Jumaat, 17 Februari 2023

KENTUT DAN BERAK LEMBU


KENTUT DAN 

BERAK LEMBU


Jangan ketawa kalau saya  nyatakan disini bahawa kentut, sendawa dan berak lembu adalah salah satu penyebab pemanasan global. 

Bunyinya lawak tapi ini adalah fakta.

Saya faham kenapa apa  yang saya tulis ini dibaca lawak. Pertama  jika memandang di keliling kampung kita nampak  7 ekor lembu milik Lebai  Ramli merayau dalam sawah. Atau  atau  5 ekor lembu  Gurbak Singh yang susunya di jual untuk orang sekampung.

Apakah kentut lembu-lembu  ini mengakibatkan  dunia semakin panas  , cuaca berubah dan mengakibat Taman Seri Muda di landa banjir. 

Jawabnya ada betul ada salah.

Lembu-lembu dalam kampung  di negara kita ini amat kecil jumlahnya. Ianya  tidak ramai berbanding dengan ladang lembu daging di Argentina. Di Argentina   ada ratusan ribu lembu meragut dalam satu padang rumput.

Atau, ada   ribuan lembu susu di Australia, New Zealand atau di Belanda atau di United Kingdom.  Lembu ini bukan sekandang. Ini bukan 5 ekor  lembu susu Gurbak Singh.  Ini kilang susu  untuk  pasaran dunia.

Lembu  seperti kambing dan zirafah mengunyah daun dan rumput.  Proses penghadaman  rumput yang dikunyah oleh lembu ini melahirkan gas karbon dan methane.

Senang cakap : bila lembu sendawa, terberak atau terkentut gas methane terlepas masuk ke udara.

Fakta kajian menunjukkan industri lembu – kentut dan berak  lembu - menyumbang 14.5% jumlah gas yang mewujudkan kepanasan rumah hijau. Gas ini lebih  25% lebih kuat dalam hal pemanasan dari karbon dioksida.

Satu lagi penyumbang kepada gas pemanasan global ialah penanaman padi di Asia Tenggara. Ini termasuk juga Jelapang Padi Malaysia di Kedah.  Industri padi  menyumbang 10% pengeluaran methane dunia.

Pembakaran jerami dan sekam padi mengeluarkan gas. Cara pembajaan  yang menggunakan baja nitrogen mengeluarkan  gas nitrous oxide yang masuk ke ruang udara.

 Hari ini 50 bilion tan karbon masuk ke atmosfera semenjak 50 tahun ini. 

Secara natural karbon muncul dari tumbuhan. Proses fotosintesis di mana cahaya mata hari, karbon dan air mewujudkan oxygen untuk menjadi  bahan makan kepada  tumbuhan. Bahan-bahan dari tumbuhan ini menjadi makanan  untuk umat manusia.

Dari mana tertiba datang 50 bilion tan karbon hingga merosakkan  imbangan karbon  di dunia ini ? Bagaimana karbon bertambah ?

Hutan ditebang untuk pertanian. Ini pemusnahan   gudang oxygen.  Proses fotosintesis tidak lagi seimbang bila hutan berkurangan.

Matahari membakar permukaan bumi  yang kini tanpa pokok dan hutan.  Laut jadi panas dan berwap. Air laut yang panas mencairkan salji. 

Dua ratus tahun dahulu sebelum Revolusi Industri bermula salji di Kutub Utara, Selatan dan di pergunungan berperanan  menerima pancaran sinar  dan  menyerap cahaya matahari. Proses ini berjalan dengan baik dan seimbang. 

Satu ketika dulu permafrost – lapisan air beku yang nipis wujud di Siberia, di Greenland, di Canada dan di Alaska.  Kini telah cair dan lupus.
Ini suasana Goldilocks. Ini ketika iklim dunia dan atmosfera  tidak diganggu gugat.

Ganggu gugat ini pertama datang bila  kereta sampai. Asap kereta muncul hasil dari pembakaran minyak. Pembakaran  tenaga fosil – ini   memanaskan lagi atmosfera.

Asap kereta naik ke atmosfera. Bayangkan berapa bilion kereta bergerak saban hari. Bayangkan berapa  tan gas naik ke udara setiap hari tanpa henti-henti.

Manakala di udara  pembakaran minyak kapal terbang  menambah lagi jumlah karbon.  

Untuk menjana kuasa elektrik arang batu telah di bakar. Arang batu adalah tenaga fosil. Minyak petrol  ialah tenaga fosil yang cair manakala arang batu  adalah  tenaga fosil yang beku.

Pembakaran tenaga fosil ini   menyumbang 2/3 dari 50 bilion  tan gas karbon.  

Saya perlu mengulang  menulis perkara yang sama beberapa kali. Saya terus  berleter menyatakan  dampak atau kesan dari perubahan iklim ini kepada pembaca.

Air laut naik, pulau tenggelam, panas terik boleh membakar hutan, malapetaka banjir datang melanda. Ini semua hasil pemanasan global.

Lihat pengalaman banjir tahun lalu di Pakistan. Air belum surut dan belum  kering tertiba Pakistan di serang  penyakit  cholera. Ribuan mati kerana tenggelam dan puluhan mati  kerana air minuman kotor.

Kita sendiri  telah menyaksikan Taman Sri Muda Tenggelam. Kita telah melihat mayat diangkat keluar dari  tanah runtuh di Batang Kali. Semua ini adalah  kesan perubahan iklim yang wajib dijadikan pengajaran.

Dari kajian para saintis  karbon  yang diwujudkan sekarang   hasil dari tindak tanduk manusia adalah  250 kali ganda lebih cepat berbanding dari zaman air batu 25,000 tahun dahulu.

Selain dari banjir  dan runtuh rantah – ianya juga  akan menimbulkan masalah kekurangan makanan. Sawah padi atau ladang gandum tenggelam bila banjir melanda.

Bila kemarau sampai panen gagal. Makanan tidak cukup. Bila makanan tidak cukup masalah politik dan sosial muncul. Kerajaan jatuh. Masyarakat kacau bilau. 

Banjir dan kemarau  menimbulkan keadaan socio-politik  yang menakutkan.

Somalia, Sudan dan Ethiopia adalah contoh terbaik di mana pemanasan global  dan perubahan iklim  menimbulkan masalah sosial dan politik.

Di wilayah-wilayah dalam negara Afrika ini  kumpulan  ekstremis agama lahir. Kelaparan dan kebuluran menjadi tangguk  yang baik untuk merekrut tenaga untuk  melakukan keganasan.

Saya telah menulis penyebab pemanasan global.  Saya telah menulis kesan perubahan iklim  terhadap kita semua,.  Saya telah menulis bahawa kita dalam keadaan amat bahaya.

Dalam masa 3 tahun ini jika kita tidak melakukan atau dapat menahan kenaikan 2C suhu bumi ini maka kita akan menjuju kiamat.

Ini tajuk berita dari laporan Associated Press pada 16/2/2023 : Rising seas are a ‘death sentence’ for some nations and will shake ‘mega-cities on every continent,’ UN chief says.

“Our world is hurtling past the 1.5-degree warming limit that a livable future requires, ...........” Guterres said. The consequences are unthinkable, Guterres said.

Ini isi berita : ‘ Dunia kita semakin melepasi had pemanasan 1.5 darjah yang diperlukan oleh masa depan yang membolehkan manusia hidup dalam dunia , dan dengan dasar semasa, semakin meningkat ke arah 2.8 darjah - hukuman mati bagi negara yang terdedah," Akibatnya tidak dapat difikirkan, kata Guterres

Ini amaran Antonio Guterres Setia Usaha Agong Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). Ini bukan kali pertama Guterres berkata perkara yang sama. 

Dalam Perdiangan COP26 di Sham el-Sheikh di Mesir pada 6-18 November 2022 yang lalu Ketua PBB ini   telah memberi amaran yang sama

Sama seperti saya Setia Usaha PBB ini terus mengulang ingatan dan memberi  amaran agar kita semua – umat manusia - sedar bahawa dari sekarang kita wajib bertindak dan melakukan sesuatu.

Kata-kata bijak  berfalsafah dari  Chief Seattle ( 1766-1866) suku bangsa Suquamish Dayak Amerika   wajib menjadi pegangan kita. 

Chief Seattle berkata : Kita bukan mewarisi bumi ini – kita meminjam dari anak cucuk kita.

Hishamuddin Rais ingin menambah : Kita hanya ada satu bumi yang  kita pinjam  justeru jagalah baik-baik.

Saya menulis dan menggambarkan perubahan iklim ini yang akan membawa dunia ke alam yang maha gelap.

 Banjir dan kemarau disana sini. Binatang ternakan mati, ayam lembu itik mati tak cukup air. Tumbuhan , kayu kayan,  ulat serangga makin pupus. Kebakaran dan keruntuhan di sana sini. Penyakit  berjangkit merebak luas kerana air kotor atau kerana tidak berair. 

Kota, pekan , kampung dan pulau mula tenggelam. Projek  seperti menambak pantai  di Pulau Pinang dan projek  Forest City di Johor akan tenggelam.  

Apakah tidak ada jalan keluar ?

Untuk saya pasti ada jalan keluar kerana kita manusia. Manusia ada  fikiran. Sebelum berfikir untuk bertindak perlu ada pencerahan. Perlu faham apa yang sedang dihadapi.

Apa yang sedang saya lakukan ini ialah memberi pencerahan. Memberi kesedaran  kepada seramai yang mungkin. Tujuannya untuk meminta  pembaca sedar agar mengambil  tindakan.

Awalnya pada hemat saya secara individu – secara bersendirian – kita boleh bertindak.

Pertama : ganti bal lampu biasa rumah kita  ke  lampu kalimantang yang canggih. Ini menyelamat 150 pound karbon setahun.

Ke dua : kurangkan berkereta. Mana boleh   naik bas kita naik bas  atau LRT. Budayakan penggunaan  pengangkutan awam. Pengangkutan awam bas, LRT bukan hanya untuk Bangla.

 Jika boleh berbasikal kita berbasikal. Mengurang karbon dan menambah sihat.

Ketiga : selalu pastikan tayar kereta kita  dalam keadaan baik. Tayar yang baik mengurangkan pembakaran petrol.

Ke empat : Kurangkan mandi air panas. Mandi air sejuk. Kurang  pembakaran gas.

Ke lima : Kurangkan mengguna beg plastik. Ke pasar bawa beg sendiri. Bawa mangkuk tingkat sendiri. Bawa uncang sendiri.

Ke enam : Nampak tanah lapang tanam pokok. Bila melintas kawasan hutan taburkan benih durian, rambutan atau benih apa saja di tepi jalan raya ketika memandu pulang ke kampung dan   agar pokok-pokok tumbuh.

Apa yang saya tulis ini mungkin dilihat romantik. Membaling biji ke hutan akan dianggap kurang akal. 

Kalau Hishamuddin Rais  menyembah  pokok besar di tepi jalan seorang diri saya akan dianggap gila. Tapi kalau ribuan dan jutaan orang berbuat sama maka ianya dipanggil agama.

Apakah ini sahaja  akan dapat menyelesaikan masalah perubahan iklim. Kalau ini sahaja semua boleh kau tim – sap sap sui. Enteng dan mudah.

Sabar dulu ini hanya permulaan. Ini kuliah 101.  Ada lagi tahap yang lebih tinggi. Tahap kolektif kita sesama kita. Sila tunggu. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/428584






Tiada ulasan: