskut jika mahu meneruskan jualan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Sebab itu saya rasa saya tak dapat nak buat biskut raya. Contohnya harga mentega bagi 4.8 kg sekarang sudah cecah RM79 dan saya dengar harganya akan naik lagi.

“Itu belum termasuk bekalan telur yang sangat susah untuk dapat sekarang. Peniaga perlu kuantiti yang banyak dan untuk buat kuih ini perlu telur yang segar baru kuih jadi,” katanya.

Beliau seterusnya menjangka akan menghasilkan kek jeli sahaja bagi tahun ini manakala biskut pula hanya akan dibuat untuk memenuhi permintaan keluarga terdekat sahaja.

Seorang lagi pengusaha Umi Khalsoom Razlan berkata beliau berdepan dua pilihan sama ada mengurangkan kuantiti atau menaikkan harga biskut antara RM5 ke RM10.

Umi, 50 yang sudah berbelas tahun membuat biskut raya berkata kenaikan bahan mentah yang mencecah sehingga hampir 50% benar-benar membebankan pengusaha kecil sepertinya.

Malah beliau bimbang harga bahan mentah itu akan dinaikkan lagi dalam tempoh dua minggu sebelum bulan puasa.

“Fenomena setiap tahun trendnya sama. Sebelum puasa pembekal dah naikkan harga bahan mentah. Contohnya harga satu bata mentega dulu dalam RM8 lebih sekarang dah naik RM13.50.

“Sebelum ini biasanya dua minggu sebelum puasa harga mentah akan naik lagi cuma kita tak tahu naik itu sampai berapa untuk tahun ini.

“Jadi situasi  ini yang buat kita sakit sangat sebab biasanya kita sudah terima tempahan dan bila harga naik lagi kita tak ada pilihan,” katanya.

Beliau berkata ketika ini  menjual harga biskutnya bermula daripada harga RM29 bagi 45 hingga 50 keping dan harga itu tidak boleh dikurangkan lagi.

“Biskut kita ini buatan tangan bukan produk kilang dan bahan mentah adalah premium. Pelanggan biasa tetap akan faham sebab apa kita naikkan harga sebab kualiti biskut yang kita tawarkan.

“Tapi masa sama kita nak semua orang dapat merasa biskut kita jadi harga itu kena jadi harga yang boleh dibeli.

“Pilihan yang kita ada untuk kekalkan harga ialah kurangkan kuantiti biskut mungkin dalam 30 hingga 35 biji sahaja,” katanya.


Seorang pengusaha kuih tart di Kuala Terengganu, Tengku Lijah Tengku Chik juga mengakui peniaga kecil sepertinya berdepan dengan kos kenaikan harga bahan mentah yang tidak masuk akal.

Tengku Lijah, 54 bagaimanapun tidak akan menaikkan harga biskutnya kerana ketika ini pelanggan tetap mampu membeli dengan harga RM20 bagi setiap balang 22 biji kuih.

“Biarpun dengan harga barang naik macam mentega tepung, minyak sapi harga yang dijual tetap sama,” katanya yang tetap menghasilkan kuih bersaiz besar dengan inti penuh.

Tengku Lijah berkata beliau sering ditanya pelanggan yang pelik beliau masih menjual dengan harga murah biarpun harga bahan mentah kini naik.

Ujarnya, beliau tidak tidak terlalu memikirkan keuntungan demi minatnya membuat kuih.

“Untung itu memang tidak seberapa tapi lebih kepada kepuasan sebab saya bermula pun daripada hobi dan kemudiannya mula secara serius semasa dua tahun lepas.

“Saya juga fikir di Terengganu kalau nak jual mahal pun takut pengguna terbeban jadi saya kekalkan sahaja harga itu,” katanya. – 21 Februari, 2023.

WOIT

INI NAMAMYA

EKONOMI JADI

KECUT

AMIN

NIAGA TUTUP

BARANG MAHAL

KOS TINGGI

AMIN

PEMBELI TAK ADA

DUIT NAK BELI

AMIN

INI KRISIS AKAN

PANJANG LAMA

AMIN

TAHUN 1939

ZAMAN MELESET

YG MEMANGKIN

PERANG  DUNIA

KE DUA

AMIN

YANG KITA  ALAMI

SEDANG DIALAMI

DI SELURUH DUNIA

KHALAS

Tiada ulasan: