Ratusan Orang Asli Johor berarak bantah tanah kesultanan
RATUSAN penduduk Orang Asli Johor dilaporkan berarak ke pejabat menteri besar bagi membantah usaha menjadikan semua penempatan dan tanah rizab mereka sebagai tanah kesultanan.
Kumpulan dipimpin Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ), Dolah Tekoi juga bertindak demikian bagi menggesa kerajaan mentadbir tanah itu sebagai tanah adat.
Dolah dipetik Berita Harian sebagai berkata, status tanah tidak perlu diubah menjadi tanah kesultanan kerana perizaban tanah sedia ada sudahpun mengikut aturan mengikut perlembagaan.
“Hal ini dikuat kuasa bukan setakat di Johor namun untuk semua Rizab Orang Asli seluruh negara, maka tiada sebab untuk ia ditukar ganti kepada tanah kesultanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dengan merujuk Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta 134 Akta Orang Asli 1954 dan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965.
Jelasnya, tanah berkenaan akan menjadi tanah persendirian sultan dan bukan lagi harta negeri seperti dinyatakan dalam Seksyen 2 Enakmen Tanah Kesultanan.
“... Ia menyebut setiap tanah yang diklasifikasi sebagai tanah kesultanan adalah bukan harta negeri yang bermaksud bukan tanah kerajaan lagi tetapi menjadi tanah diraja dan milik persendirian.
“Jika cadangan tanah kesultanan dikuatkuasakan, Orang Asli akan menjadi hanya penumpang di tanah orang lain.
“Jika menjadi milik persendirian, maka pada bila-bila masa tanah itu boleh diambil dan kami boleh dihalau pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Menurut undang-undang itu, tiada mana-mana bahagian tanah kesultanan boleh dijual, dipajak atau dilupuskan kecuali dengan kebenaran bertulis sultan.
Tindakan kumpulan masyarakat itu membantah secara khusus titah Sultan Johor pada Mac lalu agar seluruh tanah penempatan Orang Asli dijadikan tanah kesultanan.
Baginda menitahkan demikian bagi mengelak Orang Asli diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menceroboh tanah demi kegiatan haram.
Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan bertitah bahawa pihak yang tidak dinamakan itu mengusahakan tanaman kelapa sawit, memotong kayu-kayan bernilai serta memburu binatang liar.
“Ada yang menceroboh tanah perladangan sehingga beratus ekar. Sudah pasti mereka dipergunakan oleh orang luar,” titah baginda seperti dilaporkan Bernama.
Mengulas perkara itu, Dolah berkata kerajaan Johor sepatutnya mengambil tindakan tegas ke atas dalang yang mengeksploitasi tanah rizab Orang Asli bagi membuka ladang terbabit.
“Andai ada bukti pembabitan dalang dan Orang Asli, hukum golongan ini yang telah merosakkan reputasi Orang Asli Johor.
“Kenapa semua Orang Asli mahu dihukum dengan tanah rizab kami dirampas dan ditukar kepada tanah kesultanan, ini sangat zalim dan seolah-olah mahu menghalau kami dari tanah rizab.”
Dolah juga dilaporkan berkata, beliau akan berusaha untuk bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu itu.
Perhimpunan di pusat pentadbiran negeri Iskandar Puteri semalam dilaporkan disokong masyarakat Orang Asli Mersing, Segamat, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi. – 9 Mei, 2023.
1 ulasan:
maksudnya kini mereka tidak tertindas?
Catat Ulasan