Mahkamah tolak permohonan MAIP beri pendidikan asas Islam kepada 3 anak Siew Hong
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak Loh Siew Hong.
Ini kerana anak-anak wanita itu tidak mahu kekal dalam agama Islam yang telah diIslamkan secara sepihak, iaitu bapa mereks.
Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat ketetapan itu selepas menemubual anak-anak wanita itu yang tidak mahu dikekalkan dalam agama Islam.
Sebelum ini, dalam petisyen cerai, Siew Hong telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas anak-anaknya pada Februari tahun lalu.
Ibu tunggal berusia 35 tahun ini mendapat hak penjagaan selepas bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran melarikan dan menukar agama tiga anak, tanpa kebenaran Siew Hong selaku ibu kanak-kanak itu.
Pada 21 Februari tahun lalu, tiga beradik berkenaan diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudian diserahkan kepada Siew Hong apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.
MAIPs memfailkan permohonan untuk campur tangan pada 7 Mac tahun lalu bagi membolehkan pihak berkuasa agama mempunyai locus standi untuk memohon mengubah syarat perintah tahanan yang diberikan kepada wanita tersebut.
Majlis ini memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran rumah mereka.
Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan