Khamis, 16 Mac 2023

MAT REMPIT DAN POLITIKUS


MAT REMPIT 

DAN 

POLITIKUS


Saya amat yakin Mat Rempit dan Politikus  dalam Malaysia ini sama. Tidak ada beza antara Politikus dari  PKR, BERSATU, PAS, United Malaya National Organisation atau pun DAP dengan Mat Rempit. Semua sama. 

Mat Rempit dan Politikus  adalah sama? 

Apakah tulisan  ini berniat untuk menghina Mat Rempit dengan menyamakan mereka dengan sepesi  yang di kenali sebagai Politikus.

Sabar dahulu. Ini bukan satu penghinaan. Ini hanya sebagai contoh perbandingan. Justeru jangan gopoh. Saya ada hujah yang tuntas.

Kenyataan saya ini  saya pasak dengan hujah yang munasabah. Hujah saya lebih meyakinkan dari hujah peguam Najib yang cuba menutup kes Najib mencuri duit 1MDB.

Hujah saya ini berasaskan dari pemerhatian yang rapi.  Dalam jargon akademik : ini kajian empirikal. Sang Penulis memerhati  dan mengalami perkara itu berlaku.

 Saya selalu nampak polis dan JPJ mengadakan sekatan jalan raya. Beberapa kali saya ternampak sekatan dijalankan  di bawah laluan LRT Bangsar. Kadang-kadang   saya ternampak sekatan polis di Jalan Syed Putra tidak jauh dari Istana Negara lama.

‘ Ini cari  duit kopi...’ Ini komen yang  saya dengar dari pemandu Grab yang saya langgan. Tapi tulisan  ini bukan hal mata-mata cari duit kopi. Itu dalam kitab lain.

Sekatan jalan raya ini saya perhatikan  menumpukan kepada yang bermotosikal. Yang berMercedez, yang berJaguar atau yang berHonda amat jarang di  tahan. Mereka meluncur pergi.

Yang berProton pun tidak diganggu gugat.

Yang sangkut dan di periksa rapi oleh polis, polis trafik atau pegawai JPJ  hanyalah yang menunggang motor. Majoritinya Mat Rempit.

Saya cukup yakin pihak polis akhirnya akan menemui satu kesalahan dari Mat Rempit ini. 

Kalau  pun ada lesen  sah tapi  cermin belakang tak ada. Ini salah.  Kalau lesen ada, cermin belakang ada didapati tayar motor  sudah licin. Ini satu kesalahan. Kalau tayar motor baru bertukar di dapati pula asap hitam keluar. Kalau asap bukan masalah tertiba lubang asap pula telah diubah suai.

Hakikatnya : kalau nak di cari salah pasti akan ditemui kesalahan. Mat Rempit ini akan bersalah. Ada seribu satu macam  kesalahan yang boleh diwujudkan.

Ini sama dengan apa yang telah, sedang dan akan dihadapi oleh Sang Politikus. Ini sama dengan para YB. Ini sama dengan  pemimpin parti atau dengan para   Menteri.

 Mat Rempit berhadapan dengan Polis dan JPJ. Manakala para politikus berhadapan dengan SPRM.

Peganglah  mana-mana YB.  SPRM  siasatlah mana-mana menteri. Lakukan  sama seperti Mat Rempit  dengan polis pasti akan ditemui kesalahan.

Bila Menteri  atau bekas Menteri dipegang oleh SPRM pasti ada kes. Pasti  boleh di dakwa  di mahkamah. Ada kes rasuah. Ada kes ubah wang haram. Dan ada kes salah guna kuasa.

Peganglah Hadi, peganglah Anwar, pegang To Mat,  pegang Mat Sabu, pegang Hamzah, pegang Saifudin , pegang Daim, pegang Mahathir, pegang Sanusi, pegang Azmin , pegang Tony Loke, pegang  Nga Kor Ming, pegang Zafrul,  Takiyudin dan Tuan Ibrahim  dan dan dan...  -pasti boleh dicari  kesalahan mereka.

Adam Adli, Lee Kang, Nik Nazmi,  Young Safura. Shairizan dan para  YB yang baru menang atau dapat pangkat – mereka ini macam anak burung baru tumbuh bulu  pahat, Masih belum pecah dara.

Kalau hendak seribu dalil.
Kalau tak hendak seribu dalih.  

Cabut bulu sehelai helai pasti akan terjumpa kesalahan. Macam motor Mat Rempit ada seribu satu macam boleh di dakwa. 

Zahid, Syed Siddiq,  Guan Eng, Bung Mokhtar dan Isa Samad adalah bukti terbaik untuk memperkukuh hujah saya. Semua sedang menunggu jatuh hukum.

Najib adalah bukti tersohor yang kini dalam penjara. Najib  masih menghadapi banyak kes mengubah wang haram , salah guna kuasa dan  menerima rasuah. 

Ini hakikat. 

Apa yang sedang  berlaku dan sedang kita saksikan ialah  kes  Muhyidin. Untuk saya pada hemat saya apa yang sedang berlaku ini  adalah watak dan ciri  politik mengundi. Atau dalam Bahasa Inggeris : electoral poilitic.

Pada pandangan saya politik pilihan raya amat susah dan mungkin   tidak akan dapat  di pisahkan dari aktiviti salah guna kuasa, rasuah atau tumbuk rusuk.

 Saya telah pernah menulis bab  dalam portal ini.

Untuk memahami hujah Mat Rempit ini saya bawa kembali kepada sejarah kes Datuk Harun – bekas Menteri Besar Selangor yang ditahan pada tahun 1977. Datuk Harun didapati bersalah menerima rasuah dan a salah guna kuasa dari Hong Kong Shanghai Bank. 

Dalam kes Datuk Harun ini saya terlibat secara tidak di rancang. Ini kerana pada tahun 1974 saya ialah Setiausaha Agong  Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

PMUM menganjurkan  debat  dengan Datuk Harun tentang tanah balak di Bangi.
Ketika itu hutan dara tapak Universiti Kebangsaan di Bangi baru di buka. Pembalakan di Bangi ini dikatakan telah diberikan kepada  kroni Datuk Harun.

Maka kes membalak di Bangi di besar-besarkan di media. Malah saya kali pertama di beri muka hadapan tajuk berita oleh  Mingguan Malaysia – menduku Datuk Harun.

Saya yang anti United Malays National Organisation  terus  menabur minyak pada api yang sedang membakar. Saya lakukan ini secara sedar.

Tun Razak melihat Datuk Harun sebagai pencabar dan musuh politik. Dia  membenarkan media membuat laporan terbuka mengutuk Datuk Harun.

Apa yang hendak apa sampaikan disini ialah kuasa politik, kuasa daulah – state  and political power  - dan jentera daulah boleh digunakan untuk memukul mati lawan politik.

Pemisahan antara YB  pembuat  hukum dengan pihak yang mengendalikan hukuman  selalu diwarwarkan sebagai dua badan bebas.

Bebas tahik kucing.

 Malaysia  negara semi feudal maka semua boleh diatur - semua boleh di susun. Sudah  masuk penjara boleh keluar  dari penjara untuk mengentot kekasih atau jumpa bini muda . Semua boleh  di susun.

Tidak yakin  dengan apa yang saya tulis maka sila  rujuk dengan Lebai Google  kes Abdullah Ang. Ini bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais. Ini fakta bukan auta.

Kemudian kita tengok pula babak sejarah bagaimana kuasa daulah telah digunakan oleh Ghazali Shafie Menteri Dalam Negeri – di zaman Tun Razak.

 Lihat bagaimana ISA telah digunakan untuk menangkap Abdullah Majid, Abdullah Ahmad dan Abdul Samad Ismail pada tahun 1976. 

Tiga Abdul ini adalah sosok yang amat setia kepada Tun Razak.

Menteri KDN Ghazali Shafie ini bernafsu besar. Dia memasang niat untuk menjadi Perdana Menteri. Penyokong dan panglima setia Tun Razak wajib di ISAkan untuk  memastikan kuasa datang ke pangkuan.

Jangan lupa satu lagi kes klasik di mana kuasa daulah dan jentera kerajaan boleh digunakan untuk membunuh  musuh politik.

Kes ini : pada bulan Julai  1981 tiga hari sebelum 16 Julai – hari Mahathir mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri ke 4. Pada hari itu  Ghazali Shafie telah menangkap Siddiq Ghouse Setia Usaha Politik  Mahathir atas tuduhan ajen kepada  Rusia.

Kes-kes yang saya paparkan disini memperlihatkan bagaimana kuasa dan jentera daulah boleh dan telah digunakan untuk memukul musnah musuh politik.

Jangan sesekali lupa bahawa Zimbabwe di eja dengan Z. Manakala Malaysia di eja dengan M. Dua-dua ini adalah sama - Negara Dunia Ke Tiga.

Penangkapan dan pendakwaan ke atas kes rasuah Muhyidin ini wajib di sokong. Melawan rasuah adalah wajib dan betul. 

Langkah kerajaan Pakatan Harapan melawan rasuah ini wajib dialu-alukan. Kalau tak sekarang bila lagi. Ketika berkuasa  sila gunakan kuasa untuk melawan rasuah.

Jangan dah hilang kuasa baru heboh nak lawan rasuah. Ini sindrom polis pencen. Dah pencen baru berani kata Menteri  ini rasuah, Menteri itu tibai bini orang, atau Menteri itu ada  simpan jambu di Jakarta.  

Ciss. Buat kerja lawan rasuah  bila  ada kuasa. Sudah takda kuasa shut the fuck-up.

Apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim ini betul.  Saya tidak tahu sama ada dia  pernah membaca buku The Art of War oleh Sun Tzu (594-496 BC ). Walau apa pun dari apa yang Anwar lakukan dalam kes tangkapan Muhyidin ini betul-betul mengikut ajaran dan taktik perang Sun Tzu.

Sun Tzu mengajar : cara terbaik untuk bertahan ialah menyerang.

Maka Anwar telah menyerang Muhyidin dulu. Anwar tahu kerajaan Pakatan hari ini adalah kerajaan Titah Raja-Raja Melayu. Anwar tahu tanpa Raja Melayu kerajaan PMX ini akan runtuh.

Justeru  bukan Muhyidin saja di serang. Awal wahid  Wan Saiful gedebe Bersatu dan   orang kuat Muhyidin juga di serang. Malah Haji Hadi juga di takut-takutkan dengan siasatan mata-mata.

Saya beri A1 kepada Anwar Ibrahim. Orang Belgium kata ‘ chapeau! ’.
Tuan Haji Hadi dari apa yang saya difahamkan  tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris. Saya tidak tahu sama ada Hadi ada keupayaan  membaca kitab Sun Tzu ini atau tidak.

Pandangan empirikal saya merumuskan  Hadi tidak membaca kitab ini. Saya berkata demikian kerana apa yang telah dilakukan oleh Hadi betul-betul bercanggah dengan taktik perang ajaran Sun Tzu.

Hadi dengan  bangga lagi angkuh telah berlabun bahawa PMX ini akan jadi XPM. ‘...kerajaan ini boleh dijatuhkan dalam masa terdekat...’ Hadi berkata. Amin.

Sebenarnya ini satu kesilapan taktik.

Sun Tzu mengajar : Serang musuh ketika musuh tidak menyedari.

Hadi yang telah berlabun awal. Ini telah memberi masa untuk Anwar menggerakkan persediaan. Kini  Anwar tahu apa yang tersirat  dalam  kata-kata Hadi.

Dari ucapan Muhyidin ketika di dakwa umum  diberi tahu bahawa SPRM telah diarah dengan segera untuk melakukan pendakwaan ke atas Muhyidin.

Dipercepatkan siasatan, cepat tahan dan cepat dakwa.

Siapa beri arahan ini tak perlu saya tuliskan. Tahu sama tauge sudah memadai.

Malah kata-kata Muhyidin ini terbukti betul apa bila ada beberapa pegawai SPRM yang tidak bersedia malah di rasuah untuk tidak menyiasat kes Muhyidin.

Jangan lupa satu ketika dulu Azam Baki kepala SPRM telah diduku oleh Rafizi. Malah Pakatan Harapan ketika pembangkang mahu Azam Baki di lucutkan dari jawatan 

Kini pastilah Azam akan menjadi pegawai yang amat setia kepada kerajaan Pakatan. 

Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah semua yang berlaku di hadapan mata kita semua ini sedang mewujudkan persepsi.

Politik ialah persepsi.

Umum dan orang ramai membaca bahawa Anwar melakukan tidakkan menahan Muhyidin kerana Hadi sedang merancang untuk menggulingkan kerajaan.

Langkah Hadi sedang diatur.

Malah untuk menambah cuka pada lawak  : Hadi  telah dipanggil  ke  Bukit Aman.  

Tuan Haji Hadi Tok Guru pemimpin parti Islam PAS akan dipanggil kerana dilaporkan  sedang merancang projek menggulingkan kerajaan PMX.

Kah kah kah. 

Disini saya wajib ketawa hingga terkentut kerana PDRM terlupa bahawa tugas suci  parti pembangkang.  ialah untuk menggulingkan kerajaan. Semua pembangkang kiri atau kanan mahu menjatuhkan kerajaan.

Anwar nak jatuhkan Mahathir.  Lim  Kit Sing nak jatuhkan Hussein Onn.  Jaffar Onn opps.. silap Onn Jaafar  nak gulingkan Tengku. Datuk Asri Muda nak jatuhkan Tun Razak.  Syed Husin Ali nak jatuhkan  Razak, Husin Onn dan Mahathir.

Menggulingkan kerajaan adalah tugas utama parti pembangkang. Jika tidak  lebih baik YB dari parti pembangkang ini menjual rangka ayam goreng  di pasar malam. Kah Kah Kah.

Jelas politikus ini sama macam Mat Rempit. Motor yang ditunggang oleh Mat Rempit pasti akan membawa kesalahan.

Apa akan jadi dengan Muhyidin? Apakah Hadi akan jadi takut dan Langkah Hadi akan di batal? 

Politikus juga memiliki  perangai seperti Mat Rempit. Lihat Mat Rempit meniarap di atas motor. Perbuatan berani mati.  

Politikus tidak meniarap atas motor tapi akan terus berani   menerima duit sogokan. Kalau tidak ada duit akan mati kering tak ada modal untuk berkempen.  Amin.

Politikus yang tak terima rasuah, yang tidak salah guna kuasa  hanya politikus yang sudah wafat.. Amin (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIANINSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/433111



5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Oh patut lah perikatan guna khidmat mat motor bawa bendera, pandai jugak Mahiaddin ini ya, kah kah kah dapat elaun dapat isi minyak dapat makan free, tukar minyak hitam semua free, jadi mat motor kampung semua bawa bendera PN, bulan tidak peduli bintang asal diri lepas makan minum free, maka undi 18 dapat PN amin kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

Terbaik...salute sebab tak ada bab "bersambung"..bab bersambung ini serupa dengan labong kedai mamak.

Tanpa Nama berkata...

Bukan mcm gitu tt, Hadi pun baca buku tu terjemahan Arab kan ada. Memang sikap Hadi ni kalau lu tengok dari dulu lagi, dia suka lawan arus tu, yang ajaibnya lagi dia lawan, lagi ramai sokong dia.

Pendek ceritalah, ramai dimomokkan dengan muhyidin jadi pm. Apa semua orang ingat Hadi takdak impian jadi pemimpin pas pertama jadi pm kah? Jeng jengjeng. Lalu bermulalah langkah Hadi, petik pmx,biar muhyidin dijemput sprm, kalau bersalah muhyidin saja dan geng bersatu, pas ada kena jemput sprm ke?? Akhirnya yang melayu percaya ialah pas. Melayu akan nampak bersatu ialah serpihan umno. Maka ,tinggalllah Hadi dan Anwar saja dalam pertarungan. Oppsss mahathir bukan tetiba jumpa Hadi Tau. Kahkahkah..

Tanpa Nama berkata...

Tt, mat rempit ni ada baik ada jahat, politikus pun juga begitulah kan?

yeop_sepet berkata...

lu silap TT,lu underestimate hadi dgn pas. lu kene tgk geopolitik dunia, Russia Iran china form alliance. China negara komunis anti agama form dgn Russia dan Iran negara ada agama rasmi dlm perlembagaan depa. satu orthodox christian satu Syiah Islam. China tau hanya negara yg beragama saja yg 100% anti US dan sanggup lwn smpai mati, walaupun komunis China tu anti agama. Hadi ada senjata yg org liberal2 nie x nmpk, BRICS Russia China Iran.best bet China dlm politik msia nie dgn PN bukan dgn PH under anwar dgn DAP yg kompem2 pro US. parti2 cina msia bukan rakan kongsi China yg baguih sbb ada cina2 christian mcm hannah yeoh yg pro US dlm DAP dan MCA. gua bet tahun nie gak anwar jatuh tukor kerajaan PN.China akan mau Pn sbb kompem2 melayu dan islam anti US. lu jgn keji sgt org tua hadi tu,Iran dan China akan push Russia minx atok runding dgn PAS,lu tgk le nanti.lu jgn terkejut tiba2 ada MP PAS kosongkan kerusi bg atok bertanding jadik MP blk. cina2 sohai dlm DAP kutuk hadi pasei depa skg desperate tgk melayu udah unite,China lak dah caya pd depa2 cina sini.