Menteri cadang premis kerajaan guna beras import bersubsidi
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan membawa cadangan supaya premis kerajaan seperti hospital, pusat latihan polis, kem tentera dan asrama sekolah, untuk menggunakan beras import bersubsidi bagi membolehkan lebih banyak beras tempatan berada di dalam pasaran.
Menteri berkenaan Mohamad Sabu berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan pada Isnin depan.
Beliau berkata langkah itu dijangka dapat mengembalikan sejumlah besar beras tempatan ke pasaran, kerana penggunaan premis berkenaan terhadap beras tempatan buat masa ini, adalah tinggi.
“Kita gunakan beras lokal ini untuk orang awam, maka (premis) kerajaan beli beras import dengan harga (bersubsidi) yang tidak tinggi, mungkin dalam RM32 hingga RM35 sekampit,” katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Perpaduan di Simpang Pelangai di Bentong, malam tadi.
Sementara itu, Mohamad berkata India dijangka akan memberi jawapan, sama ada negara itu akan membenarkan beras putih terus dieksport ke Malaysia, pada minggu depan.
Terdahulu, Mohamad berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari India, bagi menyatakan hasrat Malaysia agar negara itu terus mengeksport beras putih ke negara ini.
Mengenai dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan berpunca daripada tindakan pembekal menyorokkan stok, beliau menafikan perkara berkenaan dan menjamin tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara.
Beliau meminta orang ramai untuk tidak mengambil tindakan melulu dan menyerbu mana-mana premis yang disyaki menyorok bekalan beras tempatan.
“Jangan kita ambil undang-undang ditangan kita sendiri. Kalau ada kita dengar (berlaku penyorokkan bekalan) kita lapor, insya-Allah pegawai-pegawai penguat kuasa akan bertindak. Lapor kepada kementerian yang berkaitan atau buat laporan kepada pihak polis,” katanya. – Bernama, 29 September, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan