Majlis sambutan Aidilfitri pusat di 6 negeri keterlaluan
PERIKATAN NASIONAL (PN) merakamkan rasa terkejut dan ralat atas keputusan Kerajaan Pusat untuk mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bergilir-gilir di enam buah negeri di Semenanjung Malaysia bermula pada 29 April di Kedah dan dijadual berakhir pada 14 Mei di Selangor.
Selain itu, majlis turut dijadual berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei); Negeri Sembilan (7 Mei); Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).
Jika dilihat dari sudut mana pun, keputusan Putrajaya ini jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat menjolok mata, selain tidak wajar dipertahankan.
Enam majlis sambutan Hari Raya di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tentulah akan mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.
Langkah sebegini sekiranya dikatakan untuk meraikan hari kebesaran agama serta muhibah umat iaitu Hari Raya Aidilfitri, ternyata jauh tersasar dan jelas akan tercemar.
Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi.
Retorik basi dan sumbang kononnya PAS dan sekarang ini PN adalah parti yang “menunggang agama” untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada pihak Kerajaan Pusat sendiri yang “menculik” majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya.
Majlis sambutan bersiri ini juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara Kerajaan Pusat dan negeri-negeri dari segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing.
Adalah lebih manis dan sopan sekiranya Putrajaya mengekalkan amalan pembahagian tradisi dengan majlis masing-masing pihak kekal sebagai acara sambutan terbesar dan utama di peringkat masing- masing sebagai tanda hormat terhadap wibawa dan bidang kuasa itu.
Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.
Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan.
PN juga percaya majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlebih-lebihan seperti ini sangat berlawanan dengan penyataan dasar dan komitmen Putrajaya untuk berjimat cermat bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya yang didakwa terbeban dengan hutang, salah pengurusan dan pembaziran kerajaan terdahulu.
Ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri di Parlimen bahawa hutang dan liabiliti kerajaan kini ialah sebanyak RM1.5 trilion atau kira-kira 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurut beliau lagi, antara langkah utama yang akan diambil oleh Kerajaan pimpinannya ialah dengan menambah baik tata kelola kerajaan kerana kononnya sejumlah besar dana kerajaan hilang susulan kelemahan pengurusan dan ketirisan yang menyebabkan hutang menjadi lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi.
Kata-kata hanya akan membawa makna dan kesan sekiranya ia disusuli dengan langkah dan tindakan yang sama dan senada, bukan sebaliknya.
PN juga merakamkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan dalam penganjuran majlis-majlis sambutan ini kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi.
Justeru itu Kerajaan Pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku, selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa, penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diwarwarkannya sebelum ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata.
3 ulasan:
Awat hasad dengki sangat orang orang kita ini? Kalau nak buat rumah terbuka, rumah tertutup tak ada hal kan? Buat lah sendiri kan banyak duit curi ada? Ada lagi atau tidak? Atau takut bawa keluar? Kerajaan nak belanja sikit pun banyak sangat songeh? Kah kah kah budaya hasad dengki bagi buang sikit boleh tak ? Kah kah kah ubah sikit mental orang kita support bangsa sendiri jangan jadi macam DKK Mahathir Mohammad ya kah kah kah
ni kira bagi dedak style PH UMDAP malaysia madanon... wow dapnya... kah kah kah
TT, yang PN dan Parti Aslam Semalaysia PAS terkujut kenape? Jika betul Kerajaan Pusat buat jamuan untuk dapatkan undi apa salahnya? Parti Aslam Semalaysia boleh buat jamuan tiap tiap hari disetiap DUN rasanya Kerajaan Perpaduan tidak akan menghalang, buatlah
Catat Ulasan