Beli bijirin Russia untuk makanan haiwan, kata menteri
MALAYSIA mengiktiraf kualiti bijirin Russia dan merancang untuk membelinya bagi pengeluaran makanan haiwan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
“Tidak dinafikan, bijirin Russia berkualiti tinggi berdasarkan kedudukannya sebagai pengeksport utama dunia dan oleh itu Malaysia sedang mempertimbang membeli bijirin Russia sebagai antara sumber berpotensi untuk makanan haiwan dan membantu menstabilkan kemampuan bekalan ayam dalam negara,” katanya lapor Sputnik.
Beliau berkata kerjasama dengan Russia dalam bidang itu boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara walaupun Malaysia kini mengimport gandum dari negara lain.
“Malaysia sedang mengenal pasti makanan haiwan yang berkualiti tinggi pada harga yang lebih baik dan kesefahaman ini boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Selain itu, Malaysia juga sedang mengkaji untuk membeli baja dari Russia untuk sektor pertanian negara.
“Oleh itu, kita perlu meneroka pilihan baja pada harga yang baik dari Russia yang merupakan strategi baik memandangkan Malaysia juga mencari jalan untuk mengurangkan kos input pertanian yang menyumbang kepada penurunan harga makanan yang kini tinggi,” katanya.
Mohamad berkata Russia negara terkemuka di dunia yang mengeksport bahan mentah berkualiti tinggi untuk pengeluaran baja.
“Antara bahan mentah yang dieksport oleh Russia adalah gas asli, urea, ammonium sulfat dan asid fosforik. Oleh itu Malaysia meminta Russia menimbang untuk menawarkan peluang perdagangan baja negara itu bagi meminimumkan lagi gangguan rantaian bekalan khususnya harga dan bekalan input berkualiti tinggi. Kami akan menghantar pegawai ke Russia untuk membincangkan isu ini,” katanya.
Sementara itu, Malaysia juga berharap memperoleh akses yang lebih mudah bagi kemasukan pelancong dan eksport makanan ke Russia.
Malaysia sedang mengenal pasti peluang untuk membekalkan buah-buahan tropika dan produk akuakultur seperti udang ke Rusia, yang kini membeli nanas dari Costa Rica dan mangga dari Afrika Selatan.
Mohamad turut mengundang Menteri Pertanian Russia Dmitry Patrushev ke Malaysia untuk menandatangani memorandum persefahaman yang “mungkin menjurus kepada FTA (perjanjian perdagangan bebas).”
Pada masa ini, katanya kumpulan kerja Russia dan Malaysia terbabit dalam menghapuskan semua kemungkinan halangan perdagangan antara negara.
Terdahulu, Patrushev berkata Russia tidak sabar untuk menambah bekalan makanan ke Malaysia kerana terdapat potensi besar dalam eksport minyak bunga matahari dan kacang soya, gandum, kacang, ayam, daging lembu, produk tenusu dan ikan.
Dagangan barangan pertanian Russia-Malaysia meningkat sebanyak 18% pada 2022, menurut Kementerian Pertanian Russia. – Bernama, 20 Mei, 2023.
3 ulasan:
Alamak lu TT. Atok lama dah buat,beli jet lagi. Dlm dunia nie pilot Msia among the few boleh fly MIG dgn US base jet. Mende nak import makanan utk ternakan sedangkan lu boleh produce sndri.
bila madey kata malas orang marah ... kah kah kah
Apa daaa abg Mat....dah berpuluh tahun pun Kouk Brothers mengimpot chemical fertilizers dari Russia. Cuba check dulu sebelum buka mulut. Kalau mau bergerak selangkah ke hadapan belilah peralatan pertanian pula seperti jentera pembajak, trucks and traktors, combine harvestors dll. Harga barangan buatan Russia adalah competative kecuali ayamnya. Ayam Russia mahal sebab memang cantik dan pandai mengawan....raja pun suka...😁
Catat Ulasan