Tarikh pelaksanaan pengapungan harga ayam, telur diumum 30 Oktober, kata Mat Sabu
TARIKH pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur akan diumumkan dalam satu sidang media yang akan diadakan pada 30 Oktober ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Beliau berkata ketika ini pertemuan dan perbincangan masih dijalankan dengan industri pengeluar bagi kedua-dua sumber protein itu yang diketuai ketua setiausaha kementerian berkenaan supaya harga nanti berada dalam keadaan yang kenaikannya tidak begitu mendadak.
“Langkah ini (pengapungan) sama ada untuk jangka panjang atau jangka pendek ia bergantung kepada keadaan, tetapi kalau boleh biarlah pasaran yang tentukan harga…kita tidak boleh jamin sampai bila sebab kita tidak tahu suasana dunia sekarang dengan perubahan iklim berlaku begitu ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis prapelancaran sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya sidang media itu kelak akan diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi selepas trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan itu membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.
Mengenai sambutan HPPNK 2023, Mohamad berkata ia akan diadakan di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak bermula 10 hingga 12 November ini dan perasmiannya oleh Perdana Menteri pada 11 November.
Beliau berkata dengan tema ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’ sambutan kali ini akan memfokus kepada aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang diterjemah melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) bagi memperkasa peladang, penternak dan nelayan. – Bernama, 19 Oktober, 2023.
1 ulasan:
Jomm kita ramai-ramai pichit telor Mat Sabu .. Menteri paling tak de guna .. cakap merapu rapu dia lah orang nye.
Catat Ulasan