Jumaat, 29 Disember 2023

IRAN SASARAN AKHIR NETANYAHU


IRAN SASARAN AKHIR  NETANYAHU

Ketika tulisan ini digarap Perang Gaza yang bermula pada subuh Sabtu 7 Oktober 2013 telah masuk ke hari 82.  Pada 24 November hingga 30 November 2023 satu gencatan senjata untuk pertukaran tawanan berlaku. Kemudian perang diteruskan.

Kelmarin 27 Disember 2023 Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan  telah memberi arahan kepada pasukan tentera Israel untuk  memperkemas dan mempertingkatkan serangan ke atas Gaza.

Dunia diberi tahu tujuan asal Netanyahu ialah memusnahkan Hamas. Membasmi  Briged Al-Qassam dan  Islamik Jihad  dan apa saja bentuk perlawanan yang menentang Israel dari Gaza.

Pihak berwajib Lembaga Kesihatan Gaza telah  berkali kali mengumumkan  statistik jumlah kematian dan kecederaan. Paling akhir jumlah yang gugur telah melintas 20,000. Majoriti yang gugur adalah wanita dan kanak-kanak. 

Mati bukan kena tembakan peluru. Tapi mati dari ledakan bom yang gugur dari udara.

Kelmarin 27 Disember 2023 media telah melaporkan bagaimana Netanyahu enggan memberi tahu dunia apa perancangan masa depan ke atas Gaza.  Apa rancangan Zionis Israel pasca perang. 

Apakah betul hanya untuk memusnahkan Hamas dan gerilanya? 

 Dari apa yang berlaku amat jelas Gaza yang di bom telah menjadi padang jarak padang tekukur.  Tidak dapat dinafikan Israel mahu menghalau keluar semua 2.2 juta warga Gaza. Yang mati kena bom hanyalah iklan untuk menakutkan yang lain untuk bersedia menjadi orang pelarian.

Ini taktik yang sama ketika Zionis Israel melancarkan Nakba pertama pada tahun 1948.

Pembantaian beramai-ramai di Dier Yassin telah berlaku pada 9 April 1948. Pasukan pengganas Zionis yang dipanggil  Irgun dan Lehi telah membunuh 107 orang kampung - majoriti  perempuan dan  kanak-kanak.

Kampung Dier Yassin  penduduknya seramai 800 orang semua lari kerana takut. Kampung jadi kosong. Taktik menakutkan ini berjaya menghalau 750,000 Arab Palestin untuk menjadi orang pelarian. Tanah dan kampung yang mereka tinggalkan diambil oleh Yahudi pendatang baru dari Eropah untuk  menjadi Israel.

Kali  ini serangan ke atas Gaza ialah Nakba 2. Nakba 1  Arab Palestin di bunuh dengan peluru, pisau dan belantan. Nakba 2 mereka di bom dari udara. Tujuan masih sama.  Arab Palestin wajib semuanya dibunuh, di penjara atau di halau keluar. Seluruh bumi Palestin mahu di Yahudikan. Ini projek Ketuanan Yahudi.

Apakah ini sahaja agenda Zionis ?

Saya merasakan ada projek yang  lebih besar  yang dalam perancangan para Zionis dan penyokong Israel. Saya tidak mahu dilihat sebagai menabur teori konspirasi anti- Yahudi. Tapi apa  yang telah dan sedang berlaku meyakinkan diri saya bahawa ada perancangan yang lebih besar sedang di atur.

Israel negara penjajah. Mereka bukan warga asal  bumi Arab.   Pada awalnya memang ada Yahudi yang tinggal di Palestin – jumlah minoriti. Hari ini majoriti Yahudi adalah pendatang baru dari luar bumi Arab.

Justeru Israel merasa sentiasa tidak selamat. Menjajah dan merampas bumi Palestin tidak akan berlalu tanpa penentangan dan perlawanan

Negara Arab paling besar dan paling kuat bala tentera ialah  Mesir.   Negara ini di bawah pimpinan nasionalis Abdel Nasser jelas  menentang Israel. Pada 6 Jun 1967 Mesir bersama Syria dan Jordan telah memerangi Israel.

Nasionalis Nasser  berundur kerana gagal menundukkan Israel. Tanpa Nasser  Mesir terus diyakini oleh Israel sebagai musuh utama dan terkuat. Justeru Mesir perlu di tundukkan.

Muncul Anwar Sadat dan Perang Ramadan 6 Oktober 1973.  Kali ini Mesir berjaya  mara hingga ke Sinai yang diduduki oleh Israel.

Israel merancang - Presiden Anwar Sadat dan Mesir wajib dijinakkan. Maka berlakulah pembelotan pertama oleh negara Arab. Perjanjian damai Camp David ditanda tangani pada 17 September 1978   oleh Sadat dan Begin dari Israel  dengan Jimmy Carter Presiden Amerika sebagai orang tengah dan saksi.

Bila Mesir berbaik-baik dengan Israel negara Arab dan  negara Islam pasca Camp David dilihat lemah. Bagaimana dengan negara Islam bernama Turki?

Dari fakta geo-politik Turki ini adalah anak didik Amerika. Turki anggota  NATO.  Dalam NATO  Turki memilik bala tentera yang terbesar.  

Jangan lupa fakta sejarah. Turki mengiktiraf Israel dan mengadakan hubungan  diplomatik dengan Israel semenjak Mac 1949. Turki negara Islam pertama yang iktiraf Israel. Hakikatnya Israel telah lama berjaya  menjinakkan Turki. Amin.

 Pasca Perang Ramadan 1973 harga minyak petrol naik. Ini memperkuatkan ekonomi beberapa negara Arab yang memiliki telaga minyak. 

Muncul Saddam Hussein dari Iraq. Saddam seorang  nasionalis Arab yang lantang menentang Zionis Israel. Dengan duit minyak Iraq mula memperkuat bala tentera. Dalam masa yang sama Iraq memberi dana kepada PLO -  Pelestine Liberation Organiation – yang kini menjadi payung beberapa gerakan gerila Palestin.

Gerakan gerila Palestin di bawah PLO semakin aktif  menyusun dan bergerila. PLO  berpangkalan    di Lebanon. Dana dan senjata datang dari  Iraq memungkinkan gerila Palestin  menyerang Israel dari Lebanon.

Israel kini melihat Iraq telah menggantikan Mesir. Nasionalis Nasser telah digantikan oleh nasionalis Saddam.

Nasionalis Saddam Hussein bukan hanya beretorik anti Zionis  malah dasar luar negara Iraq jelas anti Israel dan pro Palestin.  

Dengan duit petrol Saddam mula membina bala tentera yang dapat bersaing dengan tentera Israel.  Iraq di bawah Saddam menjadi kawan baik kepada Rusia dan Blok  Sosialis Eropah Timur. Untuk Israel  semua perkembangan ini  dilihat sebagai bahaya.

Pada 7 Jun 1981 , 14 jet pejuang berlepas dari lapangan terbang Etzion di Israel. Jet pejuang ini  menyerang dan memusnahkan reaktor nuklear Osirak di Iraq.

Dari serangan Israel ini  terbukti  jelas Saddam Hussein sedang merancangkan untuk memiliki senjata nuklear. Pada tarikh ini telah menjadi rahsia umum bahawa Israel  telah memiliki senjata nuklear.

Kaum Zionis di Amerika dan sekutunya di Eropah terus merancang untuk memusnahkan Iraq dan Saddam Hussein. Zionis Israel merasa terancam oleh Saddam dan Iraq.

Perancangan Zionis terus berjalan. Ledakan 9/11berlaku  di New York. Usama Bin Laden dan Al-Qaeda di tuduh sebagai dalang ledakan ini.

Hari ini dari kajian yang rapi  telah  dibuktikan ledakan 9/11 adalah sebahagian dari  projek New American Century. Projek Kurun Amerika ini dirancang  untuk memastikan hanya Amerika menjadi kuasa dunia. 

Tapa sebab musabab para Zionis di Amerika telah menuduh bahawa Iraq bertanggung jawab ke atas ledakan 9/11 di New York.

Iraq di tuduh memiliki apa yang di panggil – weapon of mass destruction. Para Zionis yang mengelilingi dan menasihati  Presiden Bush telah berjaya meyakinkan Tuan Presiden untuk menyerang Iraq.

Pasca 9/11 Amerika  melancarkan dasar pertahanan  yang dipanggil War on Terror.

Iraq di serang sebagai musuh pertama War on Terror. Kerajaan nasionalis Saddam Hussein runtuh. Saddam di tangkap dan di bunuh. 

Tapi Israel masih belum merasa selamat.  Intifada 1 dan Intifada 2 membawa Perjanjian  Oslo.

Oslo membuka perjanjian antara PLO dengan Zionis Israel. Kalau dulu yang belot Sadat dan Mesir kini yang belot ialah Yasser Arafat dan PLO.
Pembelotan tidak menamatkan perjuangan Palestin. Pembelotan melahirkan watak perjuangan baru. Kini muncul Hamas. Kini muncul Hezbolah. Kini muncul Islamik Jihad. Garis politik nasionalis telah gagal. Kini muncul garis Islamik Nasionalis.

Kalau tahun 70’an PLO dibantu oleh duit minyak Iraq. Geo politik Timur Tengah terus berubah. Tahun 1979 Reza Pahlavi di jatuhkan. Iran kini menjadi Republik Islam.

Iran dari  mazhab Syiah kini mengambil alih peranan Iraq. Dalam masa yang sama Qatar yang kaya dengan telaga minyak  dan gas mula mengambil alih peranan Iraq dan Libya.

Jika tahun 70an  Iraq dan Libya hanya berupaya memberi dana untuk PLO membeli. Peranan Iran berbeza dari peranan Iraq atau Libya.

Iran bukan sahaja memberi dana dan senjata malah Iran kini menjadi kilang senjata. Iran memberi didikan kepada para gerila bagaimana hendak membuat senjata dari bahan yang sedia ada.

Keupayaan teknologi senjata Iran ini diakui dunia. Ini dibuktikan apabila dalam Perang Ukraine Rusia telah membeli drone dari Iran. Ini bukti bahawa Iran memiliki teknologi persenjataan yang canggih.

Iran kini bukan hanya memberi dan  mempersenjatai gerila Palestin. Iran juga membantu Yaman yang sedang berperang dengan  Saudi Arabia. Iran juga mempersenjatai Hezbolah di Lebanon.

Jika tahun 2003 projek Israel ialah menjinakkan Iraq. Bacaan dan strategi geo politik kaum Zionis telah tergelincir. Kini Iran menjadi sahabat baik Iraq. 

Apa yang wujud hari ini ialah satu kumpulan negara yang bermazhab Syiah muncul. Iraq, Syria, Lebanon dan Yaman yang majoriti bermazhab Syiah semua  melihat Iran sebagai  negara anti Zionis yang tulen. 

Negara bermazhab Sunni seperti Turki, Mesir, Saudi, Moroko dilihat  bersedia berbaik baik dengan Israel.

Dalam masa yang sama Perang Gaza ini telah juga mengubah geo politik Timur Tengah. Perkembangan baru cukup baik. Iran dan Saudi telah memulakan persahabatan baru. China telah memainkan peranan.

Akhir ini dilaporkan perang antara Yaman dan Saudi telah menemui jalan damai. Ini perkembangan geo politik terbaru.

Hamas ialah kumpulan Sunni manakala Hezbolah Syiah. Dua kumpulan  gerila ini sedang erat bekerja sama melawan Zionis Israel.

Jelas peranan Iran telah mengubah geopolitik Syiah dan Sunni. Dalam masa yang sama  Rusia dan China yang dahulunya di musuhi kerana dari  blok Sosialis kini di lihat lebih boleh dipercayai  dari Amerika.

Apakah ada perancangan kaum Zionis untuk menjadikan Iran sama seperti Turki, Mesir atau Iraq. 

Israel kini melihat Iran musuh utama. Pemberi dana dan pembekal senjata untuk Hamas dan Hezbolah. Ini bahaya besar untuk Israel.

Kita tunggu apa projek Netanyahu untuk memusnahkan Iran yang kini jelas menjadi  pemimpin negara Arab dan Islam melawan Zionis Israel.

Mossad, CIA dan segala badan pemikir Zionis pasti sedang berbincang mencari jalan untuk menjinakkan atau memusnahkan Iran. Apa projek itu? Kita tunggu  minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT. COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/478262



Tiada ulasan: