Rabu, 15 Februari 2023

KEDAI MAKAN DI SIMPANG JALAN



KEDAI MAKAN

 DI SIMPANG JALAN


Dua minggu dulu aku singgah  di Taiping dalam perjalanan pulang  dari Pulau Pinang. Taiping ini amat spesial. Cerita dan sejarah aku dan Taiping  sambung bersambung.

Kali ini aku wajib singgah di Taiping. Ada janji aku dengan Taiping yang masih belum selesai. Ada hutang yang masih belum dibayar.

Di zaman sekolah menengah di Jelebu  aku telah diberitahu oleh Mister Tay – guru Ilmu Alam – bahawa Jelebu adalah daerah terpanas  di Malaysia. Manakala  Taiping wilayah paling basah di Malaysia.

Kali pertama aku sampai ke Taiping dalam tahun 1969. Kemudian dalam tahun  1970 -  hampir setiap  hari Selasa aku datang ke Taiping.  Aku datang dari Kuala Kangsar untuk pergi ke Burma Pool di bawah  kaki Bukit Larut dalam Taman Tasik Taiping.

Berenang ini  aktiviti Hari Selasa - aktiviti  Kelab Renang MCKK.  Ketika itu kolam renang MCKK pecah maka gantinya kami berenang di Burma Pool  Taiping.

Kemudian  tahun 2001 aku ditahan di bawah ISA – Akta Keselamatan Dalam Negeri. Aku dihantar ke KEMTA ( Kem Tahanan Kamunting). Selama dua tahun aku disana. 

Kem Kamunting ini hanya 6 batu jauhnya dari pekan Taiping.

Kereta   yang aku tumpang  dari Pulau Pinang di pandu oleh Mus. Kereta mengelencong masuk  ke tol Kamunting untuk menuju ke  Taiping. Disini  aku teringat   kem tahanan KEMTA.

Tempat jatuh lagi di kenang inikan pula tempat dikurung.

Melintas jalan arah ke Masjid Kamunting aku teringat tahun pertama di KEMTA aku menginap dalam satu sel bersama Tian Chua. Tahun ke dua baru aku dan Tian  di satukan dalam satu Blok bersama  Lokman Adam, Ezam Mat Nor, Ustaz Badrul dan Pak Abu. Kami duduk dalam Blok  B2  KEMTA.
 
Dalam kem tahanan aku  banyak masa. Selain dari membaca, berfikir dan berangan-angan aku juga bersukan.  

Paling aktif dan cekap  bersukan ialah Ustaz Badrul.  Ustaz ini tidak merokok. Tubuh badan segak. Ustaz Badrul  boleh melompat  memusingkan badan dan kembali berdiri tegak. 

 Lokman Adam juga bersukan. Dia cuba menurunkan berat yang agak menonjol. Aku bersukan untuk membunuh masa.

Aku ikut Ustaz Badrul main badminton. Sambil ketawa sambil kejar mengejar kami menghabiskan masa di waktu petang sebelum masuk kembali ke  sel yang akan dikunci jam 7.

Blok B2 ini agak luas. Seluas satu padang bola. Ada dua bangunan. Satu pejabat warden yang menjaga kami. Satu lagi tempat tidur kami. 

Diantara dua  bangunan  ini ada tanah lapang dan  satu gelanggang  badminton.

Saban petang aku memukul bulu tangkis dengan  Ustaz Badrul. Aku bermain tanpa teknik. Aku bukan Tan Aik Mong atau Misbun Sidek. Kami bermain untuk mengeluarkan peluh.  Sambil memukul bulu tangkis sambil berbual. Kejar mengejar sambil ketawa. Seronok – memang seronok hingga aku terlupa aku dalam penjara.


Tertiba satu pagi jari telunjuk kiri aku bengkak. Aku merasa sakit. Apakah aku telah digigit lipan ketika tidur. Sehari berlalu sakit tidak berkurangan.

Jaswan Singh Pegawai Pembantu  Hospital KEMTA mencadangkan aku  diperiksa di  Hospital Taiping. Aku agak risau jari aku makin membengkak.

‘ You have tennis elbow... ‘  Jaswan Singh satelah  dia memeriksa lengan aku.

‘ Saya tak main tennis.... bukan elbow yang sakit tapi jari....’ Aku  menjelaskan.

‘  The name only... you sakit  di lengan... yang bengkak jari... this is call tennis elbow... you pukul bulu tak betul.... ‘ Jaswan ketawa.

‘ Mana aku ada  bulu disini...’ aku terbarai ketawa.

Selasa pagi jam 10 aku dipanggil oleh Cik Gu  untuk ke hospital. Cik Gu ini adalah istilah anak muda lulusan Pusat Serenti untuk para warder. 

Terkurung berbulan-bulan dapat keluar ke hospital ini satu perkara yang amat menggembirakan. Aku dapat melihat dunia. Melihat  kereta, bas, pejalan kaki, kedai dan bertukar angin. Menyeronokkan.

Hospital di pinggir pekan Taiping. Dalam van penjara aku digari. Mustahil dapat aku melarikan diri  dengan pakaian orang tahanan – seluar jerut biru, baju putih dan selipar Jepun.

Kereta yang dipandu oleh Mus melintas pekan Kamunting. Lalu depan  Stesen Bas Kamunting. Lalu depan Masjid Kamunting. Melintas depan kawasan perumahan dan masuk ke kawasan askar.

Taiping  pekan warisan. Banyak bangunan lama peninggalan Inggeris.  Mata aku terbuka luas. Ingatan aku dalam van penjara kembali segar.

 Van penjara  berhenti di lampu trafik. Kami berhenti di simpang T – menunggu lampu hijau. Aku menoleh ke luar sebelah kiri.  Aku nampak sebuah kedai makan Melayu.   Bila lampu hijau menyala van penjara meluncur  masuk ke perkarangan hospital.

Aku di beri rawatan oleh Misi  jururawat yang agak muda. Tangan kiri aku  hingga ke siku di rendam dalam lilin cair. Ini terapi  saraf akibat dari main  badminton tanpa  teknik yang betul.

‘ Ikut terus ke depan.... belok kiri... kita akan jumpa hospital....’ Aku berkata kepada Mus  yang belum  arif dengan jalan di Taiping.

‘ Kau ingat ke jalan nya.... ‘ Mus bertanya.

‘ Mustahil aku lupa....’ Aku memberi keyakinan arah jalan.

Mustahil aku akan melupakan jalan dari Kamunting ke Hospital Taiping. Aku rasa hampir tiga bulan – 12  kali – aku datang ke Pusat Terapi Hospital Taiping untuk mendapatkan  rawatan tennis  elbow. 

Kereta yang dipandu oleh Mus sampai ke lampu jalan di persimpangan T. Lampu merah. Kereta berhenti. Aku memandang ke kiri. Aku tersenyum puas . Kedai makan simpang jalan ini masih wujud.

Hutang aku akan dapat diselesaikan.

 Restoran Ridhwan sedang rancak melayan pelanggan.

Ketika dalam van penjara -  setiap kali aku  sampai ke  simpang jalan ini aku akan menoleh ke dalam kedai makan. 

Kali ini aku bukan dalam van penjara. Aku menoleh ke kiri. Aku ternampak  pelanggan yang ramai dalam kedai. Di kanan aku Mus sedang memandu.

Aku teringat  makanan dalam trey plastik KEMTA. Ada nasi ,  sesenduk sayur, sekeping ikan masin  yang sampai  dua kali seminggu.  Hari Ahad ada seketul daging.  Hari Rabu telor , Khamis ikan, Jumaat dan Senin ikan masin.

Ketika dalam  van penjara aku berangan-angan satu masa nanti aku akan  datang ke kedai makan ini. Dalam hati aku  berjanji satu hari ini bila aku telah bebas aku  akan datang makan disini.

Senin 30 Januari 2023 aku sampai.

Kereta kami membelok ke kiri dan mencari  bertapak.

Aku  menapak  masuk  dari pintu belakang  dan terus menuju ke meja lauk pauk. Ini bukan lauk KEMTA atau Penjara Taiping Ada gulai ikan. Ada gulai ayam. Ada ulam, Ada telor masin rebus. Ada  dua jenis ikan goreng. Ada sambal ikan.  Ini kedai makan nasi campur masakan Melayu.

Aku ambil ikan bawal masak kicap. Aku ambil ulam –  daun salat dan timun. Ada satu daun aku ambil tapi aku tak mengenali daun ulam ini.
‘ Daun apa ni  kak....’ Aku bertanya pada  Kak Diah wanita 40’an yang aku rasa tuan kedai makan ini.

‘  Daun tenggek burung.... ‘ Jawabnya ringkas.

 ‘ Ni apa ni... gulai apa...’ Aku bertanya lagi.

‘  Gulai pisang emas....’ Kak Diah menjawab.

Aku tak makan nasi. Aku  makan gulai pisang dengan ikan bawal. Aku ambil  semua ulam. Hinggakan dulang ulam kosong.

Sesudah makan aku pergi ke meja duit bukan untuk membayar tapi melihat  barangan dalam balang plastik  yang ada  tersusun di atas meja.

‘ Ni apa ni Kak...’ Aku bertanya.

‘ Sambal lada bilis....’

‘ Dah lama meniaga.... saya pernah nampak kedai ni ... lama dulu ..... tahun 2001 ...ke 2002... tapi tak pernah singgah....’ Aku bersurah.

‘ Woit... lama tu... kami ambil tahun 2009... dulu orang lain punya...’ Kakak memberi penerangan.

‘ Sewa berapa Kak...’ Aku cuba mencungkil.

‘ Seribu lebih... ni bangunan milik Jabatan Agama Taiping...kami sewa....’ Kakak memberi penjelasan.

‘ Saya dulu selalu nampak kedai ni.... saya dalam van penjara....Kamunting... masa pergi hospital...’ Aku bercerita lagi.

‘ Kamunting mana...’

‘ Tahanan Kamunting dua tahun .... tiga hari  di penjara Taiping...’ Aku menyambung cerita.

‘ Kes apa .. ‘ Kakak bertanya,

‘ Kes politik...’ Jawapan aku memberhentikan perbualan.

Aku duduk di bahagian depan  kedai dan boleh  memandang ke hospital. Di kawasan belakang restoran  masih ramai pelanggan.

Mata aku mengarah ke Hospital Taiping. Sayu juga hati aku. Aku teringat dengan Misi Jururawat yang baik hati yang merawat aku. Di mana  agaknya  dia  kini bertugas. 

Dialah yang  menyediakan lilin cair untuk aku merendam tangan. Pasti dia telah berumah tangga.  Ini kesah dua puluh tahun dulu.

Aku membayar bil makan dan membeli satu balang sambal bilis.

Dalam kereta aku teringat dengan popiah  basah Taiping. Lalu Mus  bertanya dengan  Lebai Google di mana kedai popiah Taiping. Kereta   berpusing mencari Kedai No 1 di kawasan pasar  yang dikatakan oleh Google ada menjual popiah.

‘  Tiga ringgit untuk lima popiah... ‘ aku memberi tahu Mus yang duduk menunggu dalam kereta.

‘ Lepas  ni ke mana....’ Mus bertanya.

‘ Di Taiping  kalau tak ke warung cendol tak sah lawatan kita... ‘ Aku berfatwa.

Lalu kami bertanya sekali lagi dengan Lebai Google. 

Kami berlegar mencari kedai menjual cendol.  Cendol amat terkenal di Taiping,  Ada beberapa buah kedai. Akhirnya bertemu warung kecil. Ini pilihan aku. Aku lihat  ramai juga pelanggan.

Kami memesan  Cendol Biasa. Enak dan terasa santan dan gula Melakanya.
‘ Lebih sedap dari Cendol Biasa   yang aku minum di  Tanjung Karang...’ Komen aku kepada Mus.

‘ Lepas cendol ni kita ke Taman Tasik... sana aku mandi ... berenang.. nak tunjuk tempat itu pada kau...’ 

Kereta bergerak hingga sampai ke depan Penjara Taiping.

‘ Aku dah tidur 3 malam dengan  Tian dalam jil ni.... sebelum  aku di bebaskan dari ISA... bukan semua orang dapat masuk penjara Taiping... hanya yang terpilih saje....’ Aku dengan bangga bercerita  pada Mus.

Penjara ini cukup klasik. Didirikan pada tahun 1879. Ini cara kolonial Inggeris mengawal samseng China yang bergaduh di lombong bijih timah.

Dari belakang penjara kereta kami menyusur dan masuk ke Taman Tasik.  Kami berlegar dalam kereta. Kami melintas kawasan perkuburan Perang Dunia Ke Dua – makam kolonial.

‘ Ha... itu  tempat aku berenang tiap hari Selasa tahun 1970 ... sejuk gila... lepas mandi pergi medan selera.. makan satay.... 5 sen secucuk..masa tu satay murah... ada junior yang ambil peluang  isap rokok.... aku yang paling senior buat tak nampak....’ Aku bercerita sejarah  ketika aku jadi Budak Koleq.

Kereta diberhentikan. Kami  berjalan di bawah pokok-pokok tua yang kini menjadi satu tarikan di taman Tasik Taiping.  Aku nampak ramai pelancong bersiar mengambil angin  di tepi tasik.

Ketika berjalan di tepi tasik di bawah Pokok Hujan yang berumur ratusan tahun ini aku teringat kembali kata-kata bijak Confusius :  Masa menanam pokok terbaik ialah dua puluh tahun dahulu. Masa ke dua terbaik ialah esok.

Satelah penat berjalan aku bersuara ‘... Ok kami nak  pulang ... dan selamat tinggal Taiping....’ Aku bercakap kepada Tasik.

Kereta kami bergerak menuju ke Kuala Kangsar ikut jalan lama. Dalam  kepala aku teringat pada Taiping dan sejarah peninggalan  Inggeris.

Aku  terfikir : Inggeris meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA ). Inggeris membina Kem Tahanan Kamunting. Inggeris mendirikan Penjara Taiping. Inggeris membuka hutan dan membina Taman Tasik di kaki Bukit Larut. Inggeris membina Burma pool.

Aduh ! Semuanya  peninggalan Inggeris. Malah MCKK tempat aku belajar pun peninggalan  Inggeris.

Ratusan tahun dulu Inggeris telah menanam Pokok Hujan. Mengikut Confusius hari ke dua terbaik menanam pokok ialah esok.

 Aku juga berniat  ingin menanam sesuatu. Aku mahu menanam ingatan untuk generasi akan datang. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/02/15/kedai-makan-di-simpang-jalan



5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bro... Mohon penjelasan. Yang rawat tu misi atau Ahli fisiotrafi?

Tanpa Nama berkata...

Orang Kita susah nak hargai sejarah walau sejarah negara, memang lah inggeris buat semua, jalan bangunkan keretapi elektrik semua lah, memang penjajah tetapi kemudahan awam ini tidak terpelihara, kita buat bangunkan barau pun bocor runtuh bumbung, tapi bangunkan inggeris Masih wujud kuat pulak ITU, tapak sejarah banyak ketinggalan, ITU tak apa, pusat kunjungan orang pun tak boleh jaga, tasik penuh sampah sarap, rumput tak jaga, entah apa lah nak cakap, setiap Kali pergi Taman tasik Taiping penuh sampah sarap, landscaping pun huru hara, fauna flora entah ke laut, Cuba kaji cari orang bijak buat kerja, jaga Pokok beratus tahun bukan senang tetapi silap.orang kita sedih lah, muzium terawalo negara sama jugak, tak ada bahan baru, semua cerita ikut pemimpin politik negara terus dengan agama bangsa begitu kah kah ubah

Tanpa Nama berkata...

wisma larut. bismillah pun baik kedai 100 tahun. train station pun baik. pilot tt mesti didenda ketuk ketampi. kilang kopi pun tak dibawanya. tapi mungkin tt singgah tiada rancangan. urusan penting sahaja. semoga selamat urusan tiada gendala.

faizal berkata...

Burmese pool

Tanpa Nama berkata...

From Taiping With Love kata Arwah Rashid Asmawi