Pakatan 'bodoh' tidak terima Muda dalam gabungan, kata pemerhati
KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) untuk tidak memasukkan Muda dalam gabungannya mungkin akan menghantui mereka jika gabungan itu kehilangan mana-mana kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang dengan margin yang rapat, kata pakar politik.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata adalah “bodoh” PH tidak memasukkan atau menerima Muda ke dalam gabungan mereka.
“Ini menyebabkan Muda terpaksa bertanding secara solo dan menjadi pasukan ketiga.
“Apa yang sepatutnya PH lakukan ialah membawa Muda ke dalam khemah PH sebagai sebahagian daripada gabungan untuk berkempen menentang Perikatan Nasional (PN),” kata profesor Pengajian Asia itu.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pada Isnin bahawa parti berasaskan belia itu akan bertanding dalam PRN secara solo.
“Pilihan raya ini amat penting untuk kelangsungan seluruh Kerajaan Perpaduan.
“Jika kita lihat di pihak PN, Presiden Bersatu Muhyiddin (Yassin) dan Presiden PAS Abdul Hadi (Awang) sedang mengumpulkan setiap kumpulan politik dan individu yang menentang Anwar (Perdana Menteri Anwar Ibrahim). Siapa yang menentang Anwar, PN akan terima mereka.
“Jadi perkara yang logik untuk PH dan Barisan Nasional (BN) di pihak ini adalah untuk mengumpul sokongan sesiapa sahaja yang menentang PN,” kata Chin.
PH tidak memberikan sebarang jawapan berkenaan permohonan Muda untuk menyertai gabungan itu sejak parti belia itu mengemukakannya pada November tahun lepas.
Menurut Chin Muda mungkin tidak memenangi semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya akan datang tetapi beliau berkata parti itu boleh menarik beberapa undi belia untuk PH jika mereka menjadi sebahagian daripada gabungan itu.
“Muda tidak akan memecahkan semua undi tetapi sudah pasti mereka akan mempengaruhi dan mengambil sebahagian daripada undi golongan belia.
“Corak pengundian sudah cukup ketara. Anak muda khususnya belia Melayu sudah mengundi PN pada PRU15.
“Muda boleh sekurang-kurangnya mendekati pengundi muda ini dan meneutralkan sokongan politik kepada pihak lain,” katanya.
Chin berkata masih belum terlambat untuk PH mengambil langkah menerima mereka ke dalam gabungan itu.
“Dalam era dominan BN, terdapat begitu banyak parti penyokong BN yang tidak diberi kerusi tetapi mereka masih berkempen untuk BN.
“Model itu boleh digunakan untuk ini. PH-Muda boleh merundingkan syarat (untuk bertanding dalam PRN bersama-sama).
“Bagaimanapun berita baiknya ialah PH masih mempunyai masa. Masa hanya tamat pada hari penamaan calon. Mereka harus cuba berunding dengan Muda,” kata Chin.
Muda mungkin tidak relevan dalam jangka masa panjang
Sementara itu penganalisis politik lain mempunyai pandangan yang berbeza.
Mereka berkata Muda mungkin tidak mempunyai banyak tawaran dalam PRN.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata Muda mempertaruhkan masa depan parti dengan pergi secara solo pada PRN akan datang.
“Muda mengambil risiko yang sangat tinggi dan jika ia kalah (banyak) dalam pilihan raya negeri, saya fikir parti itu mungkin akan hilang daripada radar politik,” kata penganalisis itu.
Beliau juga berkata PH mungkin tidak menawarkan mereka untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu, memandangkan sikap “emosi” parti berasaskan belia itu.
“Saya tidak nampak Muda ke mana-mana dalam jangka pendek dan panjang.
“PH mungkin tidak akan membuka pintu (untuk Muda) dalam jangka masa panjang,” katanya.
Penolong profesor sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata Muda tidak mempunyai banyak tawaran dalam bidang politik yang sudah sesak.
“Dari PRU15 lalu, Muda mendapat sokongan daripada PH, tetapi hanya boleh memenangi satu kerusi Parlimen. Mereka memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (dalam PRN Johor) sebelum ini dan memecahkan undi PH di Larkin.
“Yang terbaik yang boleh mereka lakukan ialah memecah undi PH kerana demografi pengundi agak serupa.
“Ia juga menarik untuk melihat sama ada Muda boleh menyimpan depositnya di kerusi yang ditandinginya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tunku Mohar berkata Muda akan mempunyai sedikit pengaruh di kerusi bandar tetapi menambah ia tidak akan menghalang peluang PH.
“Kawasan bandar adalah tempat PH paling kuat.
“Muda hanya membenarkan pemikiran bahawa belia adalah naif dan tidak sabar. Tanpa sokongan pakatan, ia tidak akan berpeluang memenangi mana-mana kerusi,” katanya.
Enam negeri akan berdepan PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu oleh PN.
Tarikh untuk enam pilihan raya negeri masih belum ditetapkan. Kesemua enam negeri mesti mengadakan pilihan raya mereka menjelang September. – 28 Jun, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan